Persatuan Badminton Malaysia (BAM) komited dalam melahirkan lebih ramai pemain perseorangan lelaki yang mampu menyerlah pada peringkat antarabangsa.
Usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan
badminton ini di arena global, BAM tidak ingin bergantung kepada Lee Zia Jia
sahaja malah ingin peminat sukan ini memberi perhatian kepada pemain yang bakal
meningkat naik.
Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ia menjadi tanggungjawab pengarah kejurulatihan perseorangan BAM Wong Choong Hann untuk terus membangunkan bakat-bakat baharu yang mempamerkan prestasi cemerlang pada kejohanan bertaraf dunia.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan badminton
Pada masa sama, beliau berharap semua pihak memahami situasi itu dan bekerja rapat untuk melahirkan lebih banyak pemain perseorangan yang berkaliber.
“Ia adalah usaha yang berterusan. Choong Hann tahu tanggungjawab beliau dan kita bukan sahaja ketandusan dari segi pemain lelaki tetapi juga wanita dan ini harus diselesaikan segera.
“Saya rasa kita nampak dari segi beregu lelaki mereka menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah sudah mencapai ranking 10 teratas dunia.
“Jadi seharusnya perseorangan lelaki dan wanita perlu cepat melangkah supaya mereka tidak ketinggalan," katanya kepada pemberita di Kelab Sukan Ekuestrian STC, Kuala Lumpur, semalam, Ahad, 12 Jun 2022.
Antara aksi yang dipersembahkan Zii Jia dalam Kejohanan Indonesia Masters menentang pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.
Menurut Mohamad Norza, walaupun Zii Jia, yang menduduki ranking kelima dunia itu berada pada tahap terbaik, namun Malaysia tidak harus bergantung kepada satu pemain sahaja untuk membawa kecemerlangan di arena global.
Dalam pada itu, Zii Jia sebelum ini diletakkan antara pilihan untuk menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu apabila hadir di Jakarta dengan reputasi tinggi selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand, bulan Mei 2022 lalu.
Beliau turut meminta peminat sukan badminton tanah air untuk memberikan masa dan ruang kepada pemain seperti Ng Tze Yong dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, untuk mereka memperbaiki corak permainan serta lebih konsisten, sekali gus melakar kejayaan pada kejuaraan antarabangsa.
"Kita juga ada pemain profesional seperti Cheam June
Wei, Soong Joo Ven yang perlu mempergiatkan usaha mereka supaya Zii Jia tidak
keseorangan pada peringkat tertinggi, jadi kita mesti bekerja kuat," tambahnya.
Tze Yong yang menduduki ranking ke-48 dunia merupakan pemain utama dalam BAM selepas Zii Jia meninggalkan badan itu pada Januari 2022 untuk menjadi pemain profesional.
Aidil Sholeh Ali Sadikin
Terdahulu, Mohamad Norza menyampaikan hadiah kepada pemenang
Kelas SJ12 acara show jumping dalam Kejohanan Tan Sri Jamaluddin Jarjis.
Izad Rushdi Paiza dari pasukan Penawar Learning Centre muncul juara, manakala Abdul Hariz Abd Majid dari pasukan State Terengganu Equestrian Team (STET) dan Amira Syahirah Mohd Zulkefli dari pasukan Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP), masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. - KitaReporters