Seni & Sukan 26 Jun, 2025

Nota Tepi Padang| Liga A1 Semi Pro bukan picisan! Landasan pulih reputasi! Peluang lokal tonjol bakat!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

SENARAI 16 pasukan yang menyertai Liga A1 Semi Pro 2025-2026.


KETIKA tumpuan banyak dihalakan kepada pertandingan Liga Super, kewujudan Liga A1 Semi Pro yang dikelolakan oleh Liga Bola Sepak Amatur Malaysia (AFL) tidak seharusnya dipandang sebelah mata apatah lagi diperlekeh.

Walaupun prestijnya tidak segah Liga Super yang merupakan pertandingan gred satu namun Liga A1 sama pentingnya dalam membantu pembangunan bola sepak negara.

Bagi penulis, Liga A1 ibarat sebuah ‘universiti’ yang memberi peluang bukan sahaja kepada pemain untuk belajar malah bagi pasukan mempelajari selok-belok pengurusan sebelum bergelar pasukan profesional dan menyertai Liga Super.


PASUKAN KDA FC memulakan latihan sebagai persiapan menghadapi Liga A1 2025-2026. - Kredit foto KDA FC


Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC, dua pasukan yang gagal mendapat lesen untuk bertanding pada Liga Super 2025-2026 kerana tidak memenuhi syarat seharusnya menggunakan kesempatan beraksi pada Liga A1 2025-2026.

Kegagalan KDA FC dan Perak FC menguruskan pasukan dengan cekap sehingga berlaku isu tunggakan gaji membuktikan mereka belum bersedia untuk memegang status kelab profesional.

Isu tunggakan gaji bukan perkara kecil kerana ia adalah asas profesionalisma sesebuah pasukan, jika itupun gagal mereka uruskan, bermakna mereka tidak layak berada dalam arus bola sepak profesional negara.


VICTOR Andrag dilantik sebagai ketua jurulatih Kedah FC. -Kredit foto Kedah FA. 


Justeru, Liga A1 adalah tempat selayaknya untuk mereka. Ia bukan sebagai satu bentuk hukuman tapi lebih kepada memberi peluang kepada mereka untuk menstruktur semula pasukan masing-masing.

Baik KDA mahupun Perak tidak harus berasa malu atau rendah diri untuk bermain pada liga bawahan sebaliknya perlu menyambutnya sebagai satu cabaran untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri.

Liga A1 juga boleh dijadikan landasan untuk mereka memulihkan reputasi yang sudah tercalar. Walaupun perlu memulakan semula dari bawah tapi itulah langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh KDA dan Perak.

Sejarah membuktikan Kedah yang pernah tersingkir dari Divisyen Satu setahun selepas menjuarai Piala Malaysia pada 1990, hanya mengambil masa selama semusim untuk kembali ke kelompok pasukan utama dengan menjuarai Liga Diviyen Dua pada 1992.


KELANTAN Red Warrior (KRW) FC akan mempertaruhkan ramai pemain muda  untuk saingan Liga A1 2025-2026.


Ini membuktikan bermain pada Liga A1 bukanlah jalan mati kepada pasukan KDA dan Perak untuk kembali ke Liga Super. Cuma, di samping berusaha untuk kembali ke liga utama, kedua-dua pasukan perlu menggunakan kesempatan itu untuk memperkemaskan pentadbiran mereka agar isu kewangan tidak berulang.

Jika pengurusan kewangan itu tidak ditangani, niat mereka untuk kembali ke liga utama akan tetap terbantut kerana tidak mendapat kelulusan untuk bertanding.

Selain itu, penulis juga melihat Liga A1 adalah gelanggang terbaik untuk pemain muda tempatan mengasah serta mempamirkan kebolehan mereka kerana syarat AFL yang membenarkan hanya tiga pemain import untuk setiap pasukan membuka ruang yang luas kepada pemain tempatan. 

Ketika pintu untuk pemain tempatan semakin sempit untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama skuad Liga Super dengan kebanjiran pemain import serta pemain naturalisasi dan warisan, Liga A1 adalah alternatif terbaik untuk anak tempatan menjual bakat.

Apatah lagi AFL juga mewajibkan setiap pasukan menurunkan tiga pemain bawah 23 tahun pada setiap perlawanan. Ini memberi peluang kepada seramai 48 pemain muda beraksi dan menimba pengalaman.


JDT II melahirkan ramai pemain muda menerusi Piala Liga MFL. Pasukan itu akan beraksi dalam Liga A1 Semi Pro 2025-2024. - Kredit foto Johor Southern Tigers.


Bagi penulis, langkah dilakukan oleh AFL itu adalah yang terbaik dalam memastikan bakat tempatan tidak terus pupus malah kita mengharapkan menerusi Liga A1, akan lahir lebih ramai Arif Aiman Hanapi yang kini mampu berdiri sama tinggi dengan pemain import dan warisan.

Malah, keputusan AFL membawa masuk kelab dari Korea Selatan, FC Seoul Phoenix untuk turut bersaing dalam Liga A1 bagi musim 2025-2026, menjadikan liga itu lebih kompetitif.

Selain KDA FC, Perak dan FC Seoul Phoenix, tiga belas lagi pasukan yang melengkapkan saingan Liga A1 musim 2025-2026 adalah Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Selangor FC II, Malaysian University FT, Imigresen FC II, Armed Forces FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warrior (KRW) FC, Manjung City FC, Bunga Raya FC, Kelantan WTS FC, Guar Syed Alwi FC dan UM-Damansara United. 

Melihat senarai itu, penulis menjangkakan saingan sengit akan berlaku dalam kalangan pasukan berpengalaman seperti JDT II, Selangor FC II, Kedah FA, KDA FC, Perak FA dan Kelantan Red Warrior FC sambil pasukan lain melengkapkan penyertaan.

Ketika banyak pasukan belum bersedia beralih ke era profesional, Liga A1 Semi Pro adalah tempat selayaknya untuk mereka. -KitaReporters


 

 

 

 

 

 

12
11
0
12
0
You will be interested