Seni & Sukan 09 Feb, 2022

Krisis kepimpinan PSM berakhir? Pemilihan 2022-2025 12 Feb 2022! Sumali nafi dia proksi Ahmad!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KONGRES Astaf 2016 di Bangkok, Thailand menyaksikan hubungan mesra PSM dan Presiden Astaf, Abdul Halim Kader (tiga dari kanan). Ahmad Ismail dan Mohd. Sumali Reduan (dua dan empat dari kanan). 


MOHD. Sumali Reduan menyangkal tanggapan ramai peminat sepak takraw tanah air bahawa dia hanyalah calon proksi Datuk Seri Ahmad Ismail dalam perebutan jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada 12 Februari 2022 ini.

Malah Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip) itu rela tidak masuk bertanding sekiranya terus dianggap masih 'dibayangi' mantan Presiden PSM itu yang digantung 17 tahun daripada aktiviti sukan ini oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sejak 5 Mei 2021. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemilihan


Sumali mendakwa, pencalonannya bagi pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PSM penggal 2022-2025 itu dilakukan oleh negeri-negeri dan wilayah persekutuan ahli gabungan persatuan.

Antaranya ialah Persewip sendiri, Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans), Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Sabah (Astaka) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT).


MOHD. Sumali Reduan, Abdul Halim Suleiman (dua dan tiga dari kanan) dan Awang Sham Amit (kiri) ketika memenangi pemilihan pucuk pimpinan PSM penggal 2018-2021 di Kuala Lumpur. 


"Kalau saya dikatakan proksi Ahmad, apa saya boleh buat kalau pihak yang dipimpin nanti bukan yang bersetuju dengan saya. Mesti mereka akan 'bantai' saya, minta saya letak jawatan.

"Soalnya, ahli-ahli gabungan peringkat negeri yang mencalonkan saya (tujuh). Saya tidak mengimpikan untuk bertanding Presiden. 

"Kalau saya ini juga bayangan Ahmad, saya pun tidak mahu jadi Presiden, tidak bertanding pun tidak apa. Yang mencalonkan saya sekarang pun ada negeri-negeri yang pernah keluar dan menyertai semula PSM kerana tidak berpuas hati dengan Presiden lalu. 

"Mereka yang membuat pencalonan tidak melihat dia ini orang siapa kerana kami satu keluarga," kata Naib Presiden PSM yang turut dicalonkan bagi jawatan Timbalan Presiden persatuan. 


BARISAN kepemimpinan Astaf yang menghadiri Kongres Astaf pada 2016 di Bangkok termasuk para pegawai kanan PSM. 


Namun Sumali turut ditentang satu lawan satu oleh Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah yang beroleh dua pencalonan ahli-ahli gabungan PSM sebaik sahaja tarikh pencalonan ditutup 6 Februari 2022.

Pemilihan pucuk pimpinan akan menjadi agenda utama mesyuarat agung tahunan (AGM) PSM di sebuah hotel di ibu kota.

Semua calon perlu memberikan jawapan sama ada bersetuju atau tidak untuk bertanding dalam pemilihan itu kepada sekretariat PSM pada atau sebelum pukul 12 tengah hari Khamis, 10 Januari 2022 ini.

Sumali juga memperoleh dua pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden namun setiap calon hanya boleh bertanding satu jawatan.

Jawatan ini turut disaingi Zuraidin (satu pencalonan) selain Presiden Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ), Datuk Abdul Halim Suleiman (lapan) dan Presiden Persedar, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (tujuh).


ZURAIDIN ABDULLAH


Naib Presiden PSM pula bakal direbut lima calon iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) dan Datuk Abu Jimi Samat, Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) dengan sembilan pencalonan masing-masing.

Lain-lain termasuk penyandangnya, Datuk Awang Sham Amit yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Sabah (Astaka) dengan tujuh pencalonan, Puhat (dua) dan Halim (satu).

Sumali juga menegaskan, krisis dalaman dan kepemimpinan PSM itu sudah diselesaikan dengan kemasukan semula majoriti ahli gabungan yang turut menyertai mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi pada 30 Oktober 2021 dan 29 Januari 2022 untuk meminda Perlembagaan persatuan dan menetapkan hari pemilihan.

"Kami kini dalam proses pemilihan kepemimpinan baharu. Saya tidak pernah bermusuh dengan Ahmad mahupun Astaf. Dia sudah letak jawatan (Presiden PSM, 5 Jun 2021)," katanya.

Malah tegasnya, mereka yang dicalonkan masih mempunyai masa untuk berkompromi untuk mengelakkan pertandingan yang boleh mendorong kepada perpecahan semula ahli-ahli gabungan seperti yang berlaku dari 9 Mei 2021 hingga 11 Jun 2021. - KitaReporters


ABDUL PUHAT MAT NAYAN


ABDUL HALIM SULEIMAN


TENGKU ZAIHAN CHE KU ABD. RAHMAN

19
7
0
14
0
You will be interested