JUMAAT, 29 Julai 2022 atau 29 Zulhijah 1443, genap setahun pemergian Siti Sarah Raissuddin kalau diikut perkiraan kalendar Islam.
Pelawak, Shuib Sepahtu, 37, atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, berkata, dia selalu sedih, malah, sebak mengimbas semula detik pemergian arwah isterinya.
Baginya Siti Sarah adalah bidadari syurga yang sentiasa berada di sampingnya dan masih tiada siapa yang dapat menggantikan kasih sayang Siti Sarah kepadanya dan anak-anak.
"Saya reda, cuma rindu yang sangat unik. Kadang-kadang, saya tak tahu nak cakap macam mana. Perubahan perasaan setiap hari tidak sama.
"Saya berikan satu contoh. Pernah tak teringat sesuatu perkara tanpa gagal, setiap hari? Saya melaluinya setiap hari dalam masa setahun ini.
"Tiada satu hari pun saya tidak ingat atau memikirkan arwah. Saya akan selalu bersedih, tetapi insya-Allah, saya reda dengan ketentuan ini. Saya bersyukur segala yang Allah beri dan aturkan untuk saya.
"Dengan apa yang dilalui, saya yakin Allah mahu berikan lebih baik untuk saya dan anak-anak, insya-Allah," katanya kepada sebuah media.
Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat Covid-19 pada jam 5.13 pagi, 9 Ogos 2021 (30 Zulhijah 1442).
Shuib menerusi laman Instagramnya merangkumkan genap setahun (kalendar Islam) pemergian isteri tercinta yang dijemput Ilahi kerana penyakit Covid-19.
"Salam Jumaat. Genap Setahun ❤️ Al Fatihah Buat Siti Sarah Bt Raissuddin. Bidadari Syurga ❤️," tulis Shuib dalam Instagramnya.Menerusi ruangan komen kebanyakan dipenuhi dengan ucapan dan doa daripada peminat dan rakan selebriti.
"Dah setahun yer? Kalau mengikut kalender Islam ye ib? Rasa bulan lapan kan? Al-Fatihah…dulu awal-awal selalu mimpikan arwah," kata rakan selebriti Sharifah Shahira.
"Peritnya apabila kita kehilangan orang yang tercinta, saya pun baru saja kehilangan suami pada 14 Julai (2022) lalu. Hanya Allah yang tahu betapa sayangnya kita pada mereka. Semoga mereka tenang di sana..amin," komen seorang peminat.
Bapa tunggal kepada empat orang anak, Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; Ariq Matin, 6; dan Ayash Affan ini mengakui memori dan 'keberadaan' Siti Sarah masih kuat dalam dirinya.
Kerana itu hatinya masih belum terbuka untuk mencari pengganti walaupun ramai yang cuba menjodohkannya dengan individu tertentu termasuk sejumlah selebriti termasuk usahawan Datuk Seri Vida.
Lagu ‘Semakin Benci Semakin Cinta’ yang sempat dirakam bersama menjadi lagu penuh kenangan bagi Shuib terhadap arwah isterinya. - KitaReporters