Seni & Sukan 28 Mar, 2025

Nak raya? Legenda iklan raya, Wan Maimunah muncul! Bila ratu air mata beraksi, sediakan sekotak tisu!

@dsa wahab
Memulakan kerjaya sebagai wartawan sepenuh masa di bahagian majalah Karangkraf, kemudian ke akhbar cabaran Sinar Harian sebelum menjadi wartawan sambilan di Utusan Malaysia. Apapun sekali saya menulis, selamanya tetap menulis...

Share this

Kredit foto: HibGlam


Figura yang cukup terkenal sebagai pelakon air mata, Wan Maimunah tidak pernah mengecewakan tatkala beraksi di layar skrin sehingga ke hari ini.

Bakat pemilik nama lengkap Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 68, ini tidak boleh disangkal baik menerusi drama, telefilem mahupun iklan.

Watak sedih meruntun jiwa, ibu tua yang miskin, hina dan lagi teraniaya, malahan wanita dikhianati… serah sahaja pada pelakon ini.

Menghampiri Syawal, inilah masa dinantikan peminat pelakon yang cukup dikenali menerusi drama rantaian, Tanah Kubur itu dan juga karya-karya tempatan. Inilah masa untuk menjeruk perasaan apabila iklan dan filem pendek hari raya mula ditayangkan.

Seperti biasa jenama, pempengaruh (influencer), agensi mahupun mana-mana syarikat besar di Malaysia tidak terlepas menghasilkan iklan atau drama pendek hari raya buat tatapan kita semua.

Nampaknya, tahun 2025 ini banyak juga iklan dan drama pendek raya lakonan Wan Maimunah diterbitkan, malahan sudah mula mendapat perhatian. 

Antara yang patut ditonton:



1.      Iklan Risda Raya – ‘Bertaut’

Antara iklan terbaik tahun 2025 yang mana mengisahkan pertemuan dua insan yang sudah lama terpisah. Sungguh menyentuh jiwa.

Walaupun merasai kehilangan namun masih mampu tersenyum walau hanya sekadar menyaksikan ada satu pertemuan jalinan kasih sayang yang kembali bertaut.





2.      Iklan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam – (SWCorp) – ‘Rahsia Ibu’

Kasih sayang ibu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Setiap perkara yang dilakukannya selalu dipandang rendah oleh anak.

Tanpa pengetahuan anak setiap perkara dilakukan ibu yang dianggap kecil itu sebenarnya sebuah pengorbanan yang besar.





3.  Iklan UV Cool – ‘Cermin’

Sejauh mana kita hidup, kadang kadang kita perlu lihat pada cermin. Jangan pernah menyalahkan orang lain, jangan pernah anggap ibu itu satu beban untuk terus berjaya.

Sejauh mana melangkah pun kita perlu ingat pada ibu yang melahirkan. Menyesal kemudian tidak ada gunanya.





4.   Filem pendek HNK Construction – ‘Realiti’

Kisah mengetengahkan, nenek yang tinggal bersama seorang cucu di sebuah rumah buruk yang disewa daripada orang lain.

Dek kerana kehidupan yang susah, dengan kekangan hidup yang lain membawakan ia menjadi sebuah kisah kehidupan yang menyedihkan apabila melihatan penderitaan yang terpaksa dihadapi mereka.





5.      Filem pendek – ‘Tanggungjawab Terakhir’

Kisah yang penuh pengajaran dan bermain dengan emosi yang cukup mendalam. Ia mengangkat tema kasih sayang, penyesalan, dan pengorbanan dalam hubungan ibu dan anak, menyentuh hati penonton dengan mesej yang penuh keinsafan.

Berlatarbelakangkan perihal anak yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan permintaan ibunya yang ingin ke tanah suci Mekah.



Iklan-iklan dan filem pendek yang tersiar itu, patut ditonton seisi keluarga memandangkan ada pengajaran tersendiri terkandung di dalamnya. Tanpa kita sedar, adakalanya banyak kesalahan yang boleh menjadi asbab kekesalan pada kemudian hari.

Ada banyak lagi yang best-best dilakonkan oleh pelakon-pelakon hebat dan terkenal yang lain dengan membawakan pelbagai mesej menarik. Ada sedih, tidak kurang juga yang gembira dan menghiburkan. Bolehlah tengok semua ini untuk isi masa lapang sambil-sambil buat biskut raya dekat rumah tu!


Kredit foto: Kosmo Digital


Sementara itu, dalam perkembangan terbaru primadona itu menerusi perkongsian dalam TikTok, dalam satu temu bual Wan Maimunah ada menyatakan dia belum bersara lagi dari dunia lakonan.

Menurutnya, buat masa ini dia ingin menghabiskan masa bersama keluarganya, namun begitu buat masa sekarang dia membantu anak lelakinya berniaga ayam golek sepanjang Ramadan di Wakaf Beruas, Kuala Terengganu.

“Bukan tidak ada naskah yang diterima tetapi menolak secara baik kerana masih lagi belum bersedia. Bukan tidak mahu berlakon tetapi buat masa ini hanya menerima tawaran yang hanya memerlukan pengambaran yang singkat sahaja.

“Kerana itulah, hanya muncul dalam iklan mahupun filem pendek-pendek sahaja seperti di TikTokdan YouTube,” katanya yang akan ke rumah anak angkatnya, di Ijok, Kuala Selangor, setiap kali menyambut hari raya.

Selepas pulang mengerjakan haji pada tahun lalu, 2024, Wan Maimunah banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan hanya menerima tawaran berlakon bagi iklan dan filem pendek sahaja seperti mana disiarkan dalam laman TikTok atau YouTube.  - KitaReporters


Watch on TikTok

13
8
0
9
0
You will be interested