Seni & Sukan 11 Sep, 2025

Video| Rindu terubat! Siti beraksi di Pestapora! Bawa pelukan rakyat Malaysia untuk rakyat Indonesia!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46,  bersyukur dapat menjayakan konsert selama sejam di Festival Pestapora 2025 pada Ahad, 7 September 2025 di Jakarta,  setelah enam tahun tidak mengadakan persembahan di Indonesia.




Sebelumnya, Siti bimbang konsertnya mungkin batal ekoran tercetusnya peristiwa tragedi rusuhan di Jakarta beberapa hari sebelum Pespora 2025 berlangsung. 

Namun dengan kawalan keselamatan ketat, festival hiburan Pestapora 2025 dapat diadakan selama tiga hari pada 5, 6, dan 7 September 2025 di Jakarta International Expo, Kemayoran, Jakarta tanpa kejadian tidak diingini.

Ia menampilkan pelbagai persembahan  hiburan di 17 pentas antara jam 8 pagi hingga 8 malam dengan menampilkan ratusan insan seni dalam dan luar negara. 

Persembahan Siti diberi slot selama sejam di sebelah pagi Ahad iaitu hari terakhir Pestapora 2025.



Persembahan Siti adalah antara persembahan pentas yang mendapat sambutan luar biasa di Pestapora 2025.Siti memulakan persembahan dengan lagu-lagu klasik seperti ‘Cindai’, ‘Purnama Merindu’, dan ‘Wajah Kekasih’, sebelum menyampaikan lagu ‘Bukan Cinta Biasa’  yang mendapat sorakan gemuruh penonton.

Dia dapat menyampaikan 11 lagu dalam konsert selama sejam itu. Suasana paling mencuri tumpuan berlaku ketika Siti menyedari kehadiran salah seorang penyanyi terkenal Indonesia, Afgan di kawasan media pit.



Tanpa skrip atau latihan, Siti menghulurkan tangan dan berkata, ‘Ayuh, Afgan,’ . Ia mengundang sorakan dan tepukan daripada penonton yang memenuhi tapak festival.

Afgan, yang pada mulanya terkejut, segera naik ke pentas dan menyanyikan bahagian korus lagu itu  bersama Siti dalam lagu 'Bukan Cinta Biasa'. 

Duet spontan itu berlangsung penuh kehangatan, mencipta suasana emosional yang menyentuh hati peminat kedua-dua negara.

“Saya sebenarnya kangen (rindu) sama kalian. Impian saya untuk hiburkan peminat di Indonesia akhirnya tercapai. Saya cintakan anda semua.

“Sepanjang menjadi penyanyi, saya tidak hanya menerima sokongan peminat, malah rakan-rakan artis dari Indonesia membuat saya rasa dihargai," ujar Siti kepada penonton Indonesia. 


Siti Nurhaliza menyampaikan lagu ''Menamakanmu Cinta' ciptaan Ade Govinda yang memetik gitar.


Dia turut menyampaikan penghargaan atas sokongan peminat dan penganjur Pestapora yang membolehkannya kembali ke pentas Indonesia selepas beberapa tahun.

Siti menyifatkan kehadirannya di festival muzik popular Indonesia, Pestapora 2025 itu sebagai peluang untuk menyampaikan salam, pelukan serta sokongan rakyat Malaysia kepada rakyat Indonesia.


"Saya sebenarnya kangen (rindu) sama kalian," kata Siti.


Penampilan Siti Nurhaliza berduet bersama Afgan menjadi antara sorotan utama dan paling banyak dikongsi dalam media sosial dan platform video seperti YouTube dan TikTok.

Bagi Siti persembahan di Pestapora 2025 menjadi antara persembahan memberi kenangan abadi buat dirinya.

Jika diundang lagi, Siti tidak keberatan untuk muncul dalam Pestapora 2026. Siti Nurhaliza adalah antara segelintir  insan seni Malaysia yang mampu menambat hati peminat seni Indonesia.

Kali terakhir Siti mengadakan konsert di Indonesia di Istora, Senayan, Jakarta pada 21 Februari 2019 melalui konsert  Siti Nurhaliza. - KitaReporters

14
10
0
14
0
You will be interested