Seni & Sukan 25 May, 2023

Video| Bantu Adam Shamil! Zahirkan mesej penghargaan kepada orang bersamanya! Ibu dan neneknya!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Mula mengecap populariti sebagai pempengaruh digital, Adam Shamil Misran, 29, atau nama pentasnya sebagai Adam Shamil kini bersedia untuk melakar lebih jauh dalam industri hiburan tanah air setelah secara rasminya menjadi artis terbaharu World Peace Entertainment (WPE) Sdn Bhd yang juga dinaungi Ismail Izzani dan Naim Daniel. 

Dilahirkan di Kota Kinabalu pada 29 Ogos 1994, Adam Shamil adalah seorang penyanyi, pengacara, pencipta kandungan digital, aktivis dan usahawan. 

Pernah dilamar oleh United International Pictures untuk menemu bual pelakon dan pengarah filem Hollywood Pacific Rim: Uprising di Beijing, China, Adam Shamil juga merupakan personaliti digital pertama dari Sabah yang dipaparkan oleh Netflix untuk iklan komersial di seluruh negara. 

Kini, dalam usaha memahatkan namanya di persada seni tanah air, Adam bakal tampil dengan sebuah single terbaharu berjudul ‘Bantu’ hasil kolaborasi Shazriq Azeman, Darien, Omar K dan Adam Shamil sendiri. 



Meminati genre muzik balada dan pop, Adam Shamil mengangkat muzik balada yang sememangnya sesuai dengan vokal serta mesej penghargaan atau terima kasih yang ingin disampaikan dalam ‘Bantu’ kepada pendengar muzik tempatan. 

Bait-bait lirik ‘Bantu’ menjurus tentang hal menghargai dan menyantuni tentang pengorbanan seseorang yang bersama kita dalam apa jua perihal kehidupan baik dalam susah mahupun senang. 

Elemen relatable dan easy listening disuntik untuk single ‘Bantu’ ini serta lirik digubah dengan susunan singkat dan ringkas tetapi mempunyai mesej mendalam untuk pendengar yang melalui perkara yang sama. 

Mengulas mengenai pengenalan beliau kepada industri muzik tempatan menerusi single ‘Bantu’, Adam Shamil berkata, “Single ‘Bantu’ adalah lagu yang dihasilkan oleh Darien, Shazriq Azeman, Omar K serta dia sendiri tentang menghargai orang yang mengubah hidup kita. 

"Ia adalah karya indah yang didedikasikan untuk seseorang yang telah bersama anda, melalui perjuangan dan membantu membentuk anda menjadi orang yang anda ada hari ini.

"Sehinggakan walaupun suatu hari orang itu meninggalkan dunia ini, anda boleh tenang dengan mengetahui bahawa mereka akan sentiasa bersama walau secara rohani, dan bahawa anda akan sentiasa memerlukan mereka dalam semangat anda untuk membantu membuka mata anda dan melihat dunia. 

"Dan sementara pendengar boleh mendedikasikan lagu ini kepada sesiapa sahaja yang bermakna kepada mereka, saya mendedikasikan ini kepada ibu saya yang merupakan ibu tunggal dan nenek saya. 

"Kedua-duanya adalah tiang dan kekuatan saya dan saya tidak akan berada di tempat saya hari ini tanpa bimbingan mereka," kata Adam Shamil. 



"Saya amat gembira dengan nukilan lirik dan alunan muzik yang terhasil daripada kolaborasi bersama insan-insan yang hebat dalam persada muzik tanah air iaitu Shazriq Azeman, Darien dan Omar K yang saya amat kagumi. 

"Walaupun mereka adalah nama-nama besar, komitmen dan usaha yang diberikan membakar semangat saya untuk menghasilkan ‘Bantu’ kepada peminat muzik tanah air.

"Nyanyian dan penulisan lirik adalah jiwa dan memberi kepuasan kepada saya. 

"Apabila WPE memberikan kepercayaan kepada bakat dan melamar saya untuk menjadi artis mereka, saya sesungguhnya amat terharu dan bersyukur. 

"Saya melihat itu sebagai termakbulnya doa serta pengorbanan mereka yang bersama-sama dengan saya dalam usaha saya untuk mewarnai industri dengan kebolehan yang ada, selagi mereka ini ada di samping saya, selagi itulah saya akan terus di sini menghiburkan semua," kata Adam Shamil lagi. 



"Melalui single ‘Bantu’ ini juga, mesej yang ingin disampaikan diharap dapat memberi manfaat seterusnya meninggalkan kesan yang positif kepada orang ramai. 

"Di samping itu, saya juga ingin memberi motivasi kepada para pendengar bahawa dalam kita mengejar cita-cita, jangan pernah kita lupa akan mereka yang teguh bersama dengan kita sejak dari kita memulakan langkah yang pertama itu. 

"Saya sudah bersedia dengan sepak terajang dunia hiburan serta pernah diuji dengan pelbagai pahit getir dan turut pernah menerima komen-komen nakal terutama dalam laman media sosial. 

"Sebagai seorang yang ‘hidup’ dalam laman media sosial, saya tahu segala gerak geri saya akan menjadi perhatian maka dengan itu saya sentiasa memastikan bahawa setiap hantaran yang saya paparkan kepada followers saya mempunyai nilai positif. 

"Jika terdapat teguran atau sebarang unsur negatif, saya ambil maklum dan jadikan ianya sebagai penguat semangat untuk bekerja lebih keras untuk cemerlang dalam membina jenama sendiri. 

"Harapan saya agar single ini mendapat penerimaan yang baik buat semua. 

"Saya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua followers serta peminat yang tidak pernah jemu menjadi penyokong setia saya dari awal kemunculan saya sebagai pempengaruh digital sehinggalah bergelar penyanyi sekarang," tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
4
0
15
0
You will be interested