INNA lillahi wainna ilaihi rajiun... Komposer Wan Zul, 61, akhirnya dijemput Ilahi di Hospital Kemaman, jam 2.30 pagi tadi, 13 Oktober 2022 ekoran jangkitan kuman pada paru-paru selepas sebelum ini dilapor kritikal sejak beberapa hari lalu.
Adiknya, Che Wan Zuhaini, 58, berkata, Wan Zul dari Kampung Baru Kijal di Kijal, Kemaman, Terengganu menghembuskan nafas terakhirnya di hospital itu ekoran jangkitan kuman pada paru-paru akibat melioidosis.
Pemergian pencipta lagu 'berhantu', 'Suci Dalam Debu' nyanyian kumpulan Iklim ini dikongsikan oleh Che Wan Zuhaini menerusi Aplikasi WhatsApp.
Jenazah Wan Zul atau nama sebenarnya Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Kampung Baru Kijal.
Sebelum ini Wan Zul dimasukkan ke Hospital Kemaman sejak Ahad, 2 Oktober 2022, akibat kencing manis dan jangkitan kuman pada paru-paru dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.
Wan Zul sempat sedar pada Sabtu, 8 Oktober 2022 namun kesihatannya kembali memburuk.
Allahyarham Wan Zul meninggalkan seorang balu, Tengku Siti Famah dan dua anak iaitu Che Wan Norsyikin dan Che Wan Noradli.
Wan Zul adalah individu yang bertanggungjawab menaikkan nama kumpulan Iklim di persada seni tanah air menerusi album pertama, ‘Satu Kesan Abadi’.
Selain 'Suci Dalam Debu', beberapa lagu daripada kumpulan Iklim ciptaan arwah terus diminati hingga kini antaranya, 'Aduhai Seribu Kali Sayang', 'Kerana Takdir' dan 'Biografi Cinta Luka'.
Lagu popular lain ciptaannya adalah 'Hanya Satu Persinggahan' (Ekamatra), 'Antara Sutra Dan Bulan' (Damasutra), 'Itulah Cintaku' (Ilusi), 'Di Badai Asmara' (Sera), 'Khazanah Dari Malaya' (Ayati Tasrip) dan banyak lagi.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal selepas solat zuhur. Antara yang menziarah jenazahnya ialah pemain drum kumpulan Iklim, Kamaruddin Ibrahim, 58.
Katanya, sepanjang hayat, arwah bapanya disifatkan sebagai bapa yang sangat baik dan mengambil berat terhadap keluarga.
Che Wan Noradli ditemui media di rumah kakaknya, Che Wan Norsyikin, 33, di Kampung Baru Kijal.
Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Che Wan Nurfatin Aqila Che Wan Zuhaini, 23, berkata, dia terkilan hasrat Wan Zul yang dipanggil Ayah Ngah untuk menyiapkan lagu untuknya tidak kesampaian.
Al-Fatihah. - KitaReporters