Seni & Sukan 31 Aug, 2024

Sisi gelap Pan-gon! Tak jujur, gila talak! Beri alasan keluarga tapi sertai Ulsan Hyundai! - Hamidin

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KIM Pan-gon (tengah) dalam sidang media pengumuman peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 16 Julai 2024 sambil diapit oleh dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi (kiri) dan Datuk S. Sivasundaram. - Kredit foto: FAM  


GILA talak, tidak berlaku jujur dan tidak profesional.

Tiga ‘sisi hitam’ Kim Pan-gon ini didedahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin berkaitan peletakan jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya itu pada 16 Julai 2024 lalu.

Warga Korea Selatan itu berubah watak selepas pernah nyatakan kepada Hamidin dan para pegawai FAM untuk menghormati kontraknya yang dijadualkan berakhir pada hujung 2025.

“Dia macam gila talak. Tiga hari selepas kembali daripada bercuti tiga minggu selepas perlawanan dengan Taiwan (Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 11 Jun 2024), dia jumpa saya sampai tiga kali dan cakap mahu dilepaskan daripada kontrak.

“Alasannya, ada masalah dengan isteri dan keluarganya. Saya dapat tahu ketika bercuti itu, dia sudah memeterai perjanjian dengan Ulsan Hyundai (kelab baharunya di tanah airnya).  

“Patut dia berlaku jujur. Ini kisahnya, di sini dia tidak profesional. FAM yang menjadi mangsa. Kerana dapat tawaran yang lebih tinggi, dia tinggalkan (Harimau Malaya) dan beri alasan yang tidak betul,” kata Hamidin.


HAMIDIN Amin (kanan) berbual dengan sayap kiri yang beransur pulih daripada lecuran serangan simbahan asid, Faisal Halim (tengah) yang diundang ke kem latihan Harimau Malaya menjelang Pestabola Merdeka Ke-43 dan Pau Marti Vicente di Wisma FAM pada 29 Ogos 2024. - Kredit foto: FAM 


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Negara FAM ini membongkar dengan terperinci sebab-sebab sebenar pengunduran Pan-gon yang mengendalikan Harimau Malaya sejak 23 Mac 2022, dipetik daripada video sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 29 Ogos 2024.   

Skuad negara gagal layak ke Piala Asia 2027 secara automatik ekoran pencapaian tempat ketiga Kumpulan D kelayakan itu di belakang Oman dan Kyrgyzstan, namun masih berpeluang menebusnya asalkan menjuarai kumpulan pusingan ketiga mulai 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026 nanti.   

Tegas Hamidin, “saya perlu nyatakan dengan baik dan jelas, bukan untuk mencari kambing hitam atau alasan FAM. Di sini langsung FAM tidak bersalah dan tidak boleh disalahkan (kerana) kami sudah menjaganya sedaya upaya.

“Saya kenang jasanya juga (Malaysia layak ke Piala Asia 2023/2024 di Qatar dan mencapai ranking ke-130 dunia). Saya tahu peminat sukakannya tetapi kebenaran ini pedih hendak kita terima. 

"Saya tahu peminat akan marahkan FAM, saya sudah nampak perkara ini.

“Saya kecewalah. Perlu ingat saya yang pilih Pan-gon dengan sokongan Jawatankuasa Eksekutif FAM dan hasil pengetahuan daripada kawan-kawan saya Pengarah Teknikal dari Australia, Jepun dan Iran,” katanya lagi.


BARISAN Exco FAM dan Harimau Malaya serta Faisal Halim bergambar sebelum sesi latihan hari pertama menghadapi Pestabola Merdeka pada 4 hingga 8 September 2024. - Kredit foto: FAM 


Kalau diikutkan kontrak, menurut Hamidin, Pan-gon boleh disaman dan dituntut membayar pampasan bagi baki tempoh kontraknya iaitu setahun setengah kerana mahu keluar lebih awal tetapi mengenangkan jasanya dengan pasukan negara, tindakan itu tidak diambil.

“Saya ada katakan, kalau hendak berhenti pun, tunggu sampai hujung 2025 untuk saya cari pengganti kerana saya ada sedikit hormat dengannya yang membantu menaikkan ranking dan prestasi pasukan kita. Itu kita tidak nafikan.

“Tetapi dia merayu dengan saya, dia kata dia hendak lepas, dia hendak balik. Akhirnya saya bersetuju secara lisan ketika Ahad (14 Julai 2024), sebelum Isnin malam, saya pergi ke Sepanyol (15 Julai 2024),” katanya.

Akui Hamidin, dia seperti ‘berkerat rotan, berpatah arang’ dengan bekas pengendali Harimau Malaya itu yang tidak lagi mahu dilayan apabila dia cuba menghubunginya beberapa kali selepas melepaskan jawatan tersebut.  

Mengenai penggantinya yang dinaikkan pangkat daripada penolong ketua jurulatih negara, Pau Marti Vicente, 41, warga Sepanyol itu katanya, diberikan tempoh pemantauan oleh FAM (mulai Pestabola Merdeka, 4 dan 8 September 2024 sehingga Kejohanan ASEAN, 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025).

“Saya janji kepada para peminat Malaysia, saya akan cari jurulatih terbaik yang lebih baik daripada Pan-gon kalau Pau tidak menyerlah. 

"Saya masih dalam proses, buat kerja rumah dan kena ambil sedikit masa serta kita tengok dulu dia dengan nasihat pakar teknikal luar negara.

“Banyak nama besar sebagai calon latih pasukan kita. Pak Hang-seo (bekas ketua jurulatih Vietnam juga kelahiran Korea Selatan) seorang daripadanya, ada sehingga 10 calonnya. Yang lain tidak perlu saya sebut lagi," katanya. 

Calon-calon itu kata Hamidin, perlu memahami kualiti pemain yang dimiliki Malaysia dan lawan serantau Asia Tenggara dan sebenua Asia sahaja. 

"Dia kena ada pengetahuan itu kerana kita bukan hendak lawan Jerman dan Brazil," katanya. - KitaReporters


BARISAN pemain Harimau Malaya berlari-lari anak ketika memulakan sesi latihan hari pertama menghadapi Pestabola Merdeka Ke-43 di Wisma FAM dengan pengawasan jurulatih kecergasan, Park Ji-hyeon (baju hitam). - Kredit foto: FAM

9
10
0
7
0
You will be interested