Seni & Sukan 19 Sep, 2022

Keluarga Malaysia kahwin beramai-ramai! 147 pasangan sertai Walimatul Urus Perdana 2022! Di 8 daerah!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


Peserta perkahwinan beramai-ramai diarak masuk ke dewan


SELEPAS dua tahun program perkahwinan beramai-ramai tidak dapat dilaksanakan kerana halangan pandemik COVID-19, kini perkahwinan berprestij dalam kalangan rakyat di Negeri Terengganu kembali mewarnai kehidupan alam berumah tangga

Program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang dikenali sebagai Walimatul Urus Perdana 2022 yang berjalan serentak di seluruh negeri telah dianjurkan semula.

Seramai 147 pasangan Keluarga Malaysia dari seluruh Negeri Terengganu menyertai acara perkahwinan beramai-ramai yang diadakan serentak pada 17 September 2022 membabitkan lapan daerah di negeri itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perkahwinan beramai-ramai

Pasangan pengantin baharu bergambar kenangan bersama Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.Kredit foto: Media MB Terengganu


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Majlis Walimatul Urus Perdana 2022 peringkat negeri yang disertai 28 pasangan dan berlangsung di Padang Astaka Chukai, Kemaman.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.


Dr Ahmad Samsuri merenjis air mawar kepada pasangan pengantin baharu


Pada majlis tersebut, Menteri Besar turut menyampaikan insentif kepada 23 orang ibu dan bapa tunggal yang berkahwin kali kedua sebagai hadiah dan galakan untuk mereka mendirikan rumah tangga semula.

Tradisi perkahwinan beramai-ramai secara percuma anjuran YPKT  itu merupakan suatu inisiatif kerajaan negeri dalam meringankan bebanan pasangan dan keluarga serta mempermudahkan urusan-urusan berkaitan.


Sepasang pengantin baharu sempat bergurau senda pada acara majlis perkahwinan beramai-ramai


Menteri Besar berkata, secara tidak langsung ia menzahirkan kecaknaan dan keprihatinan kerajaan negeri dalam aspek pembangunan insan bertepatan dengan konsep Pembangunan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang bertujuan memperkukuhkan pembangunan modal insan selaras dengan hasrat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera (TMBS).


Seorang peserta bapa tunggal  menerima insentif perkahwinan  yang disampaikan oleh Dr Ahmad Samsuri


"Sebagai menghargai dan meraikan pasangan pengantin baharu ini kerajaan telah membiayai segala kos jamuan khas pengantin dan keluarga, set persalinan pengantin, set pengantin dan pelamin, insentif kepada ibu dan bapa tunggal yang turut menyertai perkahwinan perdana ini, khidmat jurunikah dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, katanya, pasangan pengantin baharu terbabit dapat menikmati Pakej Bulan Madu dan pengisian program dan ilmu melalui Kursus Kemahiran Keibubapaan (parenting skills) dan Program Pascaperkahwinan anjuran YBKT.


Pasangan pengantin berjalan memasuki dewan  tempat berlangsungnya acara persandingan


Sementara itu, Hanafiah Mat berkata kerajaan negeri turut menawarkan faedah skim pinjaman modal perniagaan di bawah Skim Pinjaman Jaya DIri (PJD) dengan kadar pinjaman sehingga RM20,000 kepada pasangan yang berminat dan layak.

Manakala pihak kerajaan juga turut memberi insentif sebanyak RM1,000 kepada ibu atau bapa tunggal yang menyertai Walimatul Urus perdana itu. - KitaReporters 


Persembahan seni silat oleh kanak-kanak memeriahkan menyerikan majlis perkahwinan beramai-ramai

10
14
1
13
0
You will be interested