Debaran kejohanan badminton dunia, Kejohanan Dunia BWF di Perancis kian dirasai apabila ia akan membuka tirai di Adidas Arena, Paris pada 25 Ogos ini. Malah keterujaan kelompok pemain terbaik dunia semakin membuak-buak apabila jadual perlawanan dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam sesi undian di Kuala Lumpur pada Rabu 13 Ogos 2025. - KitaReporter

Soh Wooi Yik (kanan) dan Aaron Chia mahu mengulangi pencapaian kejuaraan dunia di Paris akhir bulan Ogos 2025 ini.
DEBARAN Kejohanan Dunia BWF di Perancis kian dirasai apabila ia akan membuka tirai di Adidas Arena, Paris pada 25 Ogos ini.
Malah keterujaan kelompok pemain terbaik dunia semakin membuak-buak apabila jadual perlawanan dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam sesi undian di Kuala Lumpur pada Rabu 13 Ogos 2025.
Tumpuan peminat badminton tanah air sudah pasti kepada beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengimpikan gelaran sama buat kali kedua selepas menjuarainya pada edisi 2022 di Tokyo tiga tahun lalu.
Malah menariknya, pasangan nombor dua dunia itu mempunyai momen indah di venue sama apabila meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 tahun lalu.
“Arena sama dan saya juga harap boleh beri yang lebih baik seperti tahun lepas tetapi keputusan janganlah sama.
“Lebih baik (berbanding Sukan Olimpik Paris). Harap ada tuah juga sempena Hari Kemerdekaan negara,” katanya.


Nur Izzuddin Rumsani (kanan) dan Goh Sze Fei berpotensi berdepan Aaron-Wooi Yik pada aksi separuh akhir.
Bagi merealisasikan impian itu Aaron-Wooi Yik perlu memperaga aksi 'kelas A' dan mereka menerima bye pada pusingan pertama.
Mereka bagaimanapun dijangka berdepan cabaran getir pada pusingan ketiga sama ada rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King atau pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.
Malah ujian lebih getir pada suku akhir dengan kemungkinan bertemu naib juara Olimpik Paris 2024 dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang atau gandingan utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Andai melangkah ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik berpotensi berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bagi mencipta pertembungan sesama sendiri, sekali gus satu tiket final sudah berada dalam tangan.
Sze Fei-Izzuddin pula yang juga pilihan ketiga bakal berdepan ujian getir di suku akhir, sama ada menentang beregu ranking kelapan dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman-Moh Reza Isfahani atau gandingan ranking ke-11 dunia dari China, Liu Yi-Chen Bo Yang.
Satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghuni ranking ketujuh dunia dijangka membuat perhitungan dengan pilihan pertama dari Korea Selatan, Kim Wo Ho-Seo Seung Jae di suku akhir.

Lee Zii Jia bakal menghangatkan Kejohanan Badminton Dunia di Paris selepas kali terakhir beraksi dalam saingan kompetitif Mac 2025.
Keterujaan peminat juga pasti ke arah pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia yang bakal kembali ke saingan kompetitif sejak Mac 2025 lalu selepas berehat panjang akibat kecederaan buku lali kanan yang dialami pada Jejajah Dunia pada akhir Disember 2024 lepas.
Zii Jia yang berstatus kesembilan dunia berdasarkan perlindungan ranking akan membuka kempen menentang wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin pada pusingan pertama.
Kelebihan nyata memihak kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu yang pernah menewaskan Hyeok Jin tiga kali daripada empat pertemuan sebelum ini.
Bagaimanapun ujian sebenar dijangka hadir pada pusingan kedua apabila dia berkemungkinan besar berdepan pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng.
Shi Feng dijangka tidak berdepan masalah menyingkirkan lawan pusingan pertama, Yushi Tanaka dari Jepun, selain memiliki rekod kemenangan 4-2 ke atas Zii Jia.

Bagi kategori beregu wanita, pasangan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dilihat berpeluang untuk melangkah ke separuh akhir.
Pilihan kedua itu menerima bye pada pusingan pertama dan dijangka berdepan pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada suku akhir.
Di sebalik perjalanan tersebut, pasangan nombor dua dunia itu mahu menebus kecewa selepas tumpas kepada pasangan China, Zhan Shu Xian-Zheng Yu dalam saingan suku akhir edisi 2023 di Denmark meskipun sudah mendahului lawan.
"Saya masih belum ada memori terindah sebab belum pernah dapat pingat (Kejohanan Dunia), jadi cuma ada kisah sedih.
"Apa yang saya tidak boleh lupa pada 2023, kami sudah mendahului dalam suku akhir, tetapi kembali dipintas. Jadi saya memang tidak boleh lupakannya," ujar Pearly.

Pearly Tan (kanan) dan M Thinaah memasang impian untuk meraih gelaran dunia di Paris.
Kekecewaan tersebut sudah berlalu, Pearly-Thinaah kini lebih bersemangat dan membara sambil bertekad untuk mencipta sejarah tersendiri pada kejohanan sama di Paris bermula 25 Ogos 2025 ini.
"Saya tidak akan membawa ingatan itu ke dalam gelanggang, cuma akan membawa pengalaman itu untuk digunakan pada masa akan datang.
"Memang momen itu meninggalkan kesan, bukan hanya dalam Kejohanan Dunia tetapi setiap kejohanan yang kami sertai. Kami menggunakannya sebagai motivasi dan berharap ia tidak berulang," ujar Pearly.
Rakan sepasukan, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang berada di ranking ke-18 dunia turut menerima bye pada pusingan pertama, namun dijangka berdepan laluan sukar pada pusingan ketiga menentang beregu ranking kelapan dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
Sebagai rekod, Malaysia masih belum pernah meraih pingat dalam acara beregu wanita di Kejohanan Dunia.

Dalam acara beregu campuran, pasangan suami isteri yang merupakan pilihan keenam, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula berkemungkinan berdepan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada pusingan ketiga.
Kedua-dua pasangan menerima bye pada pusingan pertama dan perlu melepasi halangan pada pusingan kedua sebelum pertembungan 'all-Malaysian' itu menjadi kenyataan.
Soon Huat-Shevon ketika ini mendahului 1-0 dalam rekod pertemuan menentang pasangan ranking ke-16 itu.
Dalam pada itu, pilihan keempat, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turut menerima bye pusingan pertama dijangka berdepan cabaran getir di pusingan kedua menentang pasangan ranking ke-11 dunia dari Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu. - KitaReporters