Seni & Sukan 19 Sep, 2025

Hargai atlet! Walaupun selepas sorakan berakhir! Perbalahan Liek Hou, MPM! Menteri tampil pertahan!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Isu jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou yang meluahkan kekecewaan terhadap insentif RM60,000 masih belum diterima membuka satu episod penting tentang bagaimana atlet negara diurus sehingga memaksa Menteri Belia dan Sukan campur tangan.

Cheah Liek Hou mengerah segala kudrat untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia. - Kredit foto: Instagram Cheah Liek Hou.


Liek Hou bukan calang-calang atlet - dua kali berturut-turut membawa pulang pingat emas dari Sukan Paralimpik – Tokyo 2020 dan Paris 2024. Nama Malaysia harum kerana usaha dan dedikasinya. 

Namun, kegemilangan itu sedikit tercalar apabila tercetus pertikaian mengenai insentif tunai yang diumumkan oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), tetapi masih tidak sampai ke tangan atlet walaupun setahun sudah berlalu. 

Pada 15 September 2025 lalu, menerusi Instagramnya Liek Hou meluahkan isi hati yang terbuku. 

“Saya berharap apa yang telah dijanjikan atau diumumkan dalam media sosial untuk pengetahuan masyarakat dapat segera ditunaikan. 

“Jangan memberikan harapan palsu kepada atlet para kerana kami sangat bergantung kepada ganjaran, bonus serta SHAKAM daripada kerajaan mahupun pihak-pihak lain yang ingin membantu," tulisnya.

Beliau juga menjelaskan Skim Hadiah Kemenangan Sukan  (SHAKAM) telah disalurkan sebulan selepas temasya Paris berakhir melalui inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS), namun insentif tambahan yang diumumkan oleh MPM masih belum diterima. 

Pada Ogos 2024, MPM mengumumkan tiga syarikat akan menyalurkan ganjaran kepada pemenang pingat Paralimpik. Angka yang diumumkan adalah jelas – RM60,000 untuk emas, RM30,000 perak, RM15,000 gangsa. 

Masalah timbul apabila selepas setahun, dana itu tidak mencukupi. Hanya RM88,000 berjaya diterima daripada penaja, lalu diagih semula – emas RM25,000, perak RM15,000 dan gangsa RM8,000. 

Jurang besar antara janji dan realiti inilah yang mencetuskan rasa kecewa Liek Hou. Beliau menegaskan SHAKAM daripada kerajaan sudah dibayar, tetapi janji tambahan daripada MPM tidak dilunaskan. 


Liek Hou meluahkan kekecewaan menerusi hantaran dalam akaun Instagramnya. - Kredit foto: Bernama.

Megat Danish Shahriman Zaharudin menunjukkan keratan akhbar Liek Hou yang mendakwa belum menerima insentif RM60,000. - Kredit foto: Twenty Two 13.


Secara asasnya, luahan beliau dalam media sosial adalah refleksi rasa tidak puas hati terhadap janji yang gagal dipenuhi. Ia bukan soal disiplin, tetapi soal integriti dan ketelusan organisasi. 

Malangnya, reaksi MPM agak 'berat'- ancaman tindakan undang-undang, surat tunjuk sebab dan kemungkinan penggantungan dilihat sebagai langkah defensif yang menambah keruh, bukan meredakan keadaan. 

Presiden MPM, Datuk Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin membuka mulut menerusi satu sidang media pada Khamis 18 September 2025. 

“Kami sedang berbincang dengan pihak peguam untuk melihat tindakan seterusnya. 

“Setelah kita menghantar surat tunjuk sebab ini, ia akan membawa kepada penggantungan atlet ini… Kalau atlet tidak bertanggungjawab, atlet berbuat sesuka hati, saya berharap atlet harus gunakan saluran yang terbaik,” katanya. 

Tambahnya, kenyataan terbuka Liek Hou menjejaskan imej badan induk dan menakutkan penaja. 

“Namun kalau kamu buat secara terbuka (kenyataan dalam media sosial), ia secara tidak langsung menjejaskan kita, akan memberi kesan kepada penaja berpotensi untuk datang (salur tajaan),” ujar Megat. 


Hannah Yeoh (kanan) tampil mempertahankan Liek Hou. - Kredit foto: Agensi.


Atlet para seharusnya diraikan sebagai wira negara, bukan ditekan dengan ancaman. Lebih-lebih lagi apabila mereka hanya menuntut apa yang dijanjikan secara rasmi di khalayak. 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, tampil mempertahan Liek Hou. “Ini bukan cara kita melayan atlet yang telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia. 

"Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin. Beliau (Liek Hou) hanya menuntut apa yang dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik Paris 2024,” katanya. 

Hannah turut menegaskan; “Penaja hadir kerana mahu menyokong dan meraikan kejayaan atlet, bukan menaja MPM sahaja. MPM tidak berhak bertindak sendiri." 

Dari sudut komunikasi krisis, inilah titik kegagalan MPM. Sepatutnya isu ini ditangani secara dalaman, dengan penerangan telus kepada atlet dan masyarakat, bukan melalui ugutan undang-undang.

Dalam konteks kebajikan atlet, tindakan MPM mencalarkan keyakinan bahawa badan induk benar-benar mendahulukan wira negara. Persepsi umum melihat MPM lebih mempertahan imej daripada menjaga atlet.


Liek Hou meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) pada dua Sukan Paralimpik di Tokyo 2020 dan Paris 2024. - Kredit foto: Agensi.


Sebaliknya, situasi menang-menang tetap ada. Jika MPM sejak awal mengakui dana tajaan belum mencukupi dan bersikap terbuka, atlet serta rakyat akan lebih memahami situasi sebenar. Transparensi adalah kunci. 

Rakyat tidak marah jika dana penaja tidak cukup, tetapi akan kecewa jika janji diumumkan tanpa kepastian kewangan yang kukuh. 

Kejayaan atlet para adalah sumber inspirasi kepada seluruh negara. Jangan biarkan mereka merasakan pengorbanan dan pencapaian mereka tidak dihargai secara adil. 

Malaysia perlu membina ekosistem sukan yang profesional –- di mana ganjaran kepada atlet dijanjikan berdasarkan dana yang benar-benar sah, bukan hanya janji lisan untuk meraih perhatian. 

KBS boleh berperanan sebagai penyelaras agar sebarang pengumuman ganjaran atau tajaan tidak dibuat secara terburu-buru tanpa jaminan kewangan. 

Menerusi cara ini, atlet tidak berada di persimpangan atau keliru antara apa yang diumumkan dan apa yang benar-benar diterima.


Kredit foto: Sinar Harian


Buang yang keruh, ambil yang jernih. Liek Hou dan atlet para lain tidak seharusnya dibebani dengan kontroversi pentadbiran selepas mereka mengorbankan tenaga dan jiwa untuk negara.

Malaysia akan terus disanjung di pentas dunia hanya jika kita menghormati dan menjaga wira negara -– bukan sahaja ketika mereka merangkul pingat, tetapi juga selepas gema sorakan berakhir. - KitaReporters



11
14
0
13
0
You will be interested