SKUAD hoki lelaki Malaysia mencipta sejarah untuk muncul juara hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 sekali gus menamatkan kemarau yang begitu panjang iaitu 39 tahun.
Dalam perlawanan akhir, Malaysia bertemu Korea Selatan dan berjaya mencatat kemenangan di hadapan penyokong sendiri menewaskan musuh tradisi dengan 3-2 dalam satu aksi yang begitu sengit.
Lebih manis kita menewaskan penyandang juara dan bangkit untuk balas dendam selepas tewas pada peringkat kumpulan sebelum ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan hoki
Dalam perlawanan tersebut, pemain muda negara tampil dengan begitu konsisten dan permainan yang lebih agresif mengasak ke kubu lawan untuk mendapatkan jaringan pertama.
Speedy Tigers berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi Shello Silverius sebelum Jang Jonghyun menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi pukulan sudut penalti.
Malaysia dan Korea Selatan sering berbalas serangan dan Malaysia bernasib baik kerana pukulan sudut tidak digunakan sebaik mungkin oleh Korea dalam perlawanan ini.
Sebelum tamat suku ketiga, Malaysia dihadiahkan penalti stoke dan pakar pukulan, Muhammad Razie Abdul Rahim tidak persia peluang terbaik itu untuk Malaysia kembali mendahului pada minit ke-45.
Bagai mendapat tonik dan sorokan padu daripada penyokong telah memberi motivasi tambahan kepada para pemain apabila tiga minit kemudian, anak buah Arul Selvaraj terus mengukuhkan kedudukan apabila Muhammad Aminuddin Mohd Zain meledak gol ketiga menerusi jaringan padang.
Lima minit sebelum tamat permainan, Razie dilayangkan kad kuning dan menyebabkan pemain ini terpaksa berehat sehingga tamat perlawanan dan Korea Selatan mula mengambil kelebihan ini dengan menyerang bertubi-tubi ke kubu Malaysia.
Suhu perlawanan semakin panas biarpun hujan turun apabila Korea Selatan mendapatkan gol kedua menerusi Jeon Byungjin pada minit ke-58.
Malaysia yang kekurangan seorang pemain manakala Korea Selatan menggunakan sistem 'power play' menjadikan mereka ada lebihan pemain ketika menyerang, Tetapi pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana bermain dan bertahan sehingga tamat permainan.
Malaysia pernah beberapa kali ke pentas akhir namun rezeki belum menjelma apabila seringa kali tewas dan 2014 adalah pentas terakhir Malaysia sebelum melakukannya sekali lagi pada 2022 tetapi pengakhiran cerita yang berbeza untuk edisi ke-29 ini. - KitaReporters
Foto Kredit : Team Malaysia