
Hakim Danish Ramli bakal berlumba dalam saingan Moto3 akhir Oktober depan. - Kredit foto: FB ZK Racing
Pengumuman rasmi berhubung penyertaannya dibuat oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sekali gus menamatkan teka-teki yang berlegar sejak beberapa bulan lalu.
Perlumbaan penuh berprestij itu akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025 di Sepang, dengan ribuan peminat tempatan pastinya menantikan aksi anak Malaysia di pentas dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menyifatkan peluang ini wajar diberikan kepada Hakim Danish selepas menilai konsistensi dan kerja keras pelumba muda itu.
“Kami lihat prestasi Hakim konsisten sejak pada peringkat akar umbi. Beliau bekerja keras, berdisiplin dan mempunyai karakter seorang pelumba bertaraf dunia.
"Wildcard ini bukan hadiah, tetapi pengiktirafan kepada usahanya,” katanya.
Menurut beliau, tiga tahun selepas penampilan Syarifuddin Azman atau Damok, rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang menyaksikan pelumba muda tempatan beraksi dalam kelas Moto3.
Apa yang lebih membanggakan, kemunculan Hakim Danish bukan sekadar penyertaan sementara, tetapi simbol kepada kejayaan pelan pembangunan akar umbi sukan permotoran negara.

Perjalanan Hakim Danish bermula daripada program pembangunan SIC MiniGP yang merintis jalan untuk bakat-bakat baharu menimba pengalaman pada peringkat awal.
Di sinilah bakatnya mula disemai, sebelum melangkah lebih jauh dengan menjuarai Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) pada tahun 2022.
Kemenangan itu membuka pintu besar ke Eropah apabila beliau beraksi dalam European Talent Cup (ETC), Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP.
Musim 2025 menjadi bukti nyata kematangannya apabila berjaya menamatkan saingan RBMRC di tempat ketiga keseluruhan -- pencapaian membanggakan yang meletakkan namanya sebaris dengan pelumba muda terbaik dunia.
“Kejayaan di Rookies Cup sangat bermakna. Saya terpaksa bersaing dengan lebih 25 pelumba dari seluruh dunia, dan podium keseluruhan membuktikan saya berada di landasan tepat,” kata Hakim Danish.

Bagi Shafriman, pencapaian ini menggambarkan hasil kerjasama strategik antara SIC dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyediakan laluan pembangunan jelas untuk bakat tempatan.
Hakim Danish kini dianggap simbol harapan negara untuk suatu hari nanti melahirkan juara dunia pertama dari Malaysia, selain inspirasi kepada generasi pelumba akan datang.'
Namun, jalan ke hadapan tidak akan mudah. Wildcard di Sepang hanyalah langkah awal dan Hakim Danish perlu membuktikan dirinya layak mendapat kontrak penuh bersama pasukan dunia.
Harapan tinggi juga hadir bersama cabaran besar – mengekalkan fokus, menambah baik konsistensi dan mengurus tekanan di litar antarabangsa yang menuntut ketahanan mental luar biasa.
Dalam hal ini, mentor utamanya, Zulfahmi Khairuddin, memainkan peranan penting. Melalui ZK Racing, bekas pelumba Moto3 itu menggilap bakat Hakim Danish sejak remaja.
“Saya pernah lalui pengalaman podium di pentas dunia, jadi saya tahu tekanan dan cabaran. Hakim ada pakej lengkap – bakat, disiplin dan mentaliti. Saya yakin dia mampu pergi jauh jika diberi peluang,” katanya.

Malah Hakim Danish mengakui banyak pengorbanan dilakukan. Ketika rakan-rakan menikmati rutin remaja biasa, beliau berdepan jadual latihan ketat, berpindah ke luar negara dan tekanan perlumbaan bertaraf dunia.
“Bukan mudah tinggalkan keluarga dan kawan-kawan, tapi inilah harga yang perlu saya bayar untuk mengejar impian. Saya mahu buktikan bahawa anak Malaysia mampu bersaing di pentas dunia,” ujarnya.
Sokongan keluarga menjadi tunjang utama. Tanpa restu ibu bapa, mustahil seorang anak Terengganu mampu menempuh cabaran keras di trek antarabangsa.
Kisahnya mengingatkan peminat kepada era Hafizh Syahrin Abdullah dan Zulfahmi sendiri yang pernah mencipta sejarah buat Malaysia di MotoGP dan Moto3.
Namun, Hakim Danish muncul dengan laluan pembangunan lebih sistematik, hasil penambahbaikan daripada pengalaman lalu.
Dari Kuala Terengganu ke Sepang, kemudian ke Eropah dan kini kembali semula ke tanah air untuk debut di Moto3, perjalanannya cukup menginspirasikan.
Di Sepang nanti, sorakan peminat tempatan akan menjadi sumber motivasi tambahan, apatah lagi ini adalah kemunculan sulungnya di pentas besar dunia.

Namun Hakim Danish berdepan realiti baharu – memerlukan tajaan hampir RM4 juta semusim bagi merealisasikan impiannya bersaing sepenuh masa dalam kelas Moto3, Kejuaraan Motosikal Dunia bermula musim 2026.
Jumlah itu penting bagi menampung kos operasi, termasuk jentera, pasukan sokongan, perjalanan antarabangsa serta persaingan penuh 22 pusingan yang membabitkan 19 negara.
Bagi syarikat-syarikat korporat, menyokong Hakim Danish bukanlah sumbangan kosong kerana jenama penaja akan terpapar pada sut perlumbaannya, helmet serta jentera yang bersaing di mata dunia.
Platform global ini terbukti pernah mengangkat nama penaja besar seperti AirAsia ketika era awal Zulfahmi Khairuddin dalam Moto3.
Jika segala-galanya berjalan lancar, nama Hakim Danish bakal terus harum sebagai bintang masa depan – bukan sekadar mengejar impian peribadi, tetapi membawa harapan seluruh rakyat Malaysia.
Tatkala remaja lain masih mencari-cari arah, Hakim Danish sudah pun meletakkan dirinya di peta dunia – sebuah kisah anak muda yang berani, berdisiplin dan tekad menulis sejarah baharu sukan permotoran negara. - KitaReporters