Seni & Sukan 07 May, 2021

Sekat ceroboh sempadan! 60 anggota polis pantau SJR, jalan tikus di daerah Besut-Pasir Puteh!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Daerah Besut,Terengganu kini dikenakan PKP


SIKAP degil dan perbuatan khianat segelintir penduduk yang tinggal di sempadan Terengganu di Besut dengan Kelantan di Pasir Puteh mendorong pihak polis daerah Besut bersikap tegas dan meningkatkan lagi usaha mengekang kemasukan orang ramai ke negeri ini melalui pintu masuk kedua-dua negeri berkenaan.

Perbuatan tidak bertanggungjawab penduduk tempatan memecah kon penghadang laluan, membina semula laluan lorong tikus dan menggunakan surat kebenaran rentas negeri yang sudah lapok antara yang dikesan pihak polis daerah itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Besut

Abdul Rozak Muhammad memantau lorong tikus di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut


Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata, perbuatan tersebut amat dikesali malah mereka sanggup menceroboh dengan pelbagai cara untuk melepasi batas sempadan itu.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan meningkatkan lagi pemantauan di pintu sempadan tersebut berikutan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di daerah itu berkuat kuasa pada Jumaat 7 Mei 2021 hingga 20 Mei 2021.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, 60 anggota polis daerah itu termasuk pasukan pemantau akan digerakkan dalam usaha mengekang kemasukan penduduk serta memantau perbuatan khianat mereka yang tidak bertanggungjawab.

Abdul Rozak berkata, sebelum ini ada 15 lorong tikus menghubungkan penduduk kedua-dua negeri itu.

"Bagaimanapun bilangannya kini bertambah hingga 26 lorong tikus yang dibina penduduk terutama untuk laluan pejalan kaki dan motosikal bagi tujuan rentas negeri,” katanya ketika meninjau kawasan tersebut pada Khamis 6 Mei 2021

Katanya, pihak polis juga terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mendapatkan kon konkrik bagi menggantikan kon plastik berisi air yang digunakan untuk menyekat laluan.


Abdul Rozak Muhammad


Beliau berkata, berikutan pelaksanaan PKPK di seluruh daerah itu, pihaknya menambah dua lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan daerah Besut-Setiu masing-masing di Kampung Bintang dan Gong Batu, Setiu.

Manakala empat SJR sedia ada iaitu di Kampung Pacakan, Tok Saboh dan Gong Manok dan Bukit Yong bersempadan Besut-Pasir Putih, Kelantan kekal beroperasi.

“Kami mendapat kerjasama dari pihak Ibu Pejabat Polis Daerah, Pasir Puteh dan Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu untuk membantu penugasan membabitkan sempadan daerah terbabit,” katanya.

Mengenai aktiviti rentas negeri yang dilakukan oleh guru yang berulang alik dari Kelantan ke Besut dan dari Besut ke Kelantan masih menggunakan surat Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing dengan alasan diarah bertugas di sekolah, pihaknya tidak akan lagi membenarkan guru merentas negeri berkuat kuasa 7 Mei 2021.

“Tindakan itu disebabkan lebih 400 guru untuk keluar masuk merentas kerana Jabatan Pendidikan sudah membuat keputusan mereka perlu bekerja di rumah (BDR) dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," jelasnya. - KitaReporters


 

 

Abdul Rozak (kiri) memerhati seorang pegawai polis yang memeriksa surat rentas negeri di SJR Tok Saboh, Kuala Besut

 

 

79
29
35
13
19
You will be interested