Seni & Sukan 12 Dec, 2024

Harimau Malaya hampir tersembam di Bukit Jalil! Timor-Leste bukan calang-calang! Lega menang tipis!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PAULO Josue, penyerang naturalisasi Malaysia, menyumbat kedua-dua gol penyelamat dan kemenangan terhadap Timor-Leste di Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


FUUUUH lega tak kalah. Nyaris tersembam dan teraib di tanah air sendiri.

Pasti ungkapan inilah yang berlegar dalam hati dan melapangkan dada setiap anggota Harimau Malaya daripada para pemain hingga barisan jurulatih selepas tetap menang tipis 3-2 terhadap Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Disember 2024.

Apa tidaknya! Selama 25 minit Mentari Fajar (julukan pelawat) berada di depan menggusarkan anak-anak buah Pau Marti Vicente dan hampir mencatat sejarah mencipta kemenangan sulung Kejohanan ASEAN 2024 (dulunya Piala AFF).

Dua gol pelawat yang muncul berturut-turut dalam masa kecederaan babak pertama menerusi Olagar Xavier dan Joao Pedro, juga seakan-akan menghampiri rekod kali pertama mereka menumpaskan Malaysia sejak 2004.  

Juara bertahan, Thailand boleh berpesta gol 10-0 terhadap Timor-Leste di Stadium Hang Day, Hanoi pada 8 Disember 2024 lalu sedangkan Malaysia, penyandang 2010 satu ketika seperti telah kehilangan semangat dan keyakinannya. 



Jurang besar ranking dunia, ke-132 berbanding 196 turut menonjolkan betapa Harimau Malaya selaku pilihan dan tidak sepatutnya leka sehingga kena bangkit daripada ketinggalan dan berhempas pulas untuk mencapai kemenangan.  

Mujurlah Paulo Josue muncul penyelamat tuan rumah dengan rembatan kaki kiri dan tandukan ke belakang pada minit ke-70 dan 83 untuk memastikan tiga mata daripada perlawanan Kumpulan A ini.

Terima kasih juga wajar ditujukan kepada umpanan rakan negara asal Brazilnya, Endrick Dos Santos dan Fazrul Amir Zaman.  

Syafiq Ahmad pula terlebih dulu membolosi gawang Timor-Leste dengan jaringan hasil hantaran Fergus Tierney dari sebelah kanan pada minit ke-38.

Kemenangan sulung kempen kejohanan edisi ke-14 ini meletakkan pasukan negara sebagai teraju baharu Kumpulan A dengan empat mata termasuk setelah diikat 2-2 oleh Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada 8 Disember 2024 lalu.


SYAFIQ Ahmad menerjah bola hantaran Fergus Tierney untuk gol sulung Malaysia pada minit ke-38. - Kredit foto: FAM


Ulas Pau: "Semuanya terpulang kepada kami. Saya tidak salahkan nasib malang atau pengadil walaupun Syafiq dan Fergus tercedera ketika perlawanan. Yang penting kami dapat kemenangan ini. 

"Saya tahu betapa getirnya perlawanan ini. Cuma ada pemain kita yang kurang jelas berfikir. Mereka perlu pulih untuk menentang Thailand dan Singapura akan datang. 

"Situasi juga sukar apabila ada kelab yang mahukan pemain mereka kembali (bagi Liga Malaysia) dan melapor diri lewat. Bagaimana kita hendak fokus? Sepatutnya semua orang menyokong kejohanan pasukan kebangsaan," kata warga Sepanyol berusia 41 tahun ini.  


MALAYSIA: Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Declan Lambert, Dominic Tan, Harith Haiqal Adam Afkar, Daniel Sang Ting, Najmudin Akmal Kamal Akmal (Haqimi Azim Rosli), Danial Amier Norhisham, Sergio Aguero (Stuart Wilkin), Paulo Josue, Darren Lok (Fergus Tierney) (Endrick Dos Santos), Syafiq Ahmad (Fazrul Amir Zaman).


 

DANIAL Amier Norhisham (21) diasak keras pemain Timor-Leste dalam perlawanan Kumpulan A Kejohanan ASEAN 2024-2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang disaksikan 7,450 hadirin. - Kredit foto: FAM


PAU Marti Vicente memberikan kap sulung antarabangsa kepada Najmudin Akmal Kamal Akmal (11) apabila berdepan Timor-Leste serta menampilkan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (1) sebagai penjaga gol. - Kredit foto: FAM 

14
7
0
15
0
You will be interested