Seni & Sukan 15 Nov, 2022

Ayuh balik mengundi! 18-19 Nov 2022 diisytihar cuti umum! Kadar tol percuma di 30 konsesi lebuh raya!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Kredit foto: Astro Awani


BAGI memudahkan rakyat keluar mengundi pada Hari Pengundian pada 19 November 2022 ini, kerajaan mengumumkan hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sehari sebelum hari mengundi itu diisytiharkan sebagai hari kelepasan am atau cuti umum.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, "hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah menjelang tiba, sukacita hari ini (14 November 2022) saya ingin mengumumkan Kerajaan menetapkan hari Jumaat dan Sabtu, 18 dan 19 November 2022 ini sebagai Hari Kelepasan Am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. 

"Bagi negeri Sabah dan Sarawak, Kerajaan-kerajaan negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing."


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15


Perdana Menteri berkata demikian pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Wisma CUEPACS pada Isnin, 14 November 2022 di Tanah CUEPACS Pancarona, Presint 18, Putrajaya.

Beliau berkata, bagi memudahkan pengundi balik mengundi, Kerajaan ingin memaklumkan 30 konsesi lebuh raya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari kepada para pengguna sempena hari pengundian PRU15 yang akan berlangsung pada 19 November 2022.

"Tol percuma tersebut akan bermula dari pukul 12.01 pagi 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November 2022, melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja yang dianggarkan sekitar 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

"Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai salah satu daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta," katanya lagi. 

Menurut Perdana Menteri, tawaran pemberian tol percuma ini diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuh raya pada minggu lalu. 

"Melalui inisiatif ini, Kerajaan berharap akan ia dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warga negara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan pada setiap lima tahun sekali," katanya lagi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kerajaan juga bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi bulan November 2022 diawalkan pada 17 November 2022 dan bagi pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada 14 November 2022

"Perkara ini diharap dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," tambah beliau. - KitaReporters



Teks ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan CUEPACS pada Isnin, 14 November 2022 di Tanah CUEPACS  Pancarona, Presint 18, Putrajaya :


1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan CUEPACS di Tanah CUEPACS Pancorana, hari ini (14 November 2022). 

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden CUEPACS, Yang Berbahagia Dato Hj Adnan Mat dan juga seluruh barisan ahli Jawatankuasa kerana sudi menjemput saya ke majlis yang cukup bermakna ini. 

3. CUEPACS merupakan sebuah kesatuan gabungan tunggal dalam perkhidmatan awam yang berperanan mengerat, dan menjalinkan semangat serta kebersamaan antara anggota pentadbiran dan penjawat awam sama ada di peringkat Negeri dan juga Persekutuan.

4. Saya berharap pembinaan bangunan ini lancar dan seterusnya menjadi manifestasi urus tadbir CUEPACS yang terbaik. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

5. Sewaktu saya diberi amanah untuk menerajui Kerajaan, negara berdepan dengan cabaran ekonomi dan pandemik COVID-19 yang telah mengubah cara kehidupan kita. 

6. Antara perkara pertama yang saya lakukan adalah membuka semula sektor ekonomi dan juga pintu sempadan negara serta memperkasa usaha vaksinasi COVID-19 agar kehidupan dan keselamatan rakyat dapat dipelihara dengan baik. 

7. Alhamdulillah, prestasi ekonomi negara telah kembali ke arah momentum pemulihan yang cukup baik. Terbaharu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2022 telah mencatat pertumbuhan 14.2 peratus, lebih kukuh berbanding 8.9 peratus pada suku kedua dan 5 peratus pada suku pertama tahun ini.

8. Bagi sembilan bulan pertama 2022, ekonomi negara juga berkembang sebanyak 9.3 peratus, tertinggi sejak tahun 2000 atau lebih dua dekad yang lalu. 

9. Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana tanpa kerjasama anda semua, kita tidak akan dapat mengharungi detik yang serba mencabar ini. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

10. Kita perlu menerima hakikat bahawa dunia kini bergerak dengan pantas. Kecanggihan teknologi, kadar literasi yang tinggi dan pengetahuan yang boleh didapati di mana-mana sahaja telah menyebabkan landskap perkhidmatan awam perlu berubah. 

11. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada Keluarga Perkhidmatan Awam untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kita dengan beradaptasi kepada keperluan perubahan. 

12. Pendigitalan, data analitik dan Internet Benda (Internet of Things) perlu diaplikasikan dengan sebaiknya, agar perkhidmatan mampu ditawarkan dengan lebih cepat, mudah dan ringkas.

