Seni & Sukan 03 Nov, 2025

Testimonial Piala Mirnawan! Negara tak tandus bakat muda! Program Pembangunan Hoki Negara berkesan!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Kejayaan skuad hoki lelaki negara meraih pingat gangsa Piala Asia Bawah 18 Tahun (B-18) di Dazhou, China pada Julai 2025 lalu bukan sekadar detik manis buat skuad remaja itu.

Imbas...skuad hoki remaja negara meraih pingat gangsa Piala Asia B-18 di Dazhou, China Julai 2025.

Sebaliknya ia menjadi bukti keberkesanan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) dan impak penganjuran Piala Mirnawan yang memasuki edisi keempat sejak diperkenalkan pada 2022.

Sejak edisi pertama, kejohanan yang dinamakan sempena legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi itu berkembang menjadi antara kejohanan remaja paling berpengaruh di rantau Asia, menjadi medan menguji kemampuan sebenar generasi pelapis Malaysia.

Dalam tempoh empat tahun, kejohanan tersebut telah berjaya melahirkan deretan pemain muda berpotensi tinggi yang menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ke arah misi besar -- mengembalikan Malaysia ke pentas Olimpik.

Bukti jelas dapat dilihat menerusi kejayaan skuad B-18 negara di Dazhou yang bukan sahaja membawa pulang pingat gangsa, malah menyaksikan kapten Iman Faris Faizo diangkat sebagai Pemain Terbaik Kejohanan, satu pengiktirafan yang mencerminkan kematangan taktikal dan hasil latihan berstruktur.

Iman Faris (kanan) dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan Piala Asia B-18 di Dazhou, China Julai 2025. - Kredit foto: Instagram Hoki Asia.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal menyifatkan kejayaan tersebut sebagai cerminan kukuh keberkesanan pelaburan dalam pembangunan akar umbi hoki negara.
“Kita sedang melihat hasil nyata daripada usaha berterusan di bawah NHDP dan kejohanan seperti Piala Mirnawan. Pencapaian di Dazhou bukan kebetulan -- ia hasil kerja keras sistematik yang telah disemai sejak 2021. 
“Malaysia kini berada di landasan tepat untuk kembali menjadi kuasa besar hoki Asia,” katanya pada sidang akhbar sempena Piala Mirnawan 2025 di Bukit Jalil pada Selasa 28 Oktober 2025.
Hadir sama Mirnawan; Pengarah Bahagian Pembangunan Bakat MSN, Mohd Yazid Shoib; dan Ketua Pegawai Eksekutif KHM, V Jayanandhan. 

Subahan turut menegaskan bahawa kesinambungan kejohanan berimpak tinggi pada semua peringkat umur adalah penting bagi mengekalkan momentum pembangunan.

“Hoki Malaysia perlu mengekalkan kesinambungan pertandingan. Tanpa pendedahan seperti Piala Mirnawan, pemain muda sukar berkembang. Inilah platform yang membentuk pemain berjiwa besar dan bersedia menghadapi pentas dunia,” katanya.

Dari kiri; Mohd Yazid Shoib, Subahan Kamal, Mirnawan Nawawi dan V Jayanandhan ketika sidang media Piala Mirnawan 2025 di Bukit Jalil. - Kredit foto: FB MHC.

Sejak tahun 2022, Piala Mirnawan menjadi sebahagian kalendar penting NHDP, di mana ia berfungsi sebagai jambatan antara program akar umbi, akademi negeri dan skuad remaja negara.

Data prestasi NHDP menunjukkan kemajuan ketara -- tiga pemain lepasan program beraksi di Piala Dunia Remaja 2023 dan lima pemain menyertai Piala Sultan Johor (SOJC) 2024.
Turut membanggakan apabila sembilan pemain beraksi dalam saingan Piala Remaja Asia 2024 dan kini 14 pemain berada dalam skuad SOJC 2025 dengan empat daripadanya telah menembusi skuad senior kebangsaan.
Dalam pada itu, Mohd Yazid menjelaskan bahawa NHDP dibina atas konsep 'structured pipeline' yang menyeluruh.
“Kita bermula dari akar umbi — pemain negeri, sekolah dan pusat latihan. Mereka disaring secara saintifik dan diberi peluang bersaing di kejohanan seperti Piala Mirnawan. Hasilnya, kita dapat melihat pemain muda yang matang dan berdisiplin tinggi,” katanya.

Mirnawan menyifatkan trofi ini bukan sekadar nama, sebaliknya ia adalah simbol perjuangan dan kesinambungan semangat hoki Malaysia. - Kredit foto FB Mirnawan Nawawi.
Sementelah Malaysia kini memiliki sistem pembangunan yang lebih mapan berbanding lima tahun lalu, hasil sinergi antara MSN, KHM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Malah kejohanan remaja B-18 seperti Piala Mirnawan memberi ruang kepada jurulatih menilai kekuatan taktikal, fizikal dan mental pemain, sekali gus menjadi platform pembelajaran yang sangat berharga.

Bagi beliau yang diberi penghormatan menamakan kejohanan itu sebagai Piala Mirnawan di atas bakti dan pencapaian dalam sukan hoki negara, Minarwan melihat kejohanan berkenaan memiliki nilai sentimental dan nasional tersendiri.

“Piala ini bukan sekadar nama. Ia adalah simbol perjuangan dan kesinambungan semangat hoki Malaysia. 

"Pendedahan kepada pemain muda amat penting kerana di peringkat umur ini, kejohanan antarabangsa sangat terhad,” ujar Mirnawan yang terkenal dengan julukan 'The Boss'.

Beliau yang membuat 327 penampilan bersama skuad negara menegaskan, Malaysia perlu berani mencabar diri dengan menganjurkan kejohanan bertaraf dunia di tanah air sendiri.

“Menerusi Piala Mirnawan, SOJC dan Piala Sultan Azlan Shah, kita membina sistem pendedahan berterusan dari peringkat bawah hingga senior,” katanya yang meledak 250 gol sepanjang karier.

Mirnawan turut menyatakan rasa bangga melihat ramai pemain muda yang kini menjadi tulang belakang skuad kebangsaan bermula daripada platform ini.
“Setiap kali saya lihat mereka bermain dengan semangat tinggi di bawah Jalur Gemilang, saya tahu Piala Mirnawan telah menjalankan peranannya,” kata legenda hoki itu.

Piala Mirnawan yang diperkenalkan pada 2022 menjadi pentas pemain remaja menguji kemampuan sebenar generasi pelapis Malaysia. Kredit foto: FB Mirnawan Nawawi.

Bagi edisi 2025, Piala Mirnawan menampilkan penyertaan 11 pasukan melibatkan enam bagi kategori lelaki dan lima untuk kategori wanita B-18.

Ia merangkumi skuad Malaysia Speedy, Malaysia Tiger dan Malaysia Tigress serta Jepun, Afrika Selatan, Queensland dan Croc One Active dari Australia yang masing-masing menghantar pasukan untuk kategori lelaki serta wanita.

Semua pasukan bersaing dalam format liga sepusingan (round-robin) dengan dua pasukan terbaik mara ke final -- format yang terbukti berkesan dalam menilai konsistensi dan stamina pemain muda.

Kejohanan dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 2 hingga 9 November 2025.

Penganjuran edisi keempat tersebut bukan sahaja meningkatkan taraf kompetitif hoki remaja negara, tetapi menarik perhatian antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan pembangunan berkualiti tinggi.

NHDP sendiri, yang dilancarkan secara rasmi pada 2021 oleh MSN, merupakan kesinambungan daripada pelan 'National Hockey Forward Program' (NHFP) yang memberi tumpuan kepada latihan saintifik, sains sukan, dan pembangunan jurulatih. 

Program berkenaan membentuk laluan tersusun dari peringkat sekolah ke skuad kebangsaan.

Menerusi pendekatan menyeluruh itu, NHDP kini menjadi model pembangunan sukan berasaskan data yang dipuji oleh negara luar — membuktikan bahawa Malaysia mampu membina sistem yang mampan untuk melahirkan generasi pemain bertaraf dunia.  

Kejayaan tersebut juga menjadi cerminan kepimpinan strategik dalam KHM dan MSN yang memahami keperluan reformasi sukan di peringkat akar umbi. 


Skuad Malaysia Tigers dijulang sebagai juara Piala Mirnawan edisi 2024.

Mirnawan menjadi simbol legasi yang hidup. Sebagai pemain, beliau pernah menyertai skuad hoki negara  dalam tiga Sukan Olimpik iaitu di Barcelona pada 1992 dan empat tahun kemudian di Atlanta.

Malah figura itu turut diberi tanggungjawab memakai lilitan kapten pasukan dan diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada temasya Olimpik di Sydney pada edisi 2000. 

Membantu pasukan negara meraih pingat gangsa Sukan Asia Beijing 1990 dan perak pada Sukan Asia Bangkok 1998 serta pingat perak Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Mirnawan juga menjadi sebahagian daripada skuad yang menamatkan Piala Dunia Hoki 2002 di tempat kelapan serta diiktiraf antara pemain tengah terbaik Asia pada zamannya serta pernah mewakili pasukan bintang-bintang Asia dan kesebelasan dunia.

Kini sebagai pentadbir, tokoh sukan berusia 54 tahun itu meneruskan perjuangan dengan cara berbeza -- memupuk nilai profesionalisme dan disiplin dalam kalangan pemain muda agar mampu bersaing di peringkat dunia.

Piala Mirnawan bukan sekadar kejohanan remaja, tetapi simbol kebangkitan hoki Malaysia. Ia membuktikan bahawa pembangunan sukan yang dirancang secara saintifik, konsisten dan berterusan mampu mengembalikan maruah negara di pentas antarabangsa.

Jika edisi 2025 ini menjadi ukuran, maka Malaysia sedang berada di era kebangkitan baharu hoki negara — era di mana legasi seorang legenda diteruskan oleh generasi pelapis yang mewarisi semangat juangnya. - KitaReporters

10
9
0
8
0
You will be interested