Seni & Sukan 02 Dec, 2025

Siapa Dream Team legenda rock? Ito Blues, Jojet, Gersang, Yantzen, Rahmad Mega gegarkan Saloma KL!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Lima nama yang digelar 'Dream Team' muzik rock Malaysia yang diiktiraf sebagai penanda aras akan bersatu di sebuah pentas! 

Siapakah mereka yang dipilih menghidupkan semula semangat rock tanah air dalam konsert Rock Legends Live At Saloma Kuala Lumpur pada 20 Disember 2025 ini? 



Barisan legenda yang dihimpunkan oleh HS Event & Entertainment ini tidak lain adalah Ito Blues Gang, Jojet, Man Bai/Gersang, Yantzen, dan Rahmad Mega, yang masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

Mereka bukan sahaja disayangi kerana lagu-lagu popular, tetapi kerana karakter, teknikaliti, dan sumbangan signifikan mereka kepada spektrum muzik rock Malaysia yang lengkap, malah kesemua mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri yang memberikan sokongan padu dari dahulu sehingga kini. 



Antara mereka, Ito dikenali sebagai "Bapa Blues Nusantara" kerana peranannya mempopularkan irama Blues dari Amerika dan 'memelayukan' genre tersebut dengan jiwa tempatan melalui lagu malar segar seperti "Apo Nak Dikato" dan "Mak Siti". 

Jojet pula merupakan pemain dram yang diiktiraf sebagai legenda, memainkan peranan sebagai tulang belakang kepada bunyi heavy kumpulan gergasi seperti Gersang dan kemudiannya Wings. 

Kumpulan Gersang sendiri yang lebih cenderung kepada irama rock progresif, dikenali kerana ahli-ahlinya yang muda tetapi mempunyai skil muzik yang sangat matang, menghasilkan susunan muzik indah dan teknikal seperti melalui lagu, "Masih Aku Terasa" dan "Suratan Takdir," selain melahirkan Man Bai, Kidd,  Jojet, dan Man Greng sebagai anggota pada tahun 1987 setelah nama asal kumpulan itu bertukar daripada Santos Child kepada Gersang.

Seterusnya, Yantzen Juniwan memegang gelaran "Ikon Heavy Metal Malaya," definisi sebenar 'Mat Rock' yang memerlukan emosi yang sangat mendalam untuk menyanyikan lagu seperti "Tiada Lagi Aku" dan "Insan". 

Melengkapkan barisan lagenda adalah Rahmad Mega yang dinobatkan sebagai "Raja Balada Rock" kerana keunikan suaranya yang mempunyai kualiti 'clean' tetapi mampu mencapai nota tinggi yang tajam dan bertahan panjang, menjadikan lagu puitisnya seperti "Takdir dan Waktu" dan "Bayangan Gurauan" sebagai lagu wajib di pusat karaoke.


Kiri: 'Re Union" Kimpulan Gersang - Jojet, Man Bai, Kid dan Man Greng.


Penganjuran konsert 'Rock Legends Live At Saloma Kuala Lumpur' ibarat menghidupkan semula semangat rock ketika industri sedang dibanjiri muzik pop leleh, galau dan indie.

"Lagu-lagu dan personaliti mereka yang hebat menjadi jawapan mengapa mereka kekal relevan sehingga ke hari ini. 

"Saloma Kuala Lumpur menjanjikan satu persembahan menghiburkan kepada mereka yang hadir menonton nanti,” ujar Datin Seri Ismariza Che Umar selaku penganjur bersama rakan kongsinya, Mubarak Akhtar.

Beliau yakin gabungan nama-nama ini yang mewakili satu spektrum muzik rock Malaysia yang lengkap pada era sebelum ini, bersama populariti lagu-lagu yang ditampilkan akan menjadikan Saloma Kuala Lumpur berubah menjadi dewan karaoke terbesar pada malam tersebut.

Sudah pasti ada yang tidak akan terlepas daripada menggoyangkan kaki mereka, ya tak?


Ismariza Che Omar dan Mubrak Akhtar... penganjur bersama konsert.


"Lagu-lagu dan personaliti mereka yang hebat menjadi jawapan mengapa mereka kekal relevan sehingga ke hari ini. 

Saloma Kuala Lumpur menjanjikan satu persembahan menghiburkan kepada mereka yang hadir menonton nanti,” sambung Mubarak Akhtar. 

Terdahulu, pada asalnya, nama penyanyi Azlan Typewriter turut diumumkan menyertai 'Dream Team' namun khabarnya beliau tidak dapat menyertai konsert atas sebab-sebab tertentu. 

Jadi, mungkinkah ada penyanyi legenda lain yang akan menggantikan tempatmya sebagaimana 'tanda tanya' kepada ruang 'penampilan khas' yang tertera pada poster konsert atau pun tiada?

Jawapannya, kita tunggu pada malam 20 Disember 2025 nanti jika ada kejutan ya!,

Apa pun yang pasti, beberapa anggota kumpulan lain seperti bekas vokalis kumpulan Wings, Mel atau nama sebenarnya, Ismail Zainuddin akan turut serta bagi menambahkan kehangatan konsert. - KitaReporters


Dari kiri: Mel, Ito, Yantzen, Jojet,  Ismariza, Mubarak, Man Bai, Kid dan Man Greng.

14
13
0
11
0
You will be interested