Seni & Sukan 17 Sep, 2022

Mesra Sesaat Seabad Terasa! Keluarga Malaysia jalin ukhuwah! LZS, 4 pusat jagaan santuni warga emas!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


BAGI memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia, Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memberi perhatian kepada pengesyoran supaya memperbanyak program yang membantu ke arah membentuk jalinan ukhuwah antara warga emas tanpa waris, tersisih dari keluarga serta terbiar yang ditempatkan di pusat jagaan, kata Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Muhd Nurhisyam Syamsir.

Beliau berkata, program yang natijahnya memberi banyak manfaat itu amat wajar diberi tumpuan kerana dapat mempertemu warga emas yang menghuni berlainan pusat jagaan dan datang dari pelbagai negeri serta daerah berjumpa pada satu aktiviti apabila secara tidak langsung dapat mengenali antara satu sama lain.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan warga emas

Muhd Nurhisyam Syamsir (dua dari kiri) beramah mesra dengan warga emas selepas merasmikan Program Jalinan Ukhuwah 2022 bertemakan ‘Mesra Sesaat Seabab Terasa’ sambil diperhatikan oleh Mohiadin Bahado (kiri), Nurul Atikah Mohd Azmi, Siti Norhayati Rabani dan Mohd Yusof Atan.


“Aktiviti yang disusun pula membantu dalam pembentukan ukhuwah erat antara mereka apabila terpaksa melakukannya secara berkumpulan sekali gus mereka akan beramah mesra serta bertanya khabar untuk menjayakan permainan disertai ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jalinan Ukhuwah 2022 bertemakan ‘Mesra Sesaat Seabad Terasa’ di Baitul Hikmah, Ulu Yam, Selangor pada 14 September 2022.

Program dua hari anjuran LZS itu disertai 30 warga emas dari Bait Al-Mawaddah (BAM); Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih; Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang; dan Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia (PJAFM), Sungai Sekamat, Kajang

Turut hadir pada majlis perasmian program itu, Ketua Pusat Latihan Asnaf LZS, Mohd Yusof Atan; Ketua BAM, Siti Norhayati Rabani; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; dan Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado dan Pengerusi PJAFM, Nurul Atikah Mohd Azmi.


Warga emas mewakili PJBAM memberi tumpuan kepada bacaan dalam pertandingan tilawah al-Quran pada program berkenaan.


Sepanjang program itu berlangsung antara acara diadakan membabitkan penyertaan warga emas lelaki serta perempuan ialah pertandingan karom, dam haji, tilawah al-Quran, hafazan, azan dan iqamat. Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Jabatan Pengurusan Institusi LZS, Abdul Razak Razali pada 15 September 2022.

Pengarah program berkenaan, Zulhakimi Mohd Hassan, berkata program kali pertama diadakan dengan membabitkan pusat jagaan itu adalah untuk mewujudkan hubungan dua hala di samping berkongsi kaedah dan pengalaman menguruskan warga emas dengan lebih baik seperti yang disarankan oleh pihak berkenaan.


Ketua Jabatan Pengurusan Institusi LZS, Abdul Razak Razali (duduk tiga dari kanan) dan Ketua Pusat Latihan Asnaf LZS, Mohd Yusof Atan bersama-sama pengerusi pusat jagaan serta warga emas yang menyertai Program Jalinan Ukhuwah 2022 di Baitul Hikmah, Ulu Yam, Selangor pada 14 dan 15 September 2022.


Jelasnya, di samping itu hasil kolabarasi antara LZS dan BAM menyusun beberapa acara bertujuan merapatkan ukhuwah serta persaudaraan antara warga emas terbabit yang pertama kali dipertemukan walaupun dalam kepayahan kerana ada sesetengah mereka terpaksa bertongkat dan menggunakan kerusi roda.

“Walaupun terpaksa melayani pelbagai karenah warga emas terbabit apabila ada antara mereka suka menyakat rakan-rakan dan membuat lawak yang menambahkan lagi keceriaan di ‘perkampungan’ program ini dengan dibantu 10 tenaga sokongan LZS dan BAM semua berjalan lancar termasuk acara dipertandingkan,” katanya.

Siti Norhayati pula menzahirkan ribuan terima kasih kepada pusat jagaan terbabit kerana memberi komitmen baik bagi menjayakan program berkenaan yang secara tidak langsung memberi peluang kepada warga emas melepaskan tekanan perasaan apabila turut disantuni dengan baik oleh fasilitator dan kakitangan pengiring.  

Menurutnya, setiap cadangan serta pandangan daripada pengurus serta pengerusi pusat jagaan terbabit akan diberi perhatian untuk melakukan penambahbaikan dalam program akan datang supaya kolaborasi dan ukhuwah itu dapat dijalinkan dengan lebih baik khusus untuk kebaikan warga emas yang diuruskan. 


Warga emas bertarung dalam pertandingan karom dan dam haji dalam program itu.


Sementara seorang warga emas, Abdul Rahim Abdullah, 64, melahirkan rasa bersyukur dan gembira dapat menyertai program itu apabila terlantar lebih empat tahun kerana penyakit strok kini dapat berjalan semula selepas mendapatkan rawatan serta disantuni dengan baik sepanjang enam tahun lebih menjadi penghuni PJAFM.

Luahan Abdul Rahim itu diucapkan di depan warga emas dalam majlis taklimat apabila tampil ke hadapan untuk menyampaikan lagu Suci Dalam Debu dengan penuh perasaan yang mendapat tepukan sorakan serta tepukan gemuruh daripada rakan-rakan. Manakala warga emas Tajudin Mat Husin dari PJNH menyampaikan lagu Titisan Embun Pagi serta Abdul Aziz Mohd Zin dari PJBAM pula meniup harmonika sambil menyampaikan lagu Oh Mama Saya Mahu Kahwin. - KitaReporters


Abdul Rahim dengan penuh perasaan mengalunkan lagu Suci Dalam Debu yang mendapat sorokan dan tepukan gemuruh daripada rakan-rakan warga emas.


Antara fasilitator LZS dan BAM (depan) merakam kenangan bersama-sama Abdul Razak dan warga emas yang menyertai program diuruskan mereka.


Warga emas PJMM, Makcik Hamidah menunjukkan  isyarat bagus selepas menerima hadiah daripada Abdul Razak.

33
12
0
13
0
You will be interested