Seni & Sukan 19 May, 2023

Video| Ashraf Sinclair kembali melalui Syaitan Munafik! Hantui pawagam selepas 15 tahun terperap!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Mohd Rusdi Shair (tiga dari kiri) bersama Dr. Md Nasir Ibrahim (tengah)  dan pengarah Majed Saleh (empat dari kiri) bersama barisan pelakon 'Syaitan Munafik' antaranya Tessa Maniska dari Indonesia (baju merah, tengah), Bandi Amuk (tiga dari kanan), Adia (dua dari kanan) dan Erin CTJ (kanan sekali). - Foto kredit: Rafi @FINAS.



Tidak mahu dibelenggu rasa berputus asa tetapi lebih kepada perjuangan perlu diteruskan, penerbit filem ‘Syaitan Munafik’, Dato Mohd Rusdi Shair tetap berkeyakinan filemnya yang telah ‘terperap’ hampir 15 tahun, dibintangi pelakon Allahyarham Ashraf Sinclair akan mendapat sambutan apabila ia bakal ditayangkan pada September 2023 kelak.

“Saya tidak kisah jika ada yang hendak memperkecil usaha saya dengan kata-kata nista mahu pun sebarang pandangan negatif yang dilontarkan. Apa yang saya inginkan adalah kualiti. 

"Saya akan teruskan usaha saya bersama team dan saya yakin filem ini akan diterima ramai,” ujar  Penerbit United Nine Creative Sdn Bhd,  (UNC), Mohd Rusdi itu, ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri dan pelancaran treler ‘Syaitan Munafik’ yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada Rabu, 17 Mei 2023 lalu.



Mohd Rusdi Shair.


Pelancaran treler disempurnakan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif  FINAS, Prof Dr. Md Nasir  Ibrahim yang turut dihadiri pengarah filemnya, Majed Saleh serta barisan artis dari Indonesia dan Malaysia, antaranya Tessa Mariska mahu pun pelakon-pelakon baharu seperti Bandi Amuk, Erin CTJ, Reedzwan, Wom UG14, Adia dan ramai lagi.



Majlis turut dihiburkan dengan lagu OST filem ‘Syaitan Munafik’ oleh penyanyi Adia (gambar bawah) serta penyerahan memorandum persefahaman kerjasama dari UNC kepada Pengerusi Pertubuhan Keharmonian, Kebahagian dan Kesihatan Sejagat (P3K), Dr Noor Haliza Yussoff (gambar atas, tengah) bagi mencari dana untuk mereka yang memerlukan khususnya dalam penjagaan kesihatan.



Berkongsi lanjut, Mohd Rusdi memberitahu, selain bertujuan meraikan kakitangan dan pelakon yang terlibat dalam menjayakan filem 'Syaitan Munafik', majlis yang diadakan menjadi platform terbaik bagii pihaknya menampilkan pelakon-pelakon baharu dengan gandingan pelakon yang sedia ada.

Berkali-kali ditembak dengan soalan ‘cepu emas’ oleh  media yang hadir berhubung kenapa filem yang sudah terperap lama baharu kini mahu ditayangkan serta cabaran dihadapi, jawab Mohd Rusdi, “Saya tidak mahu mengembalikan kisah yang lampau, biarlah ia menjadi satu pengalaman, yang penting saya mahu menghabiskan kerja yang tergendala supaya semua yang terlibat dapat melihat hasilnya.”

Menurut beliau, sebagai usaha ‘meghidupkan’ kembali filemnya beliau terpaksa membuat rakaman baharu melibatkan penambahan kos kira-kira RM300,000 supaya relevan dengan jalan cerita lalu dan terkini.

“Jika ada sesiapa yang mahu memperkecilkan usaha saya terpulanglah, itu urusan mereka. 

"Saya tetap akan teruskan usaha ini bersama team,” tambah Rusdi sambil memberitahu bakal mengadakan pelancaran perdana filemnya itu di Indonesia malah bercadang mengadakan ‘road tour’ bersama artis-artis terlibat di enam lokasi terpilih di Malaysia sebelum ditayangkan pada umum serentak di pawagam  Malaysia, Singapura, Brunei, Filipina dan Indonesia.



“Saya serahkan urusan pengedaran filem ini kepada Skop Productions,” jelas Rusdi yang pada majlis sama tidak ketinggalan  mengumumkan bakal menerbitkan filem terbaharu seterusnya berjudul "Kiyai Saleh" (Selempang Merah) dengan gimik penyerahan selempang merah diserahkan kepada Dr. Md Nasir oleh pengarah filemnya, Ramly Saleh.

Sementara itu, pelakon Indonesia yang diberi watak ‘hantu’ dari Indonesia, Tessa Mariska  (gambar bawah) yang turut hadir bersyukur filem yang dibintanginya 15 tahun lalu akhirnya dapat ditayangkan.



“Saya bangga dengan ketabahan penerbitnya melunaskan filem ini walau pun pelbagai cabaran dihadapinya waima beberapa pelakon yang terlibat sudah meninggal dunia tetapi usaha Mohd Rusdi yang terus mahu membikin filem ini sampai habis sesuatu yang harus dipuji,,” ujar Tessa yang merupakan pelakon sinetron serta penyanyi dangdut terkenal di Indonesia yang popular dengan lagu ‘Kesihir Cinta’.



Berhubung dengan wataknya  dalam ‘Syaitan Munafik’. kata pemilik bernama sebenarnya, Yenny Chaidir ini, ”Saya sering diberi peranan dalam movie bergenre horor dan kebetulan dalam filem lakonan saya ini pula  saya memegang watak seorang penyanyi dangdut yang menjadi ‘hantu’. Kebetulan pula saya sememangnya seorang penyanyi dangdut di Indonesia.”

Filem genre seram yang menelan belanja asal lebih kurang RM1.7 juta ini dihasilkan sejak 2008 turut menampilkan  pelakon seperti Faizal HusseinDatuk Jalaluddin Hassan,  S. Samsudin, Nabil Ahmad, Linda Hashim, A. Galak dan ramai lagi. 

Mereka yang merindui lakonan  Allahyarham Ashraf Sinclair dan beberapa lagi pelakon lain yang telah kembali ke Rahmatullah seperti antaranya Allahyarham Latif Borgiba serta Allahyarham S. Samsudin  bolehlah menantikannya pada bulan September atau Oktober nanti ya! - KitaReporters. 


A. Galak (kiri) antara 30 penerima hadiah sumbangan Pek Peduli yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mesra Selangor,  Zahariman Ariffin sambil disaksikan oleh Mohd Rusdi pada majlis sama.

15
15
0
8
0
You will be interested