Seni & Sukan 28 Aug, 2025

Video| Cinta Sampai Akhir 4Forty! Himpun Jaclyn, Noryn, Dina! Cloudworks Entertainment buka langkah!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Suasana di Saprah KL pada petang 26 Ogos 2025, bergema dengan melodi indah dan harmoni vokal, saat trio 4Forty melancarkan single terbaharu mereka, “Cinta Sampai Akhir.” 


 


Aszuad Zakaria menyerahkan poster '4Forty' sebagai simbolik pelancaran single"Cinta Sampai Akhir' kepada Izzatul Shima Md Thahir sambil disaksikan oleh kumpulan 4 Forty serta artis undangan terbabit di Saprah KL pada 26 Ogos 2025.


Majlis pelancaran yang penuh gemilang ini tidak hanya menandakan sebuah lagi pencapaian dalam kerjaya 4Forty, tetapi juga satu lagi pencapaian penting bagi Cloudworks Entertainment -- sebuah syarikat yang terkenal dalam pengurusan dan penerbitan projek muzik berkualiti tinggi di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. 

Terdiri daripada Adeep Nahar (bekas anggota The Fabulous Cats), Luqman Hakim, dan Mohd Fakhiz (kedua-duanya bekas anggota Enquire), 4Forty kini menjadi simbol keharmonian vokal dan keunggulan muzik. 

Sejak ditubuhkan di bawah naungan Cloudworks Entertainment, kumpulan ini telah memukau penonton dengan persembahan penuh emosi dan bunyi yang kekal relevan sepanjang zaman. 

Lebih menarik, majlis pelancaran single terbaharu mereka, “Cinta Sampai Akhir.” bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi sebuah perhimpunan luar biasa yang menghimpunkan barisan suara emas Malaysia, termasuklah ikon vokal, Jaclyn Victor, Noryn Aziz, dan Dina Nadzir, menjadikannya satu acara yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar hiburan tempatan.


Kumpulan 4Forty. Dari kiri: Adeep Nahar, Mohd. Fakhiz dan Luqman Hakim.

Kumpulan 4Forty bersama Jaclyn Victor mempersembah single mereka, 'Cinta Sampai Akhir'. 


Puncak acara bermula dengan tayangan perdana video muzik “Cinta Sampai Akhir,”  duet bersama Jaclyn Victor, sebuah karya visual yang menyentuh hati tentang cinta sejati dan kesetiaan yang abadi.

Suasana menjadi lebih meriah apabila 4Forty mengambil pentas untuk persembahan secara langsung, di mana harmoni vokal mereka diperkuatkan lagi dengan kekuatan vokal tersendiri daripada artis jemputan terbabit.



Untuk makluman, terdahulu pada  15 Ogos 2025, 4Forty telah melancarkan single sulung mereka berjudul 'Bintang'. sebuah lagu duet dengan Noryn Aziz, menggabungkan vokal abadi dan harmoni yang indah manakala lagu bersama Dina Nadzir berjudul 'Salahku Mengalah' bakal dilancarkan pada bulan September atau Oktober depan.

“Kami berterima kasih kepada Cloudworks Entertainment kerana mempercayai visi kami, dan juga kepada rakan artis yang turut serta menjadikan detik ini begitu bermakna,” kata kumpulan itu. sambil yakin single terbaharu mereka itu menjanjikan peegalaman pendengaran yang penuh emosi.



Acara pelancaran ini turut mendapat sokongan padu daripada MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi, dihadiri antaranya oleh Datin Izzatul Shima Md Thahir selaku Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Kandungan, yang terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan bakat tempatan dan mengukuhkan ekonomi kreatif negara melalui pembiayaan, latihan, dan sokongan promosi.



Sementara itu, Pengasas Cloudworks Entertainment, Aszuad Zakaria memaklumkan bahawa misi syarikatnya adalah untuk memperjuang suara hebat dan lagu-lagu yang memberi kesan.

"Di Cloudworks, misi kami sentiasa untuk memperjuangkan suara hebat dan lagu-lagu yang memberi kesan. ‘Cinta Sampai Akhir’ bukan sekadar single -- ia adalah satu penghargaan terhadap bakat Malaysia yang bekerjasama menghasilkan muzik  berkualiti dan berkekalan,” jelas Aszuad.

Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra, memberi peluang kepada para tetamu untuk berinteraksi dengan para artis serta meraikan komitmen bersama dalam memajukan industri hiburan tanah air. - KitaReporters


15
8
0
18
0
You will be interested