Selesai MOU... Semoga karnival meriah dan menjadi kenangan buat peserta ratu kebaya.
MALAYSIA berhasrat menjadi negara yang diiktiraf pemilik pakaian kebaya sebagai baju rasmi negara dan mahu menduniakan keanggunan dan pesona keindahan budaya tradisional itu menerusi promosi Jelajah Karnival Kebaya Dunia yang dilancarkan pada 9 Oktober hingga Disember 2024.
Sehubungan itu juga, negara memohon agar Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dapat segera mempercepat pengiktirafan kebaya sebagai satu lagi harta warisan Malaysia.
Presiden Persatuan Fesyen, Peragaan dan Peraduan Malaysia (MFMPA), Dr Jason Hee, berkata negara mahu menjadikan pakaian tradisional itu sebagai lambang negara dan Malaysia akan menwakili rantau Asia untuk menonjolkan betapa uniknya kekayaan budaya warisan masyarakatnya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Festival Kebaya Sedunia atau World Kebaya Festival (WKF) dan majlis menandatangani perjanjian (MOU) penajaan peserta yang mengambil bahagian dalam jelajah destinasi pelancongan di Genting Highlands.
Karnival itu bermula dengan kerjasama Hotel Wyndham Ion Majestic, Genting Highlands yang serentak itu juga turut menawarkan pakej 1001 Nights Hotel Introduction bermula 1 November 2024 ini.
Terima kasih atas sokongan... Dr Jason menyerahkan cenderamata kepada Rubiah Yusof.
MOU itu disaksikan oleh Timbalan Direktor Divisen Pakej Pembangunan, Pelancongan Malaysia, Rubiah Yusof; timbalan kanannya, Masrina Mohd Bakri; Pengurus Besar Hotel Wyndham Ion Majestic, David Lean; Avani Sepang Goldcoast Resort, Ricky Ho; dan Baddogz Jin, pemenang anugerah antarabangsa, pengarah seni penjenamaan dan mentor ratu cantik.
Turut hadir ialah Dr Fara Mas, pengasas dan pereka fesyen untuk Faramas Fashion; Pengetua Evergreen Talens Agency, Eva Zalcmandan; dan Pengetua Tangerine Models Agency, Faris Waris.
Dr Jason berkata pihaknya akan mencari beberapa lagi calon untuk melengkapkan 15 peserta menjelang pertandingan akhir pada 1 Disember 2024 untuk malam penghargaan. Pada malam itu juga bekas ratu dijangka diundang sebagai penghormatan kepada sumbangan mereka.
Setakat ini mereka sudah ada pemenang juara Kebaya Malaysia iaitu Zahra Murodi dan calon-calon lain ialah Ariel Peiyu Yao (China), Zainab (Syria), Isabella Mayom (Sudan Selatan), Vasha Jahangir (Bangladesh), Teagan Serena Williams (Afrika Selatan), Alessandra (Brazil), Nadya (Rusia) Bow (Thailand). Mereka ditemani empat ratu cantik Joanne Lam, Gina Rochelle, Febbiola dan Natasha.
Peserta-peserta itu bekerja di Malaysia termasuk pelajar universiti dan profesional.
Peserta ini akan dibawa jelajah selama 10 hari bermula di Shah Beach Resort di Melaka pada 23 November 2024 serta Sepang dan berakhir di Grand Ion Delemen Hotel di Genting Highlands.
Sepanjang masa itu. peserta-peserta akan menjalani bootcamp, persembahan kebudayaan, liputan promosi, lawatan ke pihak penajaan, latihan bercakap di khalayak umum, latihan catwalk dan solekan, sesi menggayakan baju kebaya dan latihan lasak.
Dr Jason berkata bukan Malaysia saja malah ada empat lagi negara Thailand, Singapura, Jakarta dan Indonesia yang turut mengiktiraf kebaya sebagai pakaian rasmi negara.
Difahamkan China mengiktiraf kebaya dan ceongsam sebagai pakaian rasmi apabila terjalinnya hubungan persahabatan dua negara sejak beratus tahun lalu.
Kalau di Indonesia kebaya itu dikenali sebagai kebaya Kartini (yang dinamakan sempena wirawati Indonesia yang bernama Raden Adjeng Kartini @ Ibu Kartini), kebaya Jawa, kebaya Kutubaru, kebaya Bali, kebaya Sunda, kebaya nyonya dan kebaya Eurasian.
Manakala di Malaysia pula, ada kebaya Riau-Pahang, kebaya nyonya, kebarung, kebaya chitty khusus untuk wanita India, kebaya songket, kebaya Kota Bharu dan kebaya Saloma. Malah banyak lagi jenama kebaya itu mengikut negeri.
Dr Jason berkata "Kami ada berhubung dengan jabatan agama tentang memperagakan koleksi kebaya oleh wanita Islam dan dinasihatkan supaya menjaga aurat.
"Ini bermakna wanita Melayu Islam pun boleh terbabit dalam karnival ini kerana juaranya diukur dari aspek intelektual, bakat, sikap, gaya dan adab.
"Yang paling penting kita mahu menyelongkar warisan khazanah seni negara dan kembangkan industri ini ke pentas dunia. Malah peserta ini akan memakai kebaya ciptaan pereka terkenal negara.
"Jika Ratu Cantik Dunia boleh dibuat francais kita juga berimpian satu hari nanti, Ratu Kebaya Dunia ini boleh menyumbang kepada perniagaan itu."
Difahamkan sehelai kebaya boleh mencecah harga RM10,000 ke atas dan ceongsam pula ada yang dijahit selama empat bulan. - KitaReporters