Seni & Sukan 16 Mar, 2021

Video| Siapa sangka Gila berhantu gila raih juara AJL35! Pengorbanan, dugaan akhirnya terbalas!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Komposer, Ezra Kong (kanan) yang sering bergandingan dengan rakan seperjuangannya, Hael Husaini melahirkan perasaan tidak jangkanya bahawa ciptaan lagu ‘Gila’ bersama Noki dan Loca B melayakkan mereka membawa pulang trofi bersama hadiah wang tunai bernilai RM50,000.

Ezra bersama Noki, Loca B dan penyanyi lagu tersebut, Kaka Azraff menerima hadiah mereka setelah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam 14 Mac 2021.

Lagu ‘Gila’ mengetepikan lagu nyanyian Aina Abdul, ‘Semalam’ yang diramalkan sebagai pemenang namun ‘Belenggu Cinta’ yang menampilkan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah serta Wany Hasrita yang juga merupakan ciptaan Ezra Kong bersama Hael Husaini berjaya menduduki tempat ketiga.

Sebagai penyanyi, pencipta dan penulis lirik, Aina Abdul membolot ketiga-tiga trofi Naib Juara AJL35 bersama wang tunai RM35,000 manakala ‘Belenggu Cinta’  memperoleh RM20,000 serta hadiah trofi.



“Saya benar-benar tidak sangka dan tidak menjangka akan kemenangan lagu ini. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang oleh Warner Music Malaysia untuk bekerjasama dengan orang yang berbakat seperti Kaka Azraff, Noki dan juga Loca B. 

“Dan sebenarnya saya juga berterima kasih kepada Hael Husaini yang banyak mengajar saya tentang cara orang Melayu mendengar muzik. Itu sedikit sebanyak membantu saya untuk menghasilkan melodi lagu tersebut,” jelas Ezra Kong selaku pencipta lagu.

Sementara itu, bagi Kaka Azraff pula, biarpun baru kehilangan nenek tersayangnya, beliau mengakui  dapat merasakan sesuatu yang berbeza pada lagu yang dianggap ‘berhantu’ itu.

Kaka kehilangan kasih sayang neneknya, Yang Asmah Long, 92, yang meninggal dunia  akibat sakit tua dua hari sebelum malam kemuncak AJL35 bermula.

“Saya rasa macam bawa semangat arwah nenek sekali. Arwah yang mengajar saya menyanyi. Ketika dapat tahu nenek sudah tiada, saya hampa malah satu hari tak dapat nak berlatih tetapi saya tidak boleh terus merintih dan cuba untuk tahan semua itu sebab nak selesaikan AJL dan tidak mahu kecewakan Noki, Loca serta team Gila,” ujar Kaka.



Tidak hairanlah pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, 31, ini memberikan seratus peratus persembahan terbaiknya ketika menjiwaii intipati lagu berkenaan.

Seperti Ezra, Kaka turut tidak menjangka kemenangan lagu tersebut apabila menulis  dalam laman instagramnya dengan kata-kata,  ‘Benda ini GILA, tak pernah terfikir, banyak dugaan, banyak pengorbanan. Ini rupanya hikmahnya.”

Malah anak saudara kepada penyanyi Ratu Rock, Ella ini turut memuat naik ucapan terima kasihnya kepada suami, Adam Azriff (gambar bawah, kanan) yang disifatkannya sebagai penyokong nombor satunya.

“Macam-macam you sacrifice untuk I settlekan AJL, thank you sayang,” tulis Kaka buat suami tercinta yang dikahwini pada 14 Disember 2018.




Bukan hanya Ezra dan Kaka, turut merasa terharu, dua rakan rapper terkenal, Noki dan Loca B yang memberikan persembahan terbaik mereka untuk melayakkan kemenangan 'Gila'.

“Terima kasih atas kemenangan ini. Masih tak register, saya jem. Tapi rezeki tidak pernah salah alamat,” kata Loca B atau nama sebenarnya, Hani Azali.


Loca B (kiri), Kaka dan Noki. Foto kredit: IG @kuning.langsat.

Dan bagi Noki atau Ahmad Ikhwan, beliau turut tidak ketinggalan memanjatkan syukur atas kejayaan yang disifatkannya berkat usaha dan doa keluarga dan rakan-rakan.

Lagu ‘Gila’ yang berentak R&B hip hop ini mengangkat subjek yang berat namun sarat dengan mesej positif. 

Seakan-akan cuba menyampaikan rasa resah gelisah terperangkap dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa rakyat Malaysia membataskan pergerakan dan hanya berkurung di rumah berbulan-bulan lamanya.



'Gila’ terbitan Black Hat Cat Records dengan kerjsama Warner Music Malaysia menceritakan tentang kekuatan diri dalam menangani kekalutan yang membelenggu minda dan jiwa dengan menguasai rasa takut serta terus kental menjalani kehidupan.

Pada malam semalam, AJL35 yang menyaksikan persaingan 12 finalis turut menyaksikan penyanyi Ernie Zakri yang mendendangkan lagu ‘Gundah’ diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik dengan membawa pulang  wang tunai RM12,000, manakala Persembahan Terbaik dimenangi Zizi Kirana yang mempertandingkan lagu ‘Eh’ hasil ciptaannya sendiri bersama Navigator dan Mambang.

Zizi membawa pulang trofi serta wang tunai RM12,000. Tahniah buat semua pemenang. - KitaReporters

0
2
0
0
0
You will be interested