Seni & Sukan 08 Feb, 2020

UNDIAN FASA PERTAMA AME 2020 TAMAT 25 FEB

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this

TIGA kategori baharu diperkenalkan, manakala tiga kategori lama pula digugurkan dalam edisi ketujuh Anugerah MeleTOP Era (AME) tahun 2020 ini. Kategori baharu yang diperkenalkan ialah Artis Versatil MeleTOP, Influencer MeleTOP serta Top Top MeleTOP Kumpulan/duo. : KitaReporters.com 

Sebahagian daripada para artis yang hadir pada sesi pengumuman 'Top 20' AME 2020 baru-baru ini.


Dan kategori lama yang digugurkan meliputi Program Radio Meletop, Penyampai Radio Meletop serta Artis Lawak Meletop, menjadikan 15 kategori keseluruhannya dipertandingkan.

“Bersesuaian dengan penjenamaan AME yang mengangkat personaliti dan karya paling hit, penambahan tiga kategori baharu dilihat cukup bertepatan dengan perubahan teknologi terkini yang lebih tertumpu kepada era digital terutamanya media sosial yang dilihat jelas banyak membantu melonjakkan karier seseorang selebriti,” ujar Raqim Ahmad (pix bawah) selaku Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Astro di sidang media pengumuman senarai ‘Top 20 Anugerah MeleTOP Era 2020 baru-baru ini.


Menurutnya, suntikan perubahan yang dibuat juga merupakan sebahagian daripada strategi untuk memantapkan lagi penganjuran tahun ini.

Raqim turut mengumumkan pasangan pengacara popular, Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai hos anugerah sementara seorang lagi hos utama yang bakal menyertai mereka masih dirahsiakan namanya. 

Turut hadir Nazri Noran,  Pengurus Rangkaian Kandungan Jenama Radio Melayu Astro.


Bagi mereka yang mungkin tidak mengikuti acara berprestij ini, AME adalah sebuah anugerah pilihan penonton yang memberikan kuasa sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan pemenang bagi kesemua 15 buah ketegori utama yang dipertandingkan.

Bertemakan 'Yang Epik, Yang Legend’, penganjuran AME 2020 dianjurkan bagi meraikan karya dan personaliti paling meletop dan hit merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital sepanjang 2019.

Masih mengekalkan format asal, penyertaan ‘AME 2020’ terbuka kepada semua syarikat penyiaran televisyen dan radio tempatan, syarikat rakaman, penerbit, artis-artis dan penyumbang lain dalam industri hiburan.

Bakal dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad, 12 April 2020 jam 9 malam, secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123), AME 2020 turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand.

Talian undian fasa pertama untuk menyenarai pendek lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal telah dibuka mulai 29 Januari lalu hingga 25 Februari 2020 depan, jam 12 tengah hari.

Jadi jika nak artis idola korang menang bolehlah membuat undian secara online di dua buah platform iaitu di laman web rasmi AME 2020 www.anugerahmeletopera.com.my atau aplikasi SYOK.

Manakala undian untuk fasa kedua bagi menentukan pemenang akhir bagi setiap kategori pula boleh dibuat juga menerusi laman web AME 2020 dan aplikasi SYOK serta melalui kiriman SMS bermula 3 Mac 2020, bermula jam 6 petang hingga 12 April 2020, 12 tengah hari.

Anda perlu ingat setiap undian yang dihantar haruslah diterima dalam tempoh masa yang telah dinyatakan di atas tadi ya…. kalau lewat melepaslah undian kepada artis kesayangan anda itu.

Pun begitu, menerusi kolaborasi hit bersama ERA, senarai pencalonan untuk tiga buah kategori utama iaitu ‘Lagu MeleTOP ERA’, ‘Penyanyi MeleTOP ERA’ dan “Grup/Duo MeleTOP ERA adalah berdasarkan Carta ERA sepanjang tahun 2019.

Untuk rekod, penganjuran AME 2019 pada tahun lalu mencatatkan peningkatan penglibatan audiens dalam talian sebanyak 3.1 juta iaitu 37% lebih tinggi berbanding AME 2018 menerusi platform undian secara SMS dan online.

Selain itu, AME 2019 juga mencatatkan kenaikan jumlah tontonan sebanyak 115% di platform digital Astro Go serta pertambahan 49% untuk ‘pageviews’ di Astro Gempak berbanding tahun 2018. 

Kesimpulannya adakah anda sudah bersedia membuang undi? 

Yang pasti empat selebriti popular yang berjaya menerima empat pencalonan awal dalam senarai ‘Top 20’ terdiri daripada Mira Filzah, Naim Daniel, Zizan Razak dan Siti Nordiana.

Apa pun untuk menyaksikan senarai penuh 15 kategori ‘Top 20’ yang dipertandingkan untuk undian boleh layari http://www.gempak.com/anugerah-meletop-era. - Kitareporters.com

10
3
1
0
0
You will be interested