USAHA mewujudkan kategori umur bawah sembilan tahun dalam kejohanan memanah pada peringkat daerah atau negeri
amat baik kerana kerana sukan kemahiran seperti memanah perlu melentur pemain sejak mereka pada peringkat awal.

Peserta memberi fokus dalam setiap panahan bagi memastikan anak panah tepat ke sasaran.
Inilah yang dilakukan oleh kuasa besar sukan memanah dunia seperti Korea Selatan yang menjadikan ia satu budaya dan pendedahan sejak usia kanak-kanak, cuma ia memerlukan galakan semua pihak terutama ibu bapa bagi memastikan anak-anak memilih memanah berbanding bolasepak.
"Malaysia boleh menjadi seperti Korea Selatan tapi semua pihak perlu mengambil tanggungjawab bermula daripada ibu bapa, jurulatih, kelab dan kerajaan.
"Jika semua bergabung, tidak mustahil memanah di Malaysia menjadi sukan popular tapi ia memerlukan sedikit masa kerana trend atau mentaliti dalam kalangan masyarakat belum berubah, sukan popular masih bola sepak dan badminton," kata Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Hulu Langat, Mohd Akmal Adha Mohd Sanusi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan replika cek Geran Padanan Sukan sebanyak RM60,000 sempena Kejohanan Memanah KMU peringkat Negeri Selangor 2025 di Padang Memanah AKMA, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Mohd Akmal Adha Mohd Sanusi (kiri) menyerahkan Geran Padanan Sukan berjumlah RM60,000 kepada Khairunnizam Sarjuni sempena Kejohanan Memanah KMU peringkat Negeri Selangor 2025.
Beliau berkata, memanah pada peringkat daerah dan negeri perlu mendapat kemudahan lebih baik berbanding apa yang ada sekarang seperti padang latihan yang terpaksa dikongsi dengan penduduk setempat sehingga mengganggu fokus pemanah.
"Kelab perlu menganjur lebih banyak kejohanan pada peringkat daerah dan negeri supaya mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ibu bapa melihat sukan itu ada potensi itu kepada masa depan anak-anak mereka.
"Kita menyokong usaha-usaha kelab yang melahirkan ramai bakat baharu apatah lagi mereka memberi latihan pada peringkat akar umbi cuma banyak kelab yang tidak berdaftar sehingga kerajaan sukar memantau dan menyalurkan dana," katanya.

Ini antara pelapis yang bakal mewarnai sukan memanah negara bergambar kenangan bersama Mazwan Johar (belakang, dua dari kanan).
Bagi Penyelaras DUN Sungai Ramal, Mazwan Johar, usaha-usaha Kelab Memanah Utama (KMU) dan Kelab Memanah Akma patut dipuji kerana mereka mencungkil bakat-bakat baru untuk sukan memanah di negara ini.
"Tapi, saya cabarannya pun banyak pada peringkat daerah dan negeri seperti mendapatkan padang latihan, mengadakan kejohanan, kewangan dan tajaan.
"Mungkin memanah bukan sukan popular tapi kelab-kelab kecil ini jangan putus asa, terus bergerak ke hadapan kerana tanpa mereka, negara akan ketandusan pemanah berbakat.
"Pemanah berusia sembilan tahun atau 12 tahun adalah aset negara pada masa depan, cuma kita perlu terus memberikan galakan dan melatih mereka sehingga ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Ahmad Adzeen Idzhareef Azidee, peserta kategori 9 tahun, gembira anak panah yang dilepaskan mengenai sasaran 10.
Beliau berkata, sukan memanah ini unik kerana jika dilakukan secara serius, potensi mendapatkan pingat sama ada pada peringkat kebangsaan, antarabangsa atau Olimpik cerah kerana ia tidak mengutamakan saiz fizikal berbanding bola sepak.
"Saya rasa jika ada satu kejutan seperti pemanah kita menang emas di Olimpik atau kejohanan dunia, ia akan mewujudkan fenomena baharu kepada masyarakat untuk memilih sukan memanah malah tajaan dari swasta pun datang mencurah-curah.
"Ya, kita menunggu Robin Hood itu," katanya lagi.

Jurulatih turut membantu peserta mencabut anak panah bagi memudahkan mereka mengira mata.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi KMU, Khairunnizam Sarjuni berkata, Pertandingan Memanah KMU 2025 Peringkat Negeri Selangor pada 13 dan 14 September 2025 di Pusat Latihan Kelab Memanah Akma, Selangor menerima 320 penyertaan dari Perak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau berkata, kejohanan yang mendapat sokongan KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Rakan Muda itu mewujudkan kategori bawah sembilan tahun buat pertama kali bagi bertujuan mengasah bakat-bakat muda selain pendedahan awal sebelum bersaing pada peringkat senior.
"Di kejohanan ini juga, kami mengadakan format secara kalah mati atau Olympic Round (OR) selepas pusingan kelayakan. Daripada 16 pemanah terbaik, mereka bertanding sehingga peringkat akhir, memang mencabar mental dan menguji kemahiran, fokus dan strategi mereka," katanya.

Pemenang-pemenang bagi kategori 9 tahun perempuan gembira dengan hadiah kemenangan yang diterima daripada Mazwan.
Khairunnizam berkata, kejohanan ini juga bagi memilih pemanah untuk mewakili negeri masing-masing ke peringkat kebangsaan seperti Sukma. Tidak hairanlah kebanyakan peserta yang mengambil bahagian ialah pemanah pelapis.
"Satu lagi tarikan pada kejohanan ini ialah hadiah wang tunai. Terima kasih kepada KBS, MSN dan Rakan Muda kerana di kebanyakan pertandingan sebelum ini, pihak penganjur hanya menyediakan medal dan sijil penyertaan.
"Kami juga menerima penyertaan beberapa peserta pendidikan khas seperti lembam dalam pembelajaran atau autisme yang bertanding di kejohanan itu sebagai pemanah normal," katanya. - KitaReporters

Pemenang-pemenang bagi kategori bawah sembilan tahun gembira bergambar bersama Mazwan selepas menerima pingat masing-masing.
Berikut senarai pemenang pada Kejohanan Memanah KMU peringkat negeri Selangor 2025;
Recurve Bawah 9 (Perempuan):
1. NUR AMANDA HISHAM - SK TAMAN UNIVERSITI
Recurve Bawah 9 (Lelaki):
1. MUHAMMAD AMMAR THAQIF BIN MUHAMMAD AMIRUL SHAFIQ - SK METHODIST
PELABUHAN KLANG
Recurve Bawah 12 (Perempuan):
1. NUR ZARA HAFIYA BINTI MOHD ZUHANIF - S2 ARCHERY CLUB
Recurve Bawah 12 (Lelaki):
1. MUHAMAD FARIEZ NAWFAL MOHD HAFIZ FAIZAL - AKADEMI MEMANAH PUTRA
Recurve Bawah 15 (Perempuan):
1. NUR ALEESHA BINTI HISHAM - SMK SERI SERDANG
Recurve Bawah 15 (Lelaki):
1. LEE HONG SHING - BONG ARCHERY
Barebow Master (Wanita):
1. YUSNAINI BINTI MOHD YUSOFF - R10 ARCHERY CLUB
Barebow Master (Lelaki):
1. AHMAD AIMAN ZORKEPLI - S2 ARCHERY CLUB
