Siti Nurhaliza menerima plak penghargaan daripada Universal Music atas gelaran Biduanita Negara dan pelancaran single 'Sejarah', daripada Kim Lim.
Baharu sahaja bergelar Biduanita Negara, penyanyi tersohor Dato Seri Siti Nurhaliza Tarudin, yang terkenal dengan sifatnya yang merendah diri dan menghormati orang, tetap dilihat memiliki keperibadian sama seperti dirinya pada mula bergelar penyanyi 30 tahun lalu.
“Tidak termimpi diberikan gelaran setinggi ini waima ramai lagi penyanyi yang lebih senior tetapi saya anggap ini rezeki dan amat menghargai penghormatan yang diberi sepanjang 30 tahun dalam industri seni muzik,” ujar Siti atau Tok Ti yang menjadi panggilan manja ramai.
Menurut Siti, gelaran yang diterima tidak mengubah dirinya yang sebenar dan menambah, “Panggilah apa sahaja, Siti ke, Tok Ti ke.. saya tetap Siti Nurhaliza yang bila balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.”
Siti memaklumkan demikian pada majlis Apresiasi Media dan pelancaran rasmi single terbaharunya ‘Sejarah’ di The Roomah, Solaris Dutamas pada 26 November 2024 yang turut dihadiri Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim.
“Pada masa sama saya juga terus memasarkan produk Simplysiti dan lain-lain melalui TikTok seperti biasa,” tambah Siti sambil bersyukur perjalanan seninya terus berjaya mencapai segala impianna selama ini.
Menurut Siti sebagai contoh, sebelum usia 19 tahun beliau impikan untuk mengadakan konsert dan itu telah dicapainya dan juga beberapa lagi impian lain antaranya seperti konsert di Royal Albert Hall London, pun terlaksana.
“Saya berharap dapat sekali lagi mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London insya-Allah,” harap Siti, sekali gus membayangkan beliau tentunya sedang mengaturkan perancangan ke arah itu.
Dalam masa sama, Siti tidak ketinggalan berpesan kepada penyanyi baharu atau sesiapa sahaja bahawa menyimpan mimpi dan angan-angan itu tidak salah, tetapi untuk menjayakannya mereka perlulah bekerja keras dan berusaha.
Beliau menganggap anugerah sebagai Biduanita Negara yang diterimanya pada 13 November 2024 lalu turut didedikasikan kepada Allahyarham bapanya, Tarudin Ismail dan ibunya, Siti Salmah Bachik yang merupakan semangat utamanya.
“Tidak ketinggalan juga kepada komposr-komposer seperti Allahyarham Pak Ngah dan Aubre Suwito yang banyak memberikan tunjuk ajar dan tentu sekali sokongan media dan peminat semua selama ini,” jelas Biduanita Negara yang ketiga ini selepas Puan Sri Saloma dan Datuk Sharifah Aini terdahulu.
Sementara itu, bercakap mengenai single terbaharunya, “Sejarah” Siti tidak ketinggalan dapat sekali lagi berkolaborasi dengan komposer dari Indonesia, Erwin Gutara dan anaknya, Gita Gutawa yang menulis lirik lagu.
Bagi Siti, 'Sejarah' merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa malah beliau sendiri meminta Erwin menghasilkan sebuah lagu khusus yang menceritakan tentang perjalanan seninya.
“Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya,’’ akhiri Siti.
Pada majlis yang sama, Siti turut meraikan pihak media yang selama ini menjadi tulang belakang di atas kejayaan beliau sejak bergelar artis dengan sesi cabutan bertuah.
Bagi Siti, pihak media sudah menjadi sahabat dan keluarga yang telah banyak membantu memperkenal beliau kepada masyarakat dan peminat.
Selain itu, Universal Music turut menyampaikan plak penghargaan kepada Siti atas penganugerahan gelaran biduanita negara dan pelancaran single ‘Sejarah’. - KitaReporters