
KELEBIHAN dan pengalaman lima pemain kebangsaan dalam Muamalat Bullets tidak bererti mereka sifar daripada sebarang kesilapan sekalipun mereka sentiasa dihormati dan dipandang tinggi.
Justeru MBDK Royal Town Warriors hanya perlu
menunggu detik salah langkah sang juara bertahan untuk menghukumnya dalam final
Ragbi Super Korporat (CSR) di Padang Sultan Suleiman, Klang, Selangor pada 3
Mei 2025 ini.
“Kami pun ada kekuatan dan boleh berikan tentangan untuk menghukum apa-apa kesilapan lawan. Kami sentiasa bersyukur apabila diletakkan sebagai bukan pilihan yang sedikit melegakan untuk beraksi pada final.
“Namun semangat pasukan tetap membara untuk merangkul kejuaraan buat julung kalinya di bumi Bandar Raya Diraja Klang kami,” kata pengurus pasukan Warriors, Shahizam Tukiran dalam sidang media di Subang Jaya, Selangor pada 30 April 2025.

Muamalat Bullets diperkasa lima tonggak Bunga Raya
yang ditewaskan Sri Lanka 59-19 di Stadium Lapang Lumba, Colombo dalam Divisyen
Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) pada 19 April 2025 lalu.
Mereka yang baru sahaja menikmati pengalaman ragbi
tahap tertinggi Asia itu ialah Azri Kamal, Amierul Harith Heriezal (prop), Sameer
Sani Surinder, Shobrey Amuk (lock) dan Amirul Aqil Kamsol (flyhalf).
Sejurus sepak mula 9 malam nanti, Bullets juga
memburu kejuaraan hatrik setelah turut memenangi perlawanan akhir edisi sulung 2022
dengan menewaskan Warriors 18-13.
Namun bagi MBDK atau Majlis Bandar Raya Diraja Klang, gelaran CSR 2025 yang diraihnya daripada Bullets bakal jadi hadiah terindah buat sambutan ulang tahun pertama Klang diisytiharkan sebagai bandar raya pada 5 Februari 2024 lalu.

AKSI Muamalat Bullets (jersi hitam merah) selaku juara bertahan yang turut diperkasa lima pemain kebangsaan sentiasa menjadi perhatian ramai peminat ragbi pada final CSR di Klang. - Kredit foto CSR


DUA pemain Bunga Raya, Amirul Aqil Kamsol (atas) dan Shobrey Amuk yang memberikan kelebihan Muamalat Bullets pada final CSR di Klang menentang MBDK Royal Town Warriors. - Kredit foto: MR
Warriors juga menagih kehadiran lebih ramai penyokongnya berbanding separuh akhir sambil mengingatkan setiap pemain untuk bermain menurut corak permainan sendiri tanpa sesekali melayani sebarang provokasi lawan.
Kata Adam Abdullah: “Bagi final, kami pamerkan taktikal
baharu dan berlainan. Pengalaman lima pemain negara pada tahap ragbi tertinggi jadi
satu lagi kelebihan kami tetapi kami tidak bergantung sepenuhnya kepada mereka.
“Warriors pun ada pemain berpengalaman dan beberapa
bekas pemain kebangsaan. Tekanan pasti ada namun kami yakin, persediaan sebelum
dan semasa perlawanan serta ketahanan mental ketika itu banyak membantu kami untuk
kekal juara,” kata penolong pengurus pasukan Bullets ini.
Bullets dan Warriors juga memasuki perlawanan akhir ini dengan rekod tanpa kalah.

ADAM Abdullah (kiri) dan Shahrizin Shaharudin mengapit trofi kejuaraan CSR dalam sidang media praperlawanan akhir di Subang Jaya. - Kredit foto: CSR
CSR ialah kejohanan ragbi 15 sebelah peringkat kebangsaan yang melibatkan pasukan korporat dan agensi kerajaan serta dianjurkan secara swasta.
Juara CSR 2025 juga akan beroleh hadiah wang tunai
RM15,000 manakala sagu hati RM7,000 buat naib juara.
Kata Shahrizin Shaharudin, Muamalat Bullets ibarat ‘JDT
(Johor Darul Ta’zim FC) Ragbi Malaysia’ dengan penguasaan profesional dan
reputasi mereka dalam membina jenama ragbi korporat yang disegani.
“Bullets membina sistem, budaya dan kesinambungan serta mencatat satu taraf baharu. Warriors pula bukan calang-calang dengan sorakan penyokong tegar mereka, apa sahaja boleh berlaku,” katanya selaku Pengarah Kejohanan CSR 2025. - KitaReporters

MBDK Royal Town Warriors mengidam gelaran CSR buat kali pertama yang juga hadiah ulang tahun pertama Klang sebagai bandar raya diraja. - Kredit foto: CSR