USAHAWAN kosmetik popular, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, 34, memohon doa daripada orang ramai selepas dia telah disahkan dijangkiti virus Covid-19 tahap tiga.
Aliff yang kini menerima rawatan di sebuah hospital membuat pendedahan menerusi Instagramnya, Aliff Sukri Terlajak Laris pada hari ini, Khamis, 30 Disember 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Aliff Syukri
“Kepada semua sahabat atau sesiapa sahaja yang mengenali saya, saya memohon kemaafan sekiranya pernah menyakiti awak, maaf sekiranya pernah terkasar, maaf sekiranya pernah mengumpat, termakan sengaja atau pun tidak.
“Sesungguhnya yang buruk itu datang daripada saya dan yang baik datang daripada Allah. Rasa lega sudah mohon maaf pada semua, takut-takut umur saya tidak panjang,” tulis Aliff.
Aliff turut memberitahu dia kini dirawat di hospital kerana virus tersebut sudah sampai ke bahagian paru-parunya.
"Doakan saya cepat sembuh kerana saya dijangkiti Covid tahap tiga melibatkan paru-paru saya. Saya telah ditahan di wad hospital untuk rawatan rapi. Doa kalian amat saya hargai,” tulisnya.
Aliff, isteri dan anak-anak telah pergi bercuti ke Turki mulai 15 Disember 2021 lalu, pulang baru-baru ini dan dimasukkan ke sebuah hospital pada Rabu 29 Disember 2021.
Dan hasil ujian Aliff disahkan mengalami Covid 19 tahap 3 dan paru-parunya terjejas. Sementara ahli keluarganya yang lain hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Terdahulu, Aliff ketika berada di Instanbul, Turki meluahkan rasa sedihnya apabila resort miliknya, Sugeh Hill Exclusive Eco Resort yang terletak di Janda Baik, Pahang hampir musnah dalam musibah banjir yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia. - KitaReporters