Seni & Sukan 02 Jul, 2024

Keputusan berani Christopher Raj! Pengurus letak jawatan jika B-16 kandas ke Piala Asia B-17 2025!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

B-16 Thailand (jersi biru) melakukan asakan terhadap gawang B-16 Malaysia sehingga beroleh kemenangan 3-1 dalam saingan Kumpulan C Kejohanan B-16 ASEAN 2024 di Stadium Manahan, Surakarta, Indonesia pada 29 Jun 2024. - Kredit foto: FAM


A. Christopher Raj sedia melepaskan jawatan pengurus pasukan Bawah 16 Tahun (B-16) Malaysia sekiranya mereka gagal layak ke Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17), 2025 menerusi pusingan kelayakannya di Laos dari 19 hingga 26 Oktober 2024 nanti.

Beliau meletakkan syarat nekad itu ekoran kegagalan B-16 negara melepasi peringkat Kumpulan C Kejohanan B-16 ASEAN (atau Kejuaraan B-16 AFF) 2024 akibat tewas 3-1 kepada B-16 Thailand di Stadium Manahan, Surakarta, Indonesia pada 29 Jun 2024.

“Saya selaku pengurus pasukan mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan ini. Saya berjanji skuad B-16 negara akan tampil lebih baik dalam Kelayakan Piala Asia nanti.

“Saya dengan ini mengambil tanggungjawab penuh akan berundur selaku pengurus pasukan sekiranya kami gagal ke Piala Asia 2025,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


A. Christopher Raj (kanan) berterima kasih kepada para ibu bapa pemain-pemain B-16 Malaysia yang sanggup terbang ke Surakarta bagi memberikan sokongan moral di Stadium Sriwedari dan Manahan. - Kredit foto: FAM 


B-16 Malaysia kendalian Javier Jorda Ribera bermula dengan garang apabila membelasah B-16 Timor-Leste 5-0 pada 23 Jun 2024 di Stadium Sriwedari.

Namun mereka dijinakkan oleh B-16 Australia 2-0 juga di stadium sama, dua hari kemudian sebelum sah tersingkir daripada separuh akhir dengan hanya tiga mata.

“Perjuangan skuad muda negara menemui jalan noktah pada peringkat kumpulan sememangnya hakikat yang pahit untuk ditelan.

“Kami sudah berusaha sehabis baik tetapi diakui ada kesilapan di atas padang yang masih boleh diperbaiki pada masa depan,” katanya. 

Christopher juga menyifatkan kritikan keras para peminat bola sepak tanah air terhadap para pemain B-16 negara sebagai tidak adil.  

“Tidak adil jika semua kritikan hanya tertumpu kepada pemain kerana pada hakikatnya mereka masih muda dan perlukan teguran yang membina untuk menaikkan semangat bukannya tohmahan semata-mata,” tegasnya.


IZZUDDIN Afif Nazarudin (9) mengejutkan B-16 Thailand dengan jaringan pendahuluan untuk B-16 Malaysia seawal minit keempat. - Kredit foto: FAM 


“Malaysia pernah layak ke Piala Asia B-17 pada 2023 dan tidak mustahil mengulanginya. Sekiranya gagal, saya akan mengundur diri untuk memberi peluang muka baru menggalas tanggungjawab ini,” katanya.

Skuad B-16 negara turut gagal ke separuh akhir Kejohanan B-16 AFF 2022 biarpun tanpa kalah setelah menewaskan Kemboja 3-0, seri 1-1 dan 2-2 dengan Myanmar dan Australia untuk mengutip lima mata di Stadium Sultan Agung, Bantul dan Stadium Maguwoharjo, Jogjakarta, Indonesia.  

Tim Ribera seterusnya akan berdepan Lebanon, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan tuan rumah, Laos pada 23, 25 dan 27 Oktober 2024 dalam saingan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-17.

Hanya juara 10 kumpulan kelayakan ini dan lima naib juara terbaiknya akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17, 2025 di Arab Saudi. 

Hanya juara 10 kumpulan kelayakan ini dan lima naib juara terbaiknya akan layak ke pusingan akhir pada 2025 di Arab Saudi. - KitaReporters


JAVIER Jorda Ribera (kanan) melaungkan arahan kepada B-16 Malaysia dari luar padang dan di hadapannya ialah benteng, Faizi Hafiz Hishamuddin.  - Kredit foto: FAM

12
16
0
12
0
You will be interested