Seni & Sukan 30 Jun, 2021

Filem The Garden of Evening Mists ditayang di Jepun mulai 24 Julai! Sewaktu Sukan Olimpik Tokyo!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this



Dalam keadaan kita masih berperang dengan musuh yang tidak dapat dijangka keberadaannya, wabak COVID-19, siapa sangka sebuah filem Malaysia, ‘The Garden of Evening Mists (TGOEM) bakal ditayangkan di Shibuya Euro Space, Jepun bermula 24 Julai 2021 ini.

Tentu sekali ini satu pencapaian membanggakan industri perfileman negara apabila ia ditayangkan semasa Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 ini.

Lebih menarik lagi, filem TGOEM yang mengangkat kisah berlatarkan sejarah Malaysia dalam Perang Dunia II turut dijayakan oleh gabungan hebat barisan pelakon serta tenaga kru profesional dari luar negara seperti Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia dan United Kingdom.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem


TGOEM menggabungkan artis dari tujuh negara.


Terbitan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta kerjasama dari CJ Entertainment, ‘The Garden of Evening Mists’ telah ditayangkan di  pawagam Malaysia pada Januari 2020 lalu dan mendapat reaksi positif daripada penonton. 

“Ia diarah pengarah berbakat besar dari Taiwan, Tom Lin melibatkan  penulis skrip terbaik Scottish BAFTA, Richard Smith; pelakon filem wanita terbaik Hong Kong berasal Malaysia, Sinje Lee; pelakon lelaki terbaik Jepun, Hiroshi Abe; penyanyi dan pelakon legenda Taiwan, Sylvia Chang; pelakon terkenal Britain, David Oakes dan Julian Sands; serta pelakon Scotland, John Hannah,” ujar Penerbit Eksekutif TGOEM, Henry Tan (gambar bawah),  yang melahirkan rasa terujanya filem berkenaan dapat ditayangkan di Jepun.



Beliau berharap  filem  yang membawa elemen cinta dan kemaafan berlatarkan pelbagai era ini mampu menambat hati penonton di Jepun seperti mana ia telah meninggalkan kesan kepada penonton-penonton  dari pelbagai negara sebelum ini.

Bagi pengarahnya, Tom Lin (gambar bawah), sungguh pun karