Seni & Sukan 18 Dec, 2022

Nak kekal berkecuali! Jamal Abdillah, Ummi Nazeera tarik diri! Ahli Dewan Tertinggi MN! Eizlan Yusof?

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Jamal Abdillah

Ummi Nazeera


DUA daripada tiga artis mengumumkan mengundur diri daripada menjadi Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN). Mereka ialah Datuk Jamal Ubaidillah Mohd Ali, lebih popular sebagai Jamal Abdilah dan Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin.

Raja Pop, Jamal Abdillah, 63, menarik diri pada Sabtu, 17 Disember selepas 48 jam dilantik. Sementara Ummi Nazeera, 32, mengumum menarik diri pada Ahad, 18 Disember 2022 melalui laman Instagramnya.

Kedua-duanya sependapat bahawa ia bertentangan prinsip diri. Mereka berpendapat sebagai insan seni, mereka perlu bersifat berkecuali membabitkan hal semasa dengan melontarkan pendapat peribadi tanpa mewakili mana-mana pihak.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi legenda Jamal Abdillah


Menurut Jamal dan Ummi Nazeera, selain keluarga dan sahabat, sejumlah peminat juga menasihatkan agar mereka menarik diri daripada MN.

Lalu kedua-duanya berpendapat lebih baik bersikap ‘neutral’ dan kalau ingin melontarkan pandangan, biarlah dengan cara tersendiri.

Namun kedua-duanya mengucap terima kasih kepada Presiden MN Tan Sri Annuar Musa yang memilih mereka sebagai salah seorang daripada 30 orang Ahli Dewan Tertinggi MN yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baharu ditubuh.

Artis lain yang turut dipilih menganggotai Dewan Tertinggi MN ialah Datuk Eizlan Yusof. 

Ahli Dewan Tertinggi MN terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, ahli akademik, pempengaruh (influencer) dan artis.


Eizlan Yusof

Sebelum ini Jamal dan Ummi Nazeera memberitahu media bahawa mereka menerima jawatan itu sebagai tanda sokongan terhadap misi NGO MN untuk menjadikan semangat perpaduan, kasih sayang dan saling menghormati sebagai teras utama bagi melihat Malaysia menjadi negara maju serta makmur.

Namun kedua-duanya akhirnya mengubah fikiran setelah menerima pandangan ahli keluarga, kenalan dan para peminat.

MN walaupun didaftar sebagai badan bukan kerajaan (NGO), namun ramai beranggapan ia lebih cenderung berunsur politik.

Setakat ini Eizlan Yusof belum memberi respons sama ada akan terus atau mengundur daripada menjadi  Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN). - KitaReporters


11
10
0
17
0
You will be interested