Marsha Milan Londoh, 39, penyanyi yang terus mengukir namanya di persada hiburan tempatan mahupun antarabangsa, mengesahkan kedudukannya sebagai duta budaya Malaysia apabila menerima tawaran eksklusif untuk membuat persembahan di Malaysia Fest (MFest) 2025 yang diadakan di Tumbalong Park, Sydney, Australia pada 22 November 2025 lalu.
Jemputan ke festival budaya tahunan yang menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung ini dilihat sebagai pengiktirafan penting terhadap kualiti seni dan pengaruh Marsha, terutama kemampuannya membawa identiti Borneo ke pentas global.
Tawaran untuk menjadi 'Suara Malaysia' di pentas Sydney, seperti yang diakui Ketua Pegawai Eksekutif MFest, Syahmi Ismail, menunjukkan bahawa Marsha Milan bukan sahaja diiktiraf sebagai artis popular, tetapi juga sebagai ikon yang mempunyai pengaruh besar di peringkat antarabangsa.
Pemilihan beliau sangat signifikan kerana festival ini berperanan sebagai platform utama golongan belia dan pelajar Malaysia di Sydney untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dan warisan budaya negara.


Tidak syak lagi, jemputan itu merupakan pencapaian kerjaya yang menempatkan Marsha sebaris dengan artis-artis yang mampu membawa naratif budaya Malaysia ke luar negara dengan penuh kredibiliti.Meluahkan rasa bangga dan teruja apabila diberi peluang ini Marsha berkata, “Melalui album Misompuru serta lagu seperti 'Cinta' dan 'Hening Rindu', saya dapat mengetengahkan keindahan budaya dan muzik negara kita kepada khalayak antarabangsa,”
Dalam persembahan yang penuh bertenaga dan menyentuh jiwa, Marsha yang membawakan deretan lagu popularnya itu mendapat sorakan gemuruh penonton.
Beliau turut menyuntik pesona Borneo dengan rangkaian lagu berunsur identiti Sabah, termasuk "Sumandak Sabah", "Pelangi Pasti", dan "Nalan Nalan".
Segmen ini merupakan antara momen paling disambut hangat oleh komuniti Malaysia yang menetap di Sydney, mewujudkan suasana nostalgia yang menyatukan.

Persembahan beliau dibantu oleh penari daripada Wandie Space Art Performance, di samping beliau sekali lagi bekerjasama dengan Saerah untuk menghasilkan gaya kontemporari-tradisional yang unik.
Penyanyi itu berkongsi bahawa detik paling istimewa baginya ialah melihat semua orang menyanyi dan menari bersama, menyifatkan sokongan tersebut sebagai pencapaian terbesarnya.

Beliau berharap peluang sebegini akan menjadi batu loncatan untuk terus melangkah lebih jauh dalam kerjaya seninya, sama ada melalui persembahan atau karya baharu yang mampu menyentuh hati semua pendengar.
Menceritakan persiapan khusus untuk pentas di Sydney, Marsha bersama pasukannya memastikan persembahan berjalan lancar dan bertenaga.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Kebimbangan saya hanyalah tentang tenaga dan momentum pentas, tetapi hasilnya sangat memuaskan.” ujar Marsha.


Malaysia Fest pada tahun ini tampil lebih meriah dengan penyertaan komuniti Malaysia dari pelbagai negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, sekali gus menjadikannya perayaan budaya terbesar yang dianjurkan oleh diaspora Malaysia di Sydney.
Menurut Syahmi, penganjuran edisi kali ini membawa misi yang mendalam, iaitu sebagai simbol sokongan golongan belia dan pelajar Malaysia di Sydney terhadap kempen TMM 2026, selain mempromosikan negeri dan budaya Malaysia kepada dunia.
“Penganjuran festival ini adalah simbol sokongan golongan belia dan pelajar Malaysia di Sydney terhadap kempen TMM 2026, selain mempromosikan negeri dan budaya kita kepada dunia. "Pemilihan artis sangat teliti kerana mereka akan menjadi ‘Suara Malaysia.’ Mereka mestilah ikon seni yang berpengaruh pada peringkat antarabangsa,” katanya merujuk kepada penampilan Marsha.

Siapa sangka seorang pelajar program realiti Akademi Fantasia musim ke-3 ini yang hanya meraih tempat keempat mampu meningkat jauh sehingga beroleh tempat kedua pada Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL) dalam kategori Persembahan Terbaik pada 2022 dan kemudiannya melalui lagu 'Hening Rindu' beliau berjaya membawakan kemenangan sebagai Juara lagu pada AJL39.
Tahniah Marsha! - KitaReporters
