Kira-kira lapan tahun lalu, tepatnya pada Mei 2018 ditayang drama rantaian ‘Nur’ dalam slot Samarinda, TV3. Ia menjadi drama rantaian fenomena ketika ditayang dalam slot Samarinda TV3.

Ia mendapat kadar tontonan (rating) tinggi menyebabkan cerita asalnya sebanyak 19 episod bermula 14 Mei hingga 14 Jun 2018 disambung bagi musim ke-2 sebanyak 15 episod bermula 2 April 2019 hingga 25 April 2019.
Dalam drama rantaian ‘Nur’ watak yang paling menonjol ialah Ustaz Syed Hamadi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Madi lakonan Azhan Rani.
Perangai jahat Ustaz Madi sebagai penunggang agama yang dibawa dengan baik oleh Azhan Rani memberi kesan marah dan meluat kepada penonton drama berepisod itu.

Azhan adalah pelakon berbakat besar yang sudah berlakon dalam banyak drama. Namun ‘Nur’ memberi populariti mendadak kepada Azhan dan membolehkan dia menerima watak mencabar dalam drama-drama lain.
Drama ‘Nur’ dan watak Ustaz Madi masih dingati peminat drama tempatan.
Malah drama ‘Nur’ turut berjaya ditayang di sebuah stesen TV Indonesia. Dan drama arahan Shahrulezad Mohameddin terbitan Radius One ini turut ditayang dalam talian.

Azhan Rani berjaya membawa watak Ustaz Syed Hamadi yang menyebabkan ramai penonton membencinya
Setelah beberapa tahun, TV3 menayangkan satu lagi drama rangkaian bertema ‘penunggang agama’ yang mampu tular.
Drama bersiri ‘Doa Yang Terlindung’ arahan Idora Abdul Rahman dan terbitan Creative Solution sebanyak 28 episod dalam slot ‘Akasia’ TV3 mula ditayang pada 7 Januari 2026 setiap Isnin hingga Jumaat.
Ia dijangka berakhir pada 11 Februari 2026 dan ia juga ditayang dalam OTT IQIYI untuk tontonan secara digital.
Dalam ‘Doa Yang Terlindung’, tumpuan dan kemarahan penonton adalah pada watak Ustaz Irfan lakonan Firdaus Karim.

Ustaz Irfan adalah seorang pendakwah selebriti yang dihormati dan menjadi ikon agama dalam media sosial.
Kerana kebijaksanaan melakukan manipulasi terhadap isterinya Rabiyatul (lakonan Fasha Sandha), dia berjaya menjadi pemegang saham terbesar Baitul Khadijah bagi membolehkan dia menjadi pengurus utama Baitul Khadijah.


Ketika tiga episod awal ditayangkan, ramai penonton dan netizen tidak berpuas hati apabila Fasha Sandha diganding dengan pelakon yang dianggap tidak kacak seperti Firdaus Karim.
Namun setelah episod berterusan, orang ramai dapat menangkap jalan cerita ‘Doa Yang Terlindung’ dan mula memuji lakonan Firdaus yang bersahaja membawa watak Ustaz Irfan.


Firdaus Karim, 44, berasal dari Perlis adalah pekerja belakang tabir dalam bidang penerbitan. Dia bukan orang baharu dalam bidang lakonan.
Dia mula serius berlakon sejak 2019 dan telah berlakon dalam lapan filem bermula dengan ‘God's Gift’. Dan pada 2020 Firdaus memegang watak Abah dalam filem kontroversi ‘Mentega Terbang’.
Ia diikuti dengan filem ‘Abah’ (2022), ‘Imaginur’ (2023), ‘The Cursed Land’ (2024), ‘Blood Brothers: Bara Naga’ (2025) dan ‘Angkat’ (2025).


Firdaus dalam filem 'Blood Brothers: Bara Naga'.
Firdaus berterima kasih kepada pihak penerbit dan pengarah Idora Abdul Rahman yang sudi mengambil risiko menawarkannya watak mencabar, walaupun dia bukan pelakon dan berparas kacak.
Menerima cabaran itu dia melakukan sebaik mungkin watak Ustaz Irfan walaupun ia watak sukar dalam memberi kejiwaan.

Pada Khamis, 5 Januari 2024, Firdaus dan Fasha Sandha menjadi tetamu dalam program radio ‘Bekpes Hot FM.
Walaupun sudah berusia, namun Firdaus dijangka mampu memegang watak utama atau pembantu dalam drama atau filem.
Mungkin dia mampu popular ketika usia sudah melewati angka 40 kerana terdapat sejumlah pelakon popular apabila sudah semakin berusia.
Kita menantikan drama lain yang akan mencabar kemampuan Firdaus selepas kejayaan ‘Doa Yang Terlindung.
Wajah terkini Firdaus dirakam pada Khamis, 5 Februari 2026