ANAK-anak zaman sekarang tidak dapat dinafikan semakin sukar untuk menjaga atau menguruskan ibu bapa sendiri di rumah terutama yang uzur dengan memberi pelbagai alasan dan secara tidak langsung tindakan sedemikian mengabaikan tanggungjawab seharusnya dipikul oleh mereka.
Alasan seperti sibuk dengan kerja sudah menjadi lumrah tanpa memikirkan semula kejayaan mereka dalam satu-satu bidang atau kerjaya itu adalah daripada hasil pengorbanan serta usaha ibu bapa yang mahukan anak mereka berjaya dalam kehidupan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat-pusat jagaan warga emas
Mohiadin Bahado (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohamed Rafed Ismail selepas merasmikan seminar berkenaan.
Mantan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Mohamed Rafed Ismail, berkata kerana itu tidak hairanlah ada sesetengah ibu bapa terpaksa menerima hakikat berkenaan dan memilih untuk menghuni pusat jagaan orang tua atau warga emas.
Menurutnya, antara ibu bapa terpaksa mengambil tindakan itu untuk tidak menganggu keluarga anak mereka walaupun terpaksa memendam rasa menyindiri di pusat jagaan berkenaan kerana mungkin lebih baik bagi mereka apabila dapat mengikuti kelas pengajian agama disediakan di situ selain berpeluang bergaul dengan rakan senasib.
Jelasnya, perkara seperti itu seharusnya tidak berlaku, nasib sesetengah ibu bapa atau warga emas terabai, tersisih serta dibuang dan menjadi umpama gelandangan yang sering didedahkan dalam media sosial sepatutnya menjadi ikhtibar untuk seseorang itu menjadi anak bertanggungjawab bagi menjaga ibu bapa mereka.
Sebahagian peserta Seminar Pengurusan Pusat Jagaan Warga Emas anjuran Pewaris.
“Seorang
bapa boleh menyediakan empat bilik untuk anak mereka, tetapi anak tidak mampu
menyediakan satu bilik bagi ibu atau bapa supaya dapat tinggal bersama-sama
selain disantuni dengan baik kerana merekalah pintu kita menuju ke syurga,” katanya
ketika berucap merasmikan Seminar Pengurusan Pusat Jagaan Warga Emas anjuran
Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (Pewaris) di Dewan
Seminar Restoran Tasek, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, 15
Oktober 2022.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Pewaris, Dr Mohamad Zulkurnai Ghazali; Timbalan Pengerusi Pewaris, Mohd Afandi Mohd Kasim; Setiausaha Pewaris, Azmi Mat Napiah; Pegawai Agama Islam, Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri; Ketua Pegawai Eksekutif DXN Industri Sdn Bhd, Datuk Lim Siow Jin; dan Ketua Pegawai Eksekutif OPA Sinergi Sdn Bhd, Mohamad Idrus Abdullah Hudi.
Majlis itu selain disertai ahli jawatankuasa Pewaris turut diikuti pelajar Ijazah Sarjana Muda Dasar dan Kerja Sosial UUM dan pensyarah serta professor madya UUM serta sukarelawan Hospital Kajang termasuk dari tiga pusat jagaan iaitu Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Pusat Jagaan Insan (PJI), Semenyih, Selangor dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor.
Empat kertas kerja dibentangkan pada seminar berkenaan iaitu daripada wakil Gerbang Sumbangan Sdn Bhd; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi PJI, Mohamad Syafiq Mohiadin; dan Pengerusi PJMM, Mohiadin Bahado.
Mohamad Syafiq Mohiadin, menyantuni pelajar Ijazah Sarjana Muda Dasar dan Kerja Sosial UUM yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai operasi Pusat Jagaan Insan (PJI) pada Seminar Pengurusan Pusat Jagaan Warga Emas di Dewan Seminar Restoran Tasek, UUM, Sintok, Kedah pada 15 Oktober 2022.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Dr Mohamad Zulkurnai, berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dengan kerja amal dan kebajikan sosial akan mengutamakan kepentingan umum supaya mereka yang dibantu atau dibela itu mendapat manfaat sebagaimana diperlukan bagi kelangsungan hidup atau sebagainya.
Menurutnya, begitulah apabila menyantuni warga emas kita perlu memahami keperluan mereka atau bantuan yang perlu disalurkan dan tanggungjawab itu seharusnya dipikul bersama oleh masyarakat dengan membantu pusat jagaan bagi membela nasib penghuni di situ selain mengetepikan kepentingan untuk diri atau pihak dianggotai.
“Oleh sedemikian itu, seminar yang dianjurkan ini adalah bagi berkongsi idea berdasarkan pengalaman dilalui sekian lama bukan setakat teori kerana ia belum mencukupi untuk melakukan tugas sukarela menyantuni warga emas di pusat jagaan dan sebagainya supaya matlamat dirancangkan tercapai bagi tujuan kebaikan,” ujarnya.
Ustaz Alias Ahmad menyerahkan sumbangan bekas pelajar perempuan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1982-1986, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kuala Terengganu kepada Dr Mohamad Zulkurnai Ghazali (dua dari kiri).
Sementara itu, Azmi melahirkan rasa terharu apabila seminar itu berjaya dalam matlamat awal ke arah penubuhan Kompleks Asrama Warga Emas di Bukit Napai, Mukim Binjal, Kubang Pasu, Kedah kerana memerlukan perkongsian idea dengan mereka yang lebih dahulu bertahun-tahun mengurus serta menyantuni warga emas dengan sempurna.
Katanya, ini bagi memastikan kompleks yang akan dibuka nanti itu memberi manfaat dan faedah yang sepatutnya selain membantu kerajaan mengawal selia serta mengambil peduli permasalahan warga emas kerana ada antara mereka boleh berdikari jika mendapat bimbingan serta latihan sewajarnya.
Azmi Mat Napiah (berdiri kanan) merakamkan kenangan bersama peserta seminar.
“Pewaris
berazam memikul tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin di samping mengharap
pelbagai sumbangan dan bantuan termasuk idea supaya kompleks yang dibuka nanti
lengkap dengan kemudahan serta prasarana bersesuaian untuk kegunaan warga emas,
golongan asnaf, dan keluarga miskin,” jelas beliau.
Azman pula
berkata, walaupun sudah bertahun PJMM beroperasi dia tetap mengambil inisiatif
membawa petugas dan sukarelawan yang banyak membantu menimba pengalaman seperti
mengunjungi Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan, di Pulau Pinang terlebih dahulu
sebelum hadir menyertai seminar berkenaan.
“Di pusat jagaan ini mereka boleh melihat secara dekat bagaimana petugas menyantuni warga emas di situ yang boleh dipraktikan selain kemudahan yang disediakan mungkin boleh dicontohi untuk dilengkapi di PJMM atau PJI serta PJNH,” katanya. - KitaReporters
Sukarelawan Hospital Kajang, Selangor dan pusat jagaan PJMM, PJI dan PJNH mengagihkan cenderamata dan sumbangan wang kepada warga emas di Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan, di Pulau Pinang.
Sukarelawan Hospital Kajang, Selangor, Mastura Abd Fathah menyantuni seorang warga emas di Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan.