
BEKAS pemain bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din (lima dari kanan) menziarah jenazah Allahyarham Ishsam Shahruddin. - Kredit foto FB Radhi Mat Din.
KETIKA mendapat berita kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Perak, Ishsam Shahruddin pada malam Sabtu, 22 Februari 2025, Muhammad Radhi Mat Din yang baru selesai pada satu program, terus memberitahu stafnya untuk bersiap sedia bagi menziarah jenazah sahabatnya seawal pagi keesokannya.
Ini kerana beliau mahu memastikan sempat menatap wajah Allahyarham sebelum jenazah disemadikan yang dijadualkan pada 10 pagi di Ipoh.
“Saya bertolak sebelum subuh dari Alor Setar, singgah solat subuh di Gurun dan kemudian meneruskan perjalanan. Alhamdulillah, saya sempat sampai dan dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir serta menyertai solat jenazah,” ujar Radhi yang merupakan ADUN Alor Mengkudu, Kedah.
Itulah nilai sebuah persahabatan yang terjalin sejak mereka sama-sama aktif sebagai pemain bola sepak pada era 1980-an sehingga 1990-an. Radhi mewakili pasukan Kedah sementara Ishsam menyarung jersi Perak.
Kedua-dua pasukan utara itu adalah dua musuh tradisi dalam pertandingan bola sepak tempatan terutama Piala Malaysia yang mana perlawanan antara Sang Kenari dan Sang Seladang sering dilabel sebagai ‘northern derby’ (persaingan atau derbi utara).

ALLAHYARHAM Ishsam Shahruddin antara arkitek bola sepak yang membawa Perak menjuarai Piala FA 1990.
Radhi masih ingat, sebagai pemain tengah pasukan masing-masing, mereka saling bersaing sehingga kadang-kadang mencetuskan ketegangan. Namun, segala persengketaan di tengah padang berakhir di situ saja, tidak terbawa-bawa hingga ke luar padang.
“Dalam padang kami memang bergasak tapi di luar padang kami bersahabat. Lazimnya, selepas sesuatu perlawanan, pasukan tuan rumah akan meraikan pasukan pelawat dalam satu majlis jamuan yang dihadiri pemain kedua-dua pasukan.
“Di sinilah segala perseteruan semasa perlawanan dilupakan dan hubungan persahabatan terjalin. Pada ketika ini kami ibarat satu pasukan, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dalam padang tadi.
“Seingat saya, kami tidak pernah berganding dalam pasukan kebangsaan. Walaupun sebaya tapi saya lebih awal mewakili negara. Bila Ishsam menyertai skuad Harimau, saya sudah masuk ke skuad senior,” jelasnya.

SELEPAS bersara bermain secara kompetitif, sesekali Radhi turun padang pada perlawanan jemputan membabitkan bekas pemain.
Menurut Radhi, persahabatan mereka berterusan apabila
masing-masing sudah bersara bermain secara kompetitif, hanya sesekali bertemu
pada perlawanan jemputan membabitkan bekas pemain.
“Kami jarang berhubung tapi saya mengikuti perkembangan Ishsam melalui media. Saya difahamkan, selepas bersara, beliau aktif dalam perniagaan dan politik bersama UMNO sehingga dipilih sebagai ADUN Ayer Kuning pada pilihan raya negeri pada 2022 lalu.”
Radhi berkata, walaupun berbeza parti politik namun itu bukanlah alasan untuk menamatkan sebuah persahabatan yang sekian lama terjalin.
“Saya ahli politik Pas dan Ishsam pula UMNO. Tapi, persahabatan kami merentasi parti politik atau pasukan bola sepak. Pada saya, biar apa pun perjuangan politik masing-masing, itu bukan halangan untuk kami meneruskan persahabatan.
“Inilah mesej yang mahu saya sampaikan kepada masyarakat. Kita boleh berbeza parti politik tapi jangan sampai meruntuhkan silaturahim atau ukhuwah. Kita raikan sahabat-sahabat kita walaupun tidak sehaluan dalam politik.

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) yang hadir menziarah jenazah Ishsam sempat berbual bersama Radhi (kiri) dan Baddrol Bakhtiar (kanan). - Kredit foto: FB Radhi Mat Din.
“Secara peribadi, saya mengenang Ishsam sebagai seorang sahabat yang baik budi pekertinya. Malah, saya difahamkan, beliau seorang wakil rakyat yang sangat disayangi masyarakat diwakili kerana khidmatnya yang cemerlang.
“Saya dapat lihat buktinya apabila ramai yang turut bersolat jenazah untuk Allahyarham. Saya kehilangan seorang sahabat dan DUN Ayer Kuning kehilangan seorang wakil rakyat yang berdedikasi,” kata Radhi.
Selain Radhi, turut kelihatan menziarah jenazah Allahyarham adalah bekas kapten pasukan Perak, Azizol Abu Haniffah; serta bekas pemain bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang kini merupakan ADUN Gurun; Ahmad Shahrul Azhar; dan Syamsol Saad.

BEKAS kapten bola sepak Perak, Azizol Abu Haniffah (tengah) turut hadir. - Kredit foto FB Radhi Mat Din.
Dilaporkan kira-kira 1,000 hadir solat jenazah dipimpin oleh Ustaz Azmuley Abdul Aziz di Masjid An-Nur, Desa Seri Ampang, Ipoh sebelum jenazah Ishsam disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia pada kira-kira11 pagi pada 23 Februari 2025.
Beberapa orang pemimpin politik merentasi parti, diketuai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut hadir memberi penghormatan terakhir di kediaman Allahyarham dan juga semasa pengkebumian.

SERAMAI kira-kira 1,000 orang hadir bersolat jenazah ke atas Allahyarham Ishsam.
Ishsam, 59, dilaporkan rebah ketika sedang bersalam dengan pemain-pemain lain di tepi padang semasa menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang membabitkan penyertaan bekas pemain bola sepak negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.
Beliau tidak sedarkan diri pada jam kira-kira 5.20 petang dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas bantuan kecemasan diberikan di tepi padang. Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan, HPP.
Sebelum menceburi politik, Ishsam adalah pemain bola sepak yang pernah mewakili Perak dan Negeri Sembilan. Beliau adalah antara tulang belakang pasukan Perak dalam melakar sejarah sebagai juara pertama Piala FA yang diperkenal pada 1990.
Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atas rohnya. Amin. - KitaReporters

JENAZAH Allahyarham Ishsam Shahruddin selamat di semadikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh, Perak.