Seni & Sukan 25 Aug, 2020

Berkelah tak salah! Yang salah bila buang sampah merata-rata

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

SIKAP tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah merata-rata berulang kembali dalam kalangan masyarakat sejak kelonggaran diberikan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan kerajaan pada 10 Jun 2020 lalu. Tiada kesedaran sivik langsung! Minda masih belum merdeka!! : KitaReporters

Kredit foto: Azli Lee Abdullah 
Lagi cerita-cerita berkaitan sampah:

https://kitareporters.com/search?search=sampah


Ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan ancaman wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia, hampir semua kawasan riadah dan rekreasi didapati bersih daripada sampah sarap. 

Tiada pengunjung pastilah bersih!



Bagaimanapun apa yang terjadi sekarang? Sampah di merata rata tempat di kawasan perkelahan Pasir Kubor di Sungai Lembing dekat Kuantan, Pahang. Nampaknya minda belum merdeka lagi. 

Tiada perasaan bersalah langsung buang sampah sesuka hati!

Nak berkelah itu tak salah. Yang menggatal pergi buang sampah merata apa kes? 

Itu realiti yang dilihat dengan nyata. Sikap sesetengah pengunjung membuang dan meninggalkan sampah selepas berkelah di tapak perkelahan Pasir Kubur, Sungai Lembing, Kuantan secara tidak langsung menjejaskan imej kawasan rekreasi itu. 

Tiada kesedaran sivik!

Malah penduduk kampung yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan kesal dengan sikap sebahagian pengunjung yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dengan sengaja di tapak perkelahan itu. 

Seorang penduduk Kg Pasir Kubur, Wan Abdul Hamid Wan Abdul Razak berkata, kebanyakan sampah yang bersepah di persekitaran tebing sungai itu disebabkan sikap pengunjung yang mementingkan diri sendiri.

Kredit foto: Azli Lee Abdullah



Menurutnya, dia kecewa dengan tabiat serta sikap tidak bertanggungjawab pengunjung yang suka membuang sampah di merata-rata tempat sehingga mencemarkan imej tapak perkelahan itu.

"Persekitaran sungai ini memang bersih dan cantik dan sebab itulah kawasan ini menjadi tarikan orang ramai untuk berkelah pada hujung minggu atau cuti sekolah.

"Tapi sikap sesetengah mereka yang membiarkan sampah seperti botol minuman, bungkusan makanan dan sisa makanan merata-rata itu memang menyakitkan mata yang memandang," katanya ketika ditemu bual menerusi aplikasi WhatsApp. 

Wan Hamid berkata, tong sampah pernah disediakan tetapi dirosakkan oleh pengunjung nakal malah lebih suka membuang sampah di merata tempat.

"Terkadang ketika musim banjir, air sungai melimpah dan menghanyutkan tong-tong sampah berkenaan," katanya.

Beliau yang menggunakan nama Wan Hamid Malboro dalam status yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya menyatakan kekesalannya dengan sikap tidak bertanggungjawab pengunjung di pusat rekreasi itu.

Beliau menulis:

"keindahan tapak perkelahan pasir kubor sg lembing hari ini dicemari oleh sampah sarap yang ditinggalkan oleh manusia atau spesis yang tidak bertanggungjawab dan prihatin!!! bila masuk dikenakan bayaran korang bising marah!!! tapi bila masuk percuma macam ni... korang x pandai  x reti nak jaga kebersihan tempat ini...

"aku sebagai anak kampung atau anak tempatan di sini berasa sangat kecewa dan sakit hati dengan perangai segelintir pengunjung2 yang x berakal seperti ni... bekas2 makanan, pampers2 bayi, plastik2 sampah dibuang merata2 tempat sesuka hati...harap maklum!!!

"tolong jaga kebersihan tempat kami...jaga kebersihan kampung kami...ANDA DATANG KAMI SAMBUT!!! ANDA PENGOTOR KAMI BENCI!!!🙏"

https://www.facebook.com/groups/579669928864019/permalink/1843369135827419/


Kenyataan Wan Hamid Malboro itu dipersetujui warganet dalam ruangan komen yang rata-ratanya melahirkan rasa kesal dan marah dengan sikap pengunjung.





Bekas dan sisa makanan serta sampah boleh dibakar sebelum meninggalkan tapak perkelahan. Tetapi pastikan apinya dipadamkan terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini Kredit foto: Azli Lee Abdullah


Masyarakat juga harus ingat bahawa sikap membuang sampah merata-rata tempat ini juga memberi gambaran buruk kepada kita sebagai rakyat Malaysia yang mencintai kebersihan alam sekitar.

Kredit foto: Azli Lee Abdullah



Bersama kita menjaga kebersihan alam sekitar tidak kira di mana sahaja kita berada sama ada di kawasan awam, kediaman, kompleks membeli belah, jalan raya, pusat riadah dan rekreasi kerana menjaga kebersihan adalah tanggungjawab kita bersama. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested