Seni & Sukan 09 Jan, 2026

Video| Ghea Indrawari kembali ke KL! Adakan konsert Rasi Jiwa! Ajak peminat berdamai dengan perasaan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Nama Ghea Indrawari bukan lagi asing dalam kalangan pencinta muzik Nusantara. Penyanyi kelahiran Indonesia ini dikenali dengan suara lembut yang sarat emosi serta lagu-lagu balada yang dekat dengan realiti hidup, patah hati dan proses penyembuhan diri. 

Daripada lagu berjudul Rindumu, Jiwa yang Bersedih sehingga Terima Kasih Sudah Bertahan, karya-karya Ghea sering menjadi teman setia pendengar yang sedang bergelut dengan perasaan sendiri.



Selepas beberapa kali menambat hati peminat Malaysia menerusi persembahan sebelum ini, Ghea Indrawari kini bersedia untuk kembali menemui peminat tempatan menerusi sebuah konsert solo istimewa bertajuk â€œGhea Indrawari: Rasi Jiwa – Live in Kuala Lumpur”. 

Konsert ini berlangsung pada 8 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur, sebuah lokasi yang cukup sinonim dengan konsert berskala intim dan eksklusif.

Berbeza dengan konsert biasa yang hanya menampilkan deretan lagu popular, Rasi Jiwa hadir sebagai sebuah pengalaman emosi. Ia bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah ruang untuk penonton bernafas, mengakui perasaan dan berdamai dengan diri sendiri.

Menurut Ghea, Rasi Jiwa membawa falsafah penerimaan diri yang jujur, tanpa paksaan untuk sentiasa kelihatan kuat atau baik-baik sahaja.



“Rasi Jiwa menolak standard ‘harus baik-baik saja’. Ia mengajak anak muda untuk mengakui proses termasuk fasa bingung, jatuh dan belum selesai,” katanya.

Falsafah ini dilihat sangat selari dengan identiti muzik Ghea yang sejak awal kerjayanya konsisten mengangkat kisah-kisah manusia biasa, tentang kehilangan, keraguan diri, harapan kecil dan usaha untuk terus bertahan walaupun hati belum sembuh sepenuhnya.

Bagi peminat muzik balada dan lagu-lagu beremosi, konsert ini bukan sekadar ‘wajib hadir’, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk terapi jiwa. 

Lagu-lagu Ghea terkenal dengan lirik yang jujur dan tidak berselindung, seolah-olah menceritakan kisah hidup pendengarnya sendiri.

Di pentas Rasi Jiwa, penonton dijangka akan dibawa menyelami perjalanan emosi Ghea, daripada lagu-lagu yang menyayat hati, ke fasa penerimaan dan akhirnya ke titik berdamai dengan diri. 

Setiap lagu bukan hanya dinyanyikan, tetapi ‘diceritakan’, menjadikan hubungan antara artis dan penonton lebih dekat dan peribadi.



Pemilihan Zepp Kuala Lumpur pula dilihat sangat tepat kerana ruang ini membolehkan interaksi yang lebih intim, tanpa jarak emosi yang terlalu jauh antara pentas dan penonton. 

Ini memberi peluang kepada peminat untuk benar-benar merasai setiap bait lirik dan getaran suara Ghea secara langsung.

Menariknya, kategori tiket untuk konsert ini dinamakan berasaskan fasa emosi kehidupan, satu pendekatan kreatif yang jarang digunakan. 

Ia secara tidak langsung mencerminkan tema Rasi Jiwa itu sendiri, bahawa setiap manusia berada pada tahap emosi yang berbeza, dan semuanya valid.

Bagi peminat tegar, pakej Meet & Greet pastinya menjadi peluang eksklusif untuk bertemu secara dekat dengan Ghea, berkongsi momen istimewa dan mungkin meluahkan sendiri makna lagu-lagunya dalam kehidupan masing-masing.



Apa yang membezakan konsert Rasi Jiwa dengan persembahan lain ialah keberaniannya untuk meraikan ketidaksempurnaan. 

Dalam dunia yang sering menuntut manusia kelihatan bahagia sepanjang masa, Ghea tampil dengan mesej yang lebih realistic, tidak mengapa jika hari ini kita masih keliru, masih jatuh dan masih mencari arah.

Konsert ini juga dilihat relevan terutama buat generasi muda yang berdepan tekanan emosi, beban sosial dan tuntutan hidup moden. Rasi Jiwa menjadi satu ruang selamat untuk mengakui perasaan tanpa perlu berpura-pura kuat.

Dengan konsep yang kuat, mesej yang dekat di hati serta populariti Ghea Indrawari yang semakin meningkat di Malaysia, Ghea Indrawari: Rasi Jiwa – Live in Kuala Lumpur dijangka mendapat sambutan hangat. 

Bagi mereka yang pernah merasa lelah, pernah patah dan masih belajar menerima diri, konsert ini bukan sekadar sebuah malam muzik, ia adalah sebuah perjalanan jiwa yang wajar dialami sekurang-kurangnya sekali dalam hidup. - KitaReporters


11
12
0
13
0
You will be interested