Seni & Sukan 16 Jul, 2025

Apa dah jadi? Harimau longlai tanpa tonggak warisan! FAM tarik diri Piala CAFA! Buat pusingan-U!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

FAM membuat pengumuman penarikan diri mengejut Harimau Malaya daripada Piala Negara-negara CAFA di Tajikistan dan Uzbekistan dari 29 Ogos hingga 8 September 2025 setelah majlis undiannya dijalankan pada 3 Julai 2025 lalu. - Kredit foto: FAM


SEKEJAP hendak main, sekejap tak hendak pula! Berbelit-belit dan bercabang bilang lidahnya!  Lantas berlakulah satu pusingan-U.

Pada 23 Jun 2025, Peter Cklamovski berkata: “Kami berbangga untuk menyertai Piala Negara-negara CAFA (29 Ogos hingga 8 September 2025 ini).

“Kami akan berdepan cabaran hebat di tempat lawan dan bersaing dalam persekitaran yang mencabar menentang pasukan-pasukan kuat,” kata warga Australia ini dalam laman sosial Malaysia NT.

Alih-alih ketua jurulatih Harimau Malaya ini pada 16 Julai 2025 memberitahu pula, “kami memiliki pemain yang beraksi dalam liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun.

“Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jadual perlawanannya,” katanya.

Kenyataan Peter ini turut terselit dalam pengumuman rasmi penarikan diri oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada edisi kedua Piala Negara-negara CAFA itu menerusi laman sosial dan sesawang rasminya.  


PETER Cklamovski mungkin teruja untuk membawa Harimau Malaya ke Piala Negara-negara CAFA tetapi terpaksa akur dengan keputusan muktamad majikannya, FAM. - Kredit foto: FAM 


Namun kenapa setelah hampir sebulan dan selepas majlis undian dijalankan penganjur, Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) pada 3 Julai 2025 lalu, barulah FAM boleh terfikir untuk berkata seperti berikut:

“Sebagai sebuah pasukan kebangsaan yang berpandangan jauh dan strategik, setiap keputusan berasaskan tanggungjawab terhadap kebajikan pemain, kerjasama erat bersama kelab dan komitmen kepada kemajuan berterusan bola sepak negara.

“Walaupun pada awalnya kami amat berbesar hati dan teruja untuk menyertai kejohanan ini, tarikh penganjuran di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menimbulkan cabaran besar logistik, ketersediaan pemain dan tahap kesiapsiagaan pasukan negara.

“Memandangkan kelab-kelab tidak wajib melepaskan pemain-pemain mereka, situasi ini menjejaskan usaha FAM membentuk skuad terbaik bagi kejohanan tersebut.”

Undian sudah pun menempatkan Harimau Malaya yang di ranking ke-125 dunia, dalam Kumpulan B dengan pasukan Piala Dunia 2026, Iran (ke-20), tuan rumah Tajikistan (ke-106) dan Afghanistan (ke-161).

Penarikan diri mengejut tim Peter selepas undian juga bererti tiga kemenangan percuma (walkover) dihadiahkan buat ketiga-tiga lawan dalam perlawanan Kumpulan B di Dushanbe, Tajikistan pada 29 Ogos, 1 dan 4 September 2025 ini.


RODRIGO Holgado (19) menyumbat satu gol terhadap Vietnam, dianggap sukar dilepaskan kelabnya, CD America de Cali (Colombia) bagi Piala Negara-negara CAFA. - Kredit foto: FAM  


Khidmat tonggak Harimau Malaya berdarah warisan yang berpangkalan di Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun seperti kata Peter, dipercayai membabitkan Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Dion Cools.

Merekalah antara faktor besar kemenangan bersejarah selepas 11 tahun, 4-0 terhadap Vietnam dalam Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 lalu.

Jelas Peter, “isu logistik, keperluan pemulihan pemain dan implikasi terhadap bajet keseluruhan selain itu menjadi faktornya (penarikan diri pasukan). Saya tidak mahu menjejaskan kebajikan dan kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap.”

Kekangan lain katanya termasuk perjalanan jarak jauh, jadual penerbangan yang terhad dan keperluan mematuhi peraturan FIFA yang menetapkan rehat minimum 72 jam antara perlawanan.


TERLEPAS peluang Harimau Malaya membalas dendam dua kekalahannya kepada Tajikistan (jersi putih) di Dushanbe selepas final Piala Raja Thailand 2022 di Chiangmai dan Pestabola Merdeka 2023 di Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


Ketua jurulatih ini juga menyifatkan penarikan diri satu keputusan yang tepat dan strategik dengan fokus Harimau Malaya kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pusat (kalendar FIFA, 1 hingga 9 September 2025) sebagai persiapan terbaik menjelang tiga perlawanan kelayakan dengan Laos (9 dan 14 Oktober 2025 di Vientiane dan Bukit Jalil) dan Nepal (18 November 2025, Kathmandu).”

FAM cuba mengambil hati CAFA yang mungkin kecewa dan terkilan dengan keputusan sedrastik ini dengan menyebut, “kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan dan kefahaman mereka serta mendoakan agar kejohanan ini berlangsung dengan lancar dan berjaya.”

Namun pada masa hadapan tiada lagi peluang sebesar ini menentang pasukan di ranking dunia lebih baik termasuk Uzbekistan (ke-55) dan Oman (ke-79) serta Kyrgyzstan (ke-104) jika layak ke separuh akhir atau final, mahu dihulurkan CAFA yang pasti sudah serik dengan ‘cakap tidak serupa bikin’ FAM itu. - KitaReporters


PENARIKAN diri Malaysia bererti kemenangan percuma buat ketiga-tiga lawan Kumpulan B Piala Negara-negara CAFA 2025. - Kredit foto: FAM

13
9
0
9
0
You will be interested