Seni & Sukan 27 Sep, 2024

Mana PSM? Melaka, Johor, Perak, Selangor serlahkan bakat pelapis! Lenturlah putera-putera libas MSSM!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

ANTARA aksi hebat rejaman dan adangan Kejohanan Sepak Takraw MSSM 2024 di Pulau Pinang. - Kredit foto: FB umum


SUDAH sampai masanya Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengambil langkah proaktif dan berwawasan besar dalam menjayakan program pembangunan bakat muda dan pemain pelapis negara. 

Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 di Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang dari 14 hingga 19 September 2024 lalu, telah melimpahkan sejumlah besar bintang harapan yang tidak patut diabaikan.  

Cukup-cukuplah pasukan negara kecundang kepada musuh tradisi, Thailand khususnya pada Sukan SEA dan Sukan Asia dengan kudrat para pemain senior yang ada sekarang. 

Apa tidaknya? Antara tiga hingga enam tahun lagi, 'Putera-putera Libas' MSSM (B-18 dan B-15) inilah yang akan mengambil alih peranan abang-abang mereka di gelanggang. Bak kata pepatah Melayu, "melentur buluh biarlah daripada rebung".

Secara beransur-ansur mereka akan menjejak ke Sukan Malaysia (Sukma), Kejohanan Belia Kebangsaan sebelum ke Liga Sepak Takraw (STL), Kejohanan Piala Tun Ali dan Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari serta seterusnya ke gelanggang antarabangsa termasuk Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand dan Piala Dunia Istaf.  


LIBASAN gunting deras oleh apit kanan Terengganu (dua dari kanan) menghiasi Kejohanan Sepak Takraw MSSM 2024 di Pulau Pinang. - Kredit foto: FB umum


Daripada Kejohanan Sepak Takraw MSSM 2024, Melaka antara yang dikenal pasti mampu muncul kuasa sepak takraw masa depan Malaysia. 

Majoriti pemainnya yang menguasai dua daripada tiga gelaran kategori Bawah 18 Tahun (B-18) mampu disaring, digilap dan diasah menerusi pendedahan pertandingan yang lebih tinggi tarafnya.

Negeri Hang Tuah itu menjuarai acara regu berpasukan dan antara regu B-18 – dua acara yang dianggap kemuncak dan ditunggu-tunggu ramai pemerhati dalam kejohanan ini.

Melaka menumpaskan jiran selatannya, Johor 2-1 (6-15, 11-15), (15-10, 15-5), (15-13, 10-15, 15-10) dalam perlawanan akhir yang cukup sengit dan mendebarkan sebelum turut mengungguli antara regu dengan kemenangan 15-6, 15-7 terhadap Kelantan.

Melaka kini mempunyai barisan pemain pelapis yang mantap untuk disandarkan harapan pingat emas Sukma di Selangor pada 2026 khususnya dalam mempertahan podium utama antara regu yang dimenanginya di Sarawak pada Ogos 2024 lalu.


MELAKA yang menjuarai dua acara kategori B-18, regu berpasukan dan antara regu Kejohanan MSSM 2024 di Balik Pulau. - Kredit foto: FB umum


Namun Melaka terlepas untuk mencatat hatrik B-18 apabila disekat oleh Johor 10-15, 15-11, 10-15 dalam suku akhir acara beregu yang kemudiannya menyaksikan lawan muncul juara malah berhempas pula untuk menundukkan Terengganu 13-15, 15-13, 15-13.

Perak pula dilihat memiliki barisan pelapis peringkat remaja yang meningkat dan mungkin sukar dicabar negeri-negeri lain apabila memasuki kategori B-18 Kejohanan Sepak Takraw MSSM antara 2025 hingga 2027.  

Kejayaan mereka menjuarai regu berpasukan B-15 malah menduduki dua podium teratas antara regu B-12 menguatkan andaian tersebut.

Perak mengatasi Pahang 2-1 (9-15, 7-15), (15-12, 17-15), (17-16, 15-6) dalam perlawanan akhir B-15, manakala Perak B mengalahkan Perak A 15-13, 15-9 dengan masing-masing muncul juara dan naib juara antara regu B-12.  

Tentangan Selangor terhadap Perak walau bagaimanapun tidak boleh dipandang ringan kerana dua gelaran, antara regu dan beregu B-15 turut menjadi miliknya selepas menewaskan Pulau Pinang 15-8, 15-17, 15-9 dan Pahang 15-9, 15-17, 15-9.


KELANTAN muncul juara regu berpasukan B-12 Kejohanan Sepak Takraw MSSM 2024. - Kredit foto: FB umum


SEORANG pemain Selangor yang dinobatkan Tekong Terbaik B-15 dan membantu negerinya menjuarai antara regu Kejohanan Sepak Takraw MSSM 2024. - Kredit foto: FB umum


KEPUTUSAN RINGKAS:

B-18

Regu berpasukan: 1. Melaka 2. Johor 3. Kelantan 4. Terengganu

Antara regu: 1. Melaka 2. Kelantan 3. Terengganu 4. Negeri Sembilan

Beregu: 1. Johor 2. Terengganu 3. Kelantan 4. Kedah

B-15

Regu berpasukan: 1. Perak 2. Pahang 3. Johor 4. Selangor

Antara regu: 1. Selangor 2. Pulau Pinang 3. Terengganu 4. Kedah

Beregu: 1. Selangor 2. Pahang 3. Sabah 4. Johor

B-12

Regu berpasukan: 1. Kelantan 2. Pahang 3. Perak 4. Terengganu

Antara regu: 1. Perak B 2. Perak A 3. Pulau Pinang B 4. Kelantan A  


JOHOR dengan gandingan Danish dan Irfan menjuarai acara beregu B-18 Kejohanan MSSM 2024. - Kredit foto: FB umum


DANISH Hafiy Mohd. Hafni dari Perak dipilih sebagai Apit Kanan Terbaik B-12. - Kredit foto: FB umum

12
8
0
19
0
You will be interested