
Pemain-pemain bergambar kenangan sempena Kejohanan Ragbi Mannol Malaysia Sains Kedah 10's 2025 Peringkat Kebangsaan.
Kemenangan pasukan THOR dalam Kejohanan Ragbi Mannol Malaysia Sains Kedah 10's Bawah 15 Tahun (B-15) 2025 Peringkat Kebangsaan di Padang Astaka, Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SMSSMJ) Sungai Petani, Kedah adalah datang daripada latihan yang sistematik dan seramai 50 orang pemain pilihan, bermain mengikut taktikal yang diajar dengan baik.
Kejayaan tidak disangka itu juga membolehkan pasukan tersebut membawa pulang hadiah utama RM1,000 serta medal kepada setiap pemain yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Jurulatih Ragbi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussien Onn atau Sekolah Sukan Negeri Johor, Azfar Afandi Ahmad Nazri berkata, pemain pasukan ini memang dikenali ramai sebagai THOR.
"Alhamdulillah, akhirnya pasukan THOR muncul sebagai juara dalam kejohanan Ragbi SK Mannol SK 10's. Inilah kali pertama kami sertai kejohanan edisi kedua yang dianjurkan," katanya.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMSSMJ dan Sains Kedah Eagles Rugby yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada 1 Jun 2025 lalu.

Kapten pasukan THOR, Muhammad Thaqif Aisy Hail Abd Razak (kiri) menerima hadiah RM1,000 bagi pihak pasukan itu selepas menjadi juaranya.

Muhammad Sanusi Md. Nor menyampaikan hadiah kapada Rezaril Razali sebagai pemain terbaik kategori Backline pada kejohanan ragbi itu.
Menurutnya, pasukan ragbi dari negeri-negeri lain juga menunjuk permainan yang hebat semasa berada di atas padang.
"Bagaimanapun, dua pelajar yang bermain ragbi di kejohanan kali ini telah dipilih menerima anugerah sebagai pemain terbaik iaitu, Muhammad Rezaril Razali kategori backline dan Muhammad Syahmi Sham pula sebagai pemain terbaik kategori forward," katanya lagi.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada mentor, Fazli Simin yang banyak mencurahkan ilmu mengenai latihan bagi mencorakkan pasukan ragbi THOR.
Tidak dilupakan juga kepada Johor Rugby Union (Kesatuan Rugbi Johor atau JRU) yang memberi sumbangan dari segi dana dan juga sokongan kepada penubuhan pasukan ragbi projek Johor di sekolah SMK Tun Hussien Onn.
Dalam kejohanan itu, pasukan ragbi dari SMK King Edwards, Taiping, Perak mendapat tempat kedua.
SMK Hosba, Jitra, Kedah pula mendapat tempat ketiga, manakala SMK Jalan 3, Bangi, Selangor mendapat tempat keempat.
Pengarah kejohanan Itu, Muhammad Zelman Mohamoud berkata, kehadiran penduduk tempatan bagi menyaksikan perlawanan selama tiga hari itu, amat menggalakkan.
Turut hadir menyaksikan kejohanan itu, iKon ragbi No 1 negara, Duke Krishnan; Presiden Persatuan Alumni Sains Kedah 2025-2028, Hasanin Ahmad; Pengarah Urusan Mannol Malaysia, Mohd Haris Fathimi Zakaria; dan Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan Ragbi Daerah Kuala Muda, Wan Mohd Rabbani. - KitaReporters

Pasukan ragbi SMK Tun Hussien Onn (THOR) atau Sekolah Sukan Negeri Johor bergambar kenangan selepas menjadi juara.