DUA bekas anggota kumpulan Elite, Hana Adnan dan Watie Sadali setuju untuk menyelesaikan secara baik pertikaian saman penghutang penghakiman membabitkan kedua-dua belah pihak yang sudah berlarutan sejak lapan tahun lalu.
Kedua-dua bekas anggota Elite ini kelihatan masih mesra walaupun menghadapi kes mahkamah.
Peguam yang mewakili Hana atau Norhanasafiza Mat Adnan, 44, Mohd Fikri Abd Rahman memaklumkan keputusan penyelesaian itu dipersetujui kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan secara baik.
Keputusan mahkamah kali ini mensyaratkan Watie untuk komited melangsaikan tuntutan serta boleh dikenakan tindakan penjara jika gagal berbuat demikian kerana dianggap menghina perintah mahkamah.
Bagaimanapun, Watie gagal membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010 dan jumlah hutang meningkat kepada RM796,000 sehingga Hana diisytiharkan sebagai muflis.
Watie sebelum ini pernah membuat rayuan untuk mengurangkan kos bayaran bulanan daripada RM2,500 kepada RM2,000 seperti yang diperintahkan pada tahun 2017 dan mahkamah membenarkan.
Sebagai rekod, pada 10 Mac 2015, Hana menang saman terhadap Watie berhubung kegagalan pelakon itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli kenderaan jenis Toyota Wish. - KitaReporters