Seni & Sukan 25 Apr, 2025

Final Piala Malaysia! Bola itu bulat! Menanti kejutan di Bukit Jalil? Jamal, Zainal, MB yakin boleh!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 


DI ATAS kertas, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC menjadi pilihan untuk menjulang Piala Malaysia edisi 2024-2025 apabila ia melayan saingan Sri Pahang FC pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 26 April, 2025 ini. 

Tetapi bagi yang percaya dengan teori ‘bola itu bulat’ mereka yakin tiada istilah mustahil dalam bola sepak dengan harapan Pahang mampu membuat kejutan ke atas JDT.

Bagi mengukuhkan hujah mereka, kejayaan Kuala Lumpur City (KL City) FC menewaskan JDT 2-0 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 lalu menjadi sandaran.

Ketika itu, tidak ramai memberi harapan kepada KL City malah ada yang celupar mulut meramalkan pasukan itu akan menjadi ‘lauk’ santapan Harimau Selatan.

Tenyata budak-budak kota bimbingan Bojan Hodak mampu membuatkan JDT dan penyokongnya kesipuan apabila jaringan Zhafri Yahya dan Paulo Josue mmencalarkan ego JDT sebagai pasukan pilihan.


PAHANG muncul juara Piala Malaysia 2014, kalahkan JDT.


Malah mereka turut mengimbau perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 lalu yang mana Pahang mengalahkan JDT 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada tempoh permainan yang berlanjutan selama 120 minit.

Pada perlawanan itu, Pahang ketinggalan 1-2 malah bermain dengan 10 orang pada hampir keseluruhan separuh masa kedua selepas pemain pertahanan Saifulnizam Miswan dibuang padang.

Namun, hasil semangat juang tinggi, mereka berjaya mengikat perlawanan 2-2, mengheret perlawanan hingga ke penentuan penalti yang dimenangi Pahang.

Ketika itu, sebagaimana pertembungan kali ini, ramai meramalkan JDT akan muncul juara tapi Pahang yang dibimbing Datuk Zainal Abidin Hassan menterbalikkan keputusan. Kebetulan, itu adalah kali terakhir Tok Gajah muncul juara Piala Malaysia.


DATUK JAMAL NASIR - Kredit foto: NSTP


Legenda bola sepak, Datuk Jamal Nasir Ismail antara yang optimis bahawa dalam bola sepak tidak ada yang mustahil malah mengingatkan pihak yang memandang rendah keuapayaan Sri Pahang agar tidak memperlekehkan pasukan bimbingan Fandi Ahmad.

Bagi Jamal, jika Pahang sebuah pasukan lemah, tidak mungkin mereka mampu layak ke perlawanan akhir kerana laluan ke final bukan mudah terutama pada separuh akhir bertemu Sabah FC.

Meskipun mengakui kekuatan JDT namun beliau percaya pasukan itu mampu ditewaskan jika pemain Pahang memiliki semangat juang tinggi untuk menang.

“Di atas kertas kelebihan berpihak pada JDT yang memiliki barisan terbaik namun tidak semestinya ia tidak boleh ditewaskan. Dengan kesungguhan tinggi Pahang mampu melakukan kejutan,’ kata bekas pemain dan jurulatih Pahang itu.


LATIHAN skuad Sri Pahang menjelang perlawanan akhir. - Kredit foto: Sri Pahang FC


Zainal Abidin senada dengan Jamal apabila memperkatakan peluang Sri Pahang pada perlawanan kali ini.

"Bola itu bulat, anda pernah lihat banyak elemen kejutan berlaku, memanglah JDT tidak mahu apa yang berlaku pada 2014 lalu berulang dan mereka akan lebih berhati-hati. Bagi Sri Pahang mereka tetap akan buat kejutan,” kata Zainal kepada Bernama.

Jika kata-kata positif dua legenda itu belum memadai untuk membakar semangat pemain-pemain Sri Pahang, keyakinan tinggi Menteri Besar mereka, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang meramalkan Tok Gajah akan tewaskan Harimau Selatan 2-1 mungkin boleh dijadikan tangkal azimat.

Keyakinan Wan Rosdy juga diharap turut membakar semangat penyokong Tok Gajah yang nampaknya masih berkira-kira sama ada mahu ke Stadium Nasional, Bukit Jalil atau hanya menonton siaran langsung pada kaca televisyen.


SKUAD Johor Darul Ta'zim gigih menjalani latihan bagi menghadapi Sri Pahang pada fianal Piala Malaysia. Foto: MFL


Setakat Khamis, 24 April, 2025, tiga hari menjelang final, jualan tiket dalam kalangan penyokong Pahang belum mencapai sasaran, daripada 33,600 tiket diperuntukkan, hanya 11,777 terjual. 

Ayuh penyokong Pahang! Fandi dan pemain-pemainnya perlukan sorakan anda untuk membangkitkan semangat mereka. Belum terlambat untuk membeli tiket.

Sama ada kejutan benar-benar akan berlaku, kita perlu menunggu perlawanan sebenar. 

Jika ditakdirkan Sri Pahang tewas, anda tetap tidak rugi kerana dapat melihat persembahan dua artis popular, Datuk M Nasir dan ratu rock, Ella yang akan turut memeriahkan suasana perlawanan akhir itu. Dan jika ada tuah, anda akan pulang dengan sebuah hadiah motosikal Y-Suku (Yamaha 15).

Tapi, sehingga realitinya berlaku di atas padang, di atas kertas, JDT tetap menjadi pilihan! - KitaReporters

 

 

 

 

 

12
14
0
9
0
You will be interested