Seni & Sukan 17 Mar, 2025

Final Piala Dunia Sepak Takraw Bihar! Sasaran PSM buat tim negara! Afifuddin dipanggil sertai Podium!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 dan Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

SKUAD negara ceria dengan sumbangan duit raya di samping barisan kepemimpinan PSM selepas majlis taklimat di ibu negara. - Kredit foto: PSM


MARA ke perlawanan akhir kedua-dua acara terutamanya beregu. Itu sasaran ditetapkan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Sekalipun kuadran (berempat) turut disasarkan final, Datuk Mohd. Sumali Reduan masih agak sangsi dengan peluang skuad negara.

“Sasaran kami final untuk (Piala Dunia Sepak Takraw Istaf - STWC di) Bihar (bagi) beregu dan kuadran. Kuadran kita agak sangsi sebab sekarang baru fokuskannya, (sebelum ini) tidak sangat,” kata Presiden PSM ini selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM Bil. 15/2022-2025 di ibu negara pada 16 Mac 2025.

STWC dengan kerjasama Persekutuan Sepak Takraw India (STFI) di Stadium Tertutup Patliputra, Kankarbagh Patna-Bihar, India dari 20 hingga 25 Mac 2025, turut mempertanding regu lelaki tetapi hanya untuk negara-negara Divisyen Satu.



PSM turut mengutus skuad enam pemain wanita dalam acara kuadran (wajib), regu dan beregu (pilihan).

Sebagai sebuah kejohanan berdaya saing tinggi, STWC katanya, menjadi kayu pengukur tahap konsistensi beregu negara setelah menjuarai acara ini pada Piala Dunia Sepak Takraw Istaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur tanggal 22 Mei 2024 lalu.

“Kami mahu uji pemain boleh jadi juara beregu lagi (atau tidak), Kekalkan juara bukan mudah dan belum tentu pemain yang sama akan ke Piala Sepak Takraw Asia Astaf (di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, 10-18 Mei 2025 ini).

“Bihar juga satu medan ujian kuadran kita sebelum ke Piala Asia. Di sini, suka tak suka, saya hendak jurulatih sasarkan final kuadran juga. Dia kenalah fikirkan kaedah (mencapainya),” kata Sumali.


SKUAD beregu dan kuadran Malaysia ke STWC di Bihar (dari kiri), Fetri Azwadi, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Razak (tersorok), Noraizat Nordin, Shahalril Aiman Halim dan Aidil Aiman Azwawi. - Kredit foto: PSM  


Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi dipertaruhkan bagi beregu dengan simpanan, Shahalril Aiman Halim di samping melengkapkan kuadran dengan Fetri Azwadi, Amirul Zazwan Amir dan Norfaizzul Razak.   

Ijat Bangau (gelarannya) dan Aidil menumbangkan gandingan Thailand, Seksan Tubtong/Kittiphum Sareebut (Tanaphon Sapyen) 17-16, 15-13 untuk menjuarai Piala Dunia di ibu kota.

Tim wanita negara pula membariskan Siti Norzubaidah Che Wahab, Emilia Eva Natasha Saudia, Nur Fatihah Sharudin, Siti Hadinavilla Jumidil, Kamisah Khamis dan Azeira Lusian.


SKUAD wanita negara ke Piala Dunia Istaf di Bihar (dari kiri), Kamisah Khamis, Siti Norzubaidah Che Ab. Wahab, Siti Hadinavilla Jumidil, Nur Fatihah Sharudin, Emilia Eva Natasha Saudia dan Azeira Lusian. - Kredit foto: PSM


Seorang perejam, Afifuddin Razali pula dinamakan ke Program Podium skuad negara yang turut akan menghadapi Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 di Korat dan Sukan SEA Ke-33 di Nakhon Pathom, Thailand pada Julai dan Disember 2025 ini.

“Senarai pemain kita belum cukup sepenuhnya dan tidak melapor diri sebab masalah pelepasan majikan ada dua tiga lagi orang yang belum selesai (tetapi) kami tidak boleh tunggu lama (kerana) kejohanan sudah dekat. 

“(Jadi PSM) ambil keputusan masukkan seorang lagi (Afifuddin) untuk perkuatkan acara tertentu bagi beregu atau kuadran (Piala Asia, Piala Raja Thailand dan Sukan SEA). Kami sudah berbincang dengan jurulatih dan sebab dalam masa singkat, kami putuskan ambil dia yang berpengalaman,” katanya.  

Kali akhir Afifuddin, 33, menyarung jersi negara ialah ketika membantu memenangi dua pingat perak regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia Hangzhou 2023.

Apit kanan lampai Angkatan Tentera kelahiran Kelantan setinggi 1.83 meter ini turut pernah mengalungi Malaysia, pingat perak beregu Sukan SEA Vietnam 2022 di Hanoi.


AFIFUDDIN Razali ketika merejam regu Indonesia dalam Sukan Asia Hangzhou 2023 di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, Zhejiang. - Kredit foto: XH


KEPUTUSAN LAIN PSM:

  • Pelancaran Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) bagi pemain bawah 14 hingga 17 tahun dijangka oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 14 April 2025.
  • Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia di Stadium Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur yang disewa dengan Institut Sukan Negara (ISN) dijangka dirasmikan pada Jun 2025 ini yang bergantung kepada belanjawan. - KitaReporters


MOHD. Sumali Reduan (tengah) di samping Timbalan-timbalan dan Naib-naib Presiden PSM menyampaikan taklimat kepada pasukan negara selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM dan Majlis Berbuka Puasa di sebuah hotel di ibu negara. - Kredit foto: PSM 

17
13
0
11
0
You will be interested