
SAHARUDIN Jaffar (kanan) bersama-sama rakan bekas pelumba negara, Abdullah Abu (dua dari kiri) dalam Kayuhan Santai Mazda 2011 di Shah Alam selain NA Rosli (kiri) dan Yahya Ahmad. - Kredit foto: SJ

SAHARUDIN Jaffar (depan, tiga dari kiri) ketika menghadiri program Yakeb dalam Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yassin (berdiri, dua dari kanan) pada 2013. - Kredit foto: Yakeb
ARENA berbasikal di rantau Asia Tenggara mahupun benua Asia dalam era 60-an cukup mengenali siapa dia Saharudin Jaffar.
Tidak keterlaluan dia berhak digelar Raja Lebuh Raya rantau itu dengan kejayaannya mengalungi Malaysia pingat emas pertama berbasikal Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.
Saharudin yang berusia 25 tahun ketika itu merakamkan 1:05.8 saat untuk menaiki podium acara 800 meter perseorangan lepas beramai-ramai.
Dia diisytiharkan pemenang sekalipun berkongsi catatan masa tersebut dengan pelumba Vietnam Selatan yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, Nguyen Van Chgau.
Di podium pingat gangsa ialah Smaisuk Krissansuwan dari Thailand, dengan masa 1:06.2s.

Anak jati Sitiawan, Perak ini hampir menyumbangkan sebutir lagi pingat emas temasya edisi ketiga itu namun hanya tewas tipis kepada Smaisuk dalam acara 1,600m perseorangan lepas beramai-ramai dengan mereka turut mencatat 2:35.07s.
Kejaguhannya turut terserlah di arena Sukan Asia 1962 apabila dia yang berganding dengan Rosli Abdul Kadir (NA Rosli) dan Ja’apar Bibon menghadiahi Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya ketika itu, pingat gangsa.
Trio acara berpasukan lebuh raya temasya edisi keempat ini berada di belakang juara iaitu gandingan tuan rumah Indonesia dan Thailand selaku pemenang pingat gangsa.

SAHARUDIN Jaffar turut digelar Sha dalam kalangan rakan-rakan rapatnya. - Kredit foto: Yakeb
Dia juga mewakili negara dalam empat lagi Sukan SEAP iaitu di Rangoon 1961, Bangkok 1967 dan Rangoon 1969 serta Sukan Asia Bangkok 1966 selain Sukan Empayar Britain dan Komanwel 1962 di Perth.
Hikayat kegemilangan itu tidak akan luput dalam lipatan sejarah sukan negara biarpun Saharudin sudah kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 2.17 petang 18 Mac 2025 bersamaan Hari Nuzul Quran, 17 Ramadan 1446 Hijrah.
Dia yang dilahirkan pada 20 Oktober 1940, menghembuskan nafas terakhirnya dalam usia 84 tahun di Hospital Shah Alam, Selangor.

SAHARUDIN (kiri), Andrew Michael (baju putih, tukang urut Australia) dan Abdullah Abu (dua dari kiri) serta NA Rosli ketika Sukan Empayar Britain dan Komanwel 1962 di Perth. - Kredit foto ZUR
Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam laman sosialnya, melaporkan, Allahyarham pernah menghidap pelbagai jenis penyakit seperti jantung, usus bocor dan buah pinggang.
“Semoga Allah subhanahuwataala mencucuri rahmat dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham,” lapor Yakeb.
Buletin Yakeb Bil. 7/2013 pernah mengisahkan betapa Sha (gelaran oleh kalangan rakannya) terputus cuping telinga di Serendah dan tidak dapat ditemukan di tepi jalannya.
Kepalanya turut menerima 12 jahitan di Hospital Besar Kuala Lumpur dan bahu kirinya tercedera serius akibat kemalangan dilanggar seseorang ketika berlatih berbasikal.
“Saya menggadaikan segalanya demi sukan berbasikal,” katanya yang dua minggu selepas itu, tetap menjalani ujian pemilihan Sukan Olimpik Mexico 1968 dengan kepala yang masih berbungkus.

SHAHARUDIN pernah bergolok gadai barang kemas isterinya untuk berlumba dalam Jelajah Jawa. - Kredit foto: Yakeb
Saharudin turut pernah terlibat dalam kejurulatihan berbasikal dari 1969 hingga 1984 selain sebagai pengurus pasukan Kejohanan Asia 1971, Sukan Olimpik Munich 1972 dan Sukan Asia Tehran 1974.
Dia juga dikatakan antara pengasas persatuan lumba basikal Kedah, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang dan Perlis malah menyandang jawatan Setiausaha Persatuan Lumba Basikal Malaysia (PLBM) dari 1970 hingga 1988 serta memiliki tauliah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 1973-2006.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hasmah Ibrahim, 81, dan seorang daripada anak mereka ialah Suhaimi Saharudin, 55.
Laporan Bernama turut menyebut, 19 Mac 2025 juga merupakan hari ulang tahun perkahwinan Saharudin dan Hasmah yang ke-58.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Surau Seksyen 8, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

SAHARUDIN (kiri) dan Hasmah Ibrahim tidak kesampaian hajat untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-58. - Kredit foto: Yakeb