Setelah kira-kira empat tahun berkahwin, pelakon Raja Ilya, 37, selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital King Edward, Perth, Australia, kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan, Jumaat, 1 Julai 2022.
Bayi diberi nama Talita Love dan seberat 3.6 kilogram (kg) itu dilahirkan secara pembedahan. Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad bersyukur proses bersalin lancar.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kelahiran bayi
Namun hasrat Raja Ilya untuk melahirkan anak sulungnya itu di dalam air tidak kesampaian.
"Niat bersalin dalam air tidak kesampaian. Ini disebabkan kedudukan uri atau plasenta berada pada bahagian rahim yang bawah, iaitu berdekatan laluan serviks.
"Situasi kenali sebagai 'placenta previa' ini menghalang saya melahirkan anak secara normal. Apabila ini terjadi, bakal ibu seperti saya berisiko mengalami pendarahan ketika kehamilan.
"Jadi, sudah tentu, bayi perlu dilahirkan secara pembedahan. Pada masa sama, saya melalui pelbagai komplikasi. Tidak mengapalah, apa yang penting, anak saya lahir dengan selamat," katanya kepada media tempatan.
Kehadiran Talita menjadi pelengkap kehidupan Raja Ilya dan suami, Trent Garrett. Talita telah diberi IG dikenali dengan nama @talitalovegarrett.
Setelah dua hari dilancar, setakat jam 12 tengah malam Sabtu, 2 Julai 2022 ia sudah mempunyai hampir 10 ribu pengikut.
Raja Ilya akan berpantang betul-betul bagi mendapatkan kembali bentuk tubuh asalnya. Dan dia juga berhasrat membesarkan anaknya mengikut budaya Melayu dan India serta akan mengajar anaknya makan pakai tangan.
.
Raja Ilya mendirikan rumah tangga dengan lelaki Australia, Trent Garrett, 40, pada Disember 2018.
Dengan perkahwinan itu, Raja Ilya berpindah ke Perth dan sudah dua tahun tidak pulang ke Malaysia akibat penularan pandemik Covid-19.
Raja Ilya bercadang membawa pulang buah hatinya ke Malaysia pada tahun hadapan (2023). Selepas melahirkan anak, Raja Ilya berhasrat kembali berlakon.