Seni & Sukan 31 May, 2025

Komunikator terunggul! Nasihat tanpa berceramah! Tegur tanpa menghukum! Kekuatan filem P Ramlee!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Tan Sri P Ramlee tokoh seni yang terus hidup dijiwa masyarakat


Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seniman, tapi juga pendidik masyarakat melalui seni. Kisah-kisah dalam filemnya adalah kisah sepanjang zaman yang tetap relevan sehingga ke hari ini. Filem-filem beliau penuh dengan mesej yang disampaikan secara halus tapi sampai ke hati. 

Allahyarham menyelitkan unsur-unsur komunikasi berkesan iaitu mesej yang mudah difahami semua golongan, bersahaja, tetapi memberi kesan mendalam pada penonton. Malah dailog dalam filem filem Allahyarham dihafal dan diingati masyarakat sehingga ke hari ini. 


Filem Pendekar Bujang Lapok


Sebagai contoh filem Pendekar Bujang Lapok. P. Ramlee menyindir sistem pendidikan lama yang hanya pentingkan hafalan, bukan kefahaman. Tapi disampaikan dengan jenaka, bukan marah-marah. Kita ketawa, tapi kita faham apa maksud yang nak disampaikan.

Dalam Filem Anakku Sazali, beliau menyampaikan mesej tentang tanggungjawab sebagai ibu bapa. Kalau terlalu manjakan anak tanpa disiplin, akhirnya memakan diri. Anak ibarat senjata yang makan tuan jika tidak diberi pendidikan dan disiplin yang baik. Mesej ini sampai ke jiwa penonton tanpa perlu berceramah panjang, cukup dengan jalan cerita yang kuat dan lakonan yang ikhlas dan menyentuh perasaan

Filem Musang Berjanggut pula sarat dengan sindiran terhadap sistem kerajaan dan pemimpin yang tidak amanah. Tapi semua itu disampaikan dalam bentuk komedi dan kisah rakyat yang ringan tapi mengena dengan tepat.

Apa yang menjadikan P. Ramlee unik ialah keupayaannya menyentuh isu berat seperti rasuah, keadilan, pendidikan, perkahwinan, keagamaan  tanpa ada unsur negatif atau menjauhkan penonton dalam realiti kehidupan. P Ramlee bijak  menggunakan bahasa seni, bahasa rakyat, dan bahasa hati yang akan terus masuk dalam jiwa penonton.

Itulah kekuatan komunikasi beliau. P Ramlee tidak berpidato, tetapi menggunakan teknik bercerita dalam filemnya. Dalam setiap cerita pula, ada pengajaran yang digarap menggunakan teknik komunikasi yang halus dan sangat berkesan. 

Inilah seni komunikasi yang patut kita belajar dalam menyampaikan yang benar tanpa menyakitkan hati mana mana pihak, menegur tanpa menghukum.


Buku kisah P Ramlee 


Berikut adalah dailog komunikasi berkesan dalam filem P Ramlee  

1. Pendekar Bujang Lapok (1959)

Dialog ‘hafalan’ klasik – sindiran sistem pendidikan

“Hei mambang biru, mambang merah, mambang kuning... Mambang di laut, mambang di darat, mambang di gunung, mambang di awan, aku tahu asal-usulmu…"

Dailog ini adalah sindiran tajam pada hafalan yang tidak masuk akal. Menghafal tanpa faham isi dan maksud sesuatu. Tapi  menariknya ia disampaikan dengan gaya lawak yang lekat pada kepala orang sampai sekarang.

2. Anakku Sazali (1956)

Dialog menyayat hati  seorang ayah yang memilih kebenaran walau pedih

"Saya bersumpah di atas nama Tuhan, bahawa saya yang melahirkan dia, saya juga yang membesarkan dia… dan saya juga yang menyerahkan dia kepada tuan untuk dihukum."

Dialog ni sangat kuat dan menyayat hati. Sebuah mesej tentang tanggungjawab sebagai bapa dan prinsip keadilan. Walau darah daging sendiri, kalau salah tetap salah. Satu contoh komunikasi yang penuh integriti dan nilai moral.

3. Musang Berjanggut (1959)

Sindiran politik  terhadap sistem pemerintahan yang tak telus

"Negeri takkan aman kalau orang jahat diangkat jadi menteri. Hukuman hanya untuk orang miskin. Yang kaya, tetap kebal."

Dalam suasana komedi, P. Ramlee berjaya selit mesej kritikal tentang ketidakadilan sistem dalam kerajaan apabila kuasa disalah guna, rakyat jadi mangsa. Sindiran ini disampaikan dalam bentuk pantun, gurindam, tapi makna sangat mendalam.



Itulah kehebatan insan bernama P Ramlee. Walaupun P. Ramlee telah meninggalkan kita 52 tahun yang lalu (29 Mei 1973), namun hasil seninya dan mesej komunikasi yang baik tetap hidup, segar dan terus menyentuh hati masyarakat. 

Filem-filemnya bukan sekadar hiburan, tapi banyak unsur pengajaran. Ia juga cermin kepada sikap masyarakat, suara kepada golongan yang lemah, dan satu bentuk nasihat yang disampaikan secara halus tanpa memaksa. 

Itulah kekuatan seni yang benar juga komunikasi yang merentasi masa, bahasa dan generasi. 

Selagi ada yang menonton, selagi itulah P. Ramlee akan terus hidup dalam hati kita walaupun sudah lebih setengah abad Allahyarham meninggalkan kita. Al-Fatihah. - KitaReporters


Filem Musang Berjanggut

11
10
0
13
0
You will be interested