13. Mentaliti ‘tahu segala-galanya’ dan bergerak secara ‘silo’ perlu dibuang jauh-jauh kerana kita perlu bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan setiap dasar dapat dilaksanakan sebaiknya agar dimanfaatkan sebaiknya oleh seluruh Keluarga Malaysia. 

14. Perkara ini boleh direalisasikan dengan mempermudahkan dasar, peraturan dan proses kerja di pihak agensi awam serta menggalakkan libat urus dengan masyarakat dalam pembangunan negara. 

15. Penjawat awam juga perlu memiliki keupayaan Kepintaran Kontekstual dan Kepintaran Teknologi bagi mengaplikasikan pengetahuan serta penggunaan teknologi sedia ada untuk menghasilkan nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan. 

16. Bagi merealisasikannya, perubahan dasar, perundangan dan prosedur standard bagi menyokong penggunaan teknologi baharu seperti automasi proses robotik (RPA) dan kepintaran buatan (AI) perlu diintegrasikan dengan sistem sedia ada.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

17. Pada tahun ini, Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif baharu yang turut dinikmati oleh penjawat awam antaranya: 

i. Pembiayaan insuran kenderaan melalui myezycover.com bagi pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan yang boleh dibuat tanpa bayaran pendahuluan dan faedah. 

ii. Meneruskan Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100 juta untuk manfaat 40,000 peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam. 

iii. Memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar yang turut merangkumi jam tangan pintar. 

iv. Membenarkan pegawai yang baru kematian suami atau isteri untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sebaik sahaja tempoh tiga hari Cuti Tanpa Rekod (CTR) tamat.

18. Selain itu, saya turut mengumumkan beberapa imbuhan kepada penjawat awam semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-18 pada 30 Ogos (2022) lalu yang juga terkandung di dalam Bajet 2023 seperti: 

i. Kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari. 

ii. Kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus juga akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari. 

iii. Menambah cuti rehat khas pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebanyak 5 hari menjadi 15 hari 

iv. Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 

v. Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara Kerajaan sebanyak RM350

vi. Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada bulan Mac 2023. 

19. Insya-ALLAH, jika Kerajaan hari ini diberi mandat semula selepas PRU-15, saya beri jaminan kesemua pengumuman yang dibuat semasa majlis MAPPA dan di dalam Bajet 2023 akan dilaksanakan. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

20. Hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah menjelang tiba, sukacita hari ini saya ingin mengumumkan: 

i. Pertama, Kerajaan menetapkan hari Jumaat dan Sabtu, 18 dan 19 November 2022 ini sebagai Hari Kelepasan Am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. 

Bagi negeri Sabah dan Sarawak, Kerajaan-kerajaan negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

ii. Kedua, Kerajaan juga bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi bulan November 2022 diawalkan pada 17 November 2022 dan bagi pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada 14 November 2022. 

Perkara ini diharap dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi 

iii. Ketiga, bagi memudahkan pengundi balik mengundi, Kerajaan ingin memaklumkan 30 konsesi lebuhraya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari kepada para pengguna sempena hari Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November 2022. 

Tol percuma tersebut akan bermula dari pukul 12.01 pagi 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November 2022, melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja yang dianggarkan sekitar 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuhraya.

Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya oleh syarikat-syarikat konsesi lebuhraya sebagai salah satu dari inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta. 

Tawaran pemberian tol percuma ini diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuhraya pada minggu lalu. 

Melalui inisiatif ini, Kerajaan berharap akan ia dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warga negara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan pada setiap lima tahun sekali. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

21. Sepanjang tempoh saya menerajui Kerajaan, saya sentiasa terbuka dengan pihak CUEPACS untuk mengemukakan apa jua penambahbaikan bagi Perkhidmatan Awam.

22. Saya mengambil maklum mengenai beberapa permohonan daripada CUEPACS yang merangkumi pelbagai aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota Perkhidmatan Awam seperti isu gaji minimum, Time based dan sebagainya seperti yang disebut oleh Dato’ Adnan Mat sebelum ini. 

23. Berhubung dana untuk membina bangunan baharu CUEPACS, saya berharap kita boleh berbincang selepas ini. 

24. Insya-ALLAH, berkat sokongan anggota penjawat awam yang sentiasa di belakang Kerajaan, saya akan kembali untuk kita bersama-sama memperhalusi satu persatu penambahbaikan yang belum selesai. 

25. Akhir kata, saya menyeru ahli CUEPACS dan penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia dan saya yakin bahawa ‘Penjawat Awam adalah Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia.’

26. Dengan hasrat tersebut dan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan CUEPACS di Tanah CUEPACS Pancorana.


11
17
0
12
0
You will be interested