Seni & Sukan 20 Aug, 2025

Video| Teruja dan seronok! Dharma kembali berlakon selepas 13 tahun! Syafiq nafi tumpang nama ayah!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Dharma Harun Al-Rashid, 68, teruja dan seronok dapat kembali ke set penggambaran bagi merasa suasana syuting setelah 13 tahun meninggalkan dunia lakonan. Lebih mengharukan Dharma ialah apabila anaknya, Syafiq Dharma, 36, turut berlakon dalam telefilem, Ayah, terbitan produser terkenal, Datuk A Aida. - KitaReporters



Bagai mimpi menjadi nyata. Itulah yang dialami pelakon veteran Dharma Harun Al-Rashid, 68. Janji produser terkenal Datuk A Aida untuk memberi peluang dia berlakon menjadi kenyataan.

Baru-baru ini, Dharma teruja dan seronok dapat kembali ke set penggambaran bagi merasa suasana syuting setelah 13 tahun meninggalkan dunia lakonan.

Dharma Harun Al-Rashid memberi lakonan terbaik dalam telefilem 'Ayah' untuk perlihat kemampuannya

Bermula dengan filem ‘Adik Manja’ pada 1980 dan terakhir ‘Adik Manja Returns’ pada 2012, bererti sudah 13 tahun Dharma tidak merasa suasana syuting.

A Aida yang menziarahi Dharma yang tidak sihat tidak lama dahulu di rumahnya menunaikan janji untuk memberi peluang  kepada Dharma kembali berlakon.

Dharma bersama Syafiq Dharma (kiri), Aniq Suhair dan Azeva Natassha

A Aida sanggup mengubah suai skrip telefilem ‘Kisah Cinta Kau Dan Aku’ dengan menjadikan watak utama daripada wanita  menjadi lelaki bagi membolehkan Dharma memegang watak itu. Dan judul asal ditukar menjadi ‘Ayah’. 

Skrip drama itu asalnya dihasilkan oleh Fatin Nabila dan diarah Zul Huzaimy.

Syuting berlangsung empat hari dengan salah satu tempat di Pusat Jagaan Harian Warga Tua Cheras Baru, Kuala Lumpur pada Isnin, 18 Ogos 2025.

Lebih mengharukan Dharma ialah apabila anaknya, Syafiq Dharma atau nama sebenarnya Muhammad Al-Syafiq Mohamad Azman, 36, turut berlakon dalam telefilem itu.

Dharma teruja digandingkan bersama anaknya Syafiq

Pelakon filem ‘Adik Manja’ ini mengakui walaupun tidak banyak bersembang dengan pelakon dan kru kerana keadaan kesihatannya, dia sangat menghargai layanan yang diterima ketika penggambaran.
Bagaimanapun Dharma rasa penat menjalani penggambaran selama 4 hari dan akan selepas selesai syuting terpaksa menemui doktor kerana dia mempunyai sakit asma dan kahak dalam paru-paru.

Menurut Dharma dengan keadaan kesihatannya sekarang, dia hanya sesuai menjalani syuting selama dua hari sahaja. Namun dia terpaksa menerima tawaran syuting yang perlu dijalani lebih daripada dua hari demi mendapat wang.

Dan Dharma turut berterima kasih kepada pihak produksi dengan mengundang  beberapa pengamal media untuk membuat liputan. 

Dalam pertemuan dengan petugas media, Dharma menyamakan perasaannya seperti keghairahan seorang atlet yang kembali beraksi dalam sukan amat dicintainya.

Dharma menyifatkan perasaan itu adalah satu kegembiraan yang sukar digambarkan apabila diberi peluang untuk mengasah semula bakat yang sekian lama tersimpan.

Dharma sedia melayan permintaan petugas media ketika berehat syuting

Sementara itu anaknya, Syafiq Dharma juga bersyukur diberi peluang berlakon bersama ayahnya.

Dalam pertemuan dengan petugas media, Syafiq meminta orang ramai tidak menuduh dia menggunakan nama ayahnya untuk mendapat kerja (job). Sebelum inipun Syafiq sudah mula berlakon walaupun tidak diberi peranan penting.

Malah dia menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bukan atas nama Dharma sebaliknya atas kebolehannya.

‘Kalau betul saya tiada bakat, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) tentu tidak terima saya sebagai pelajar mereka,’ kata Syafiq.

Dharma bersama sebahagian pelakon dan kru telefilem 'Ayah'. Paling kanan, pengarah Zul Huzaimy.

Cuma tambahnya, setelah kisah kesusahan Dharma mendapat perhatian, ia sedikit sebanyak memberi lebih ‘rezeki’ kepadanya untuk mendapat ‘job’.

Telefilem ‘Ayah’ dijangka ditayang pada 19 Oktober 2025 ini dalam saluran Salam HD, Unifi TV.

Salah satu adegan dalam telefilem 'Ayah'

Selain Dharma sebagai Nordin dan Syafiq, drama ini turut dijayakan Aniq Suhair, Azeva Natassha (anak S Aida), Aisyah Hasnaa dan Ezzaty Abdullah. 

Drama ini mengisahkan seorang ayah yang sudah lanjut usia yang diabai oleh anak-anak.

A Aida sebelum ini pernah berjanji jika berjaya watak dengan baik dalam ‘Ayah’ dan akan memberi peluang berlakon bagi tempoh setahun  dalam drama bersiri atau telefilem keluaran rumah produksi A Aida Production.

A Aida Production merupakan antara rumah produksi yang aktif menerbitkan karya untuk stesen TV. - KitaReporters

7
11
0
15
0
You will be interested