
“Rasa syukur itu sebagai pembakar semangat, melampaui segalanya walau dalam apa jua keadaan sekalipun.”
Itulah ayat yang sesuai untuk menggambarkan sebuah keluarga yang cukup bahagia apabila salah seorang daripada anak berjaya menggenggam skrol diploma dalam Istiadat Konvokesyen UiTM yang ke-101 di Dewan Agung Tuanku Canselor pada 8 Mei 2025 lalu.
Nuratul Shakirah Sharizan, 26, menjadikan skrol itu sebagai hadiah paling bermakna dalam hidup ibu bapanya.
Lebih-lebih lagi hari konvokesyennya, 8 Mei 2025 itu jatuh pada hari lahir ayah kesayangannya. Siapa lagi kalau bukan Sharizan Ahmad atau dikenali sebagai Abon, pelawak dan pelakon ‘otai’ Malaysia.
“Syukur Alhamdulillah sebab saya mampu untuk melangkah sejauh ini, segala susah payah yang ada takkan mampu saya hadap kalau tiada ibu bapa saya yang menyokong dari belakang,” ujar Nuratul.
Ditanya tentang populariti dan perhatian beliau dapat kerana bergelar ‘anak artis’, Nuratul mengulas bahawa beliau kurang menggemari gelaran tersebut kerana mereka sekeluarga berkongsi satu pendapat yang sama iaitu suka bersederhana dalam hidup.
“Saya cuba juga untuk sembunyikan identiti keluarga saya supaya saya tidak mendapat spotlight. Agak sukar untuk mengharungi keadaan tersebut kerana siapa je kan taknak tunjuk ibu bapa sendiri?
“Semasa semester akhir sebelum intern, barulah kawan uni saya tahu siapa sebenarnya ayah saya, tidak termasuk kawan-kawan rapat yang sudah lama mengetahuinya.
“Walaupun dalam tempoh sekejap, tapi masih dapat merasai tekanan oleh spotlight tersebut. Namun ia bukan penghalang untuk saya fokus dalam pelajaran,” luah Nuratul.

Sudah bergelar graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia, Nuratul menekankan bahawa ibu bapanya tidak henti berkerja keras untuk menyaranya sejak kecil dan bertegas untuk tidak mengambil pinjaman PTPTN.
Ayah Nuratul, Abon mengatakan bahawa beliau cuba untuk mencari rezeki yang halal untuk keempat-empat anaknya agar tiada masalah bagi mereka untuk menimba ilmu dalam keadaan tenang.
“Saya kerah tenaga sejak muda supaya keluarga saya hanya bergantung harap kepada saya terutama anak-anak.
"Saya bertegas untuk tidak ambil PTPTN kerana saya merasakan, saya masih mampu untuk menampung mereka,”
Namun dalam ketegasan Abon mendidik anak-anak agar berdikari dalam hidup, takkan lari perasaan seorang ayah yang tetap menghargai setiap kerenah manja dengan menganggap itu adalah tanda kasih sayang mereka kepada Abon.
“Melihat dia naik pentas ambil skrol diploma, itu sudah cukup membuatkan saya bahagia dan bersyukur ada anak-anak yang menghargai ibu bapa sendiri.
"Semestinya ini adalah hadiah hari lahir yang sangat berharga dalam hidup saya dan isteri,” ucap Abon dalam senyuman bangga.
Kata anak bongsu tersebut, “kuat,” satu perkataan yang tersirat berjuta-juta usaha, darah, dan keringat, sesuai menggambarkan ibu bapanya yang hebat lebih daripada segalanya. - KitaReporters/Kenyataan Media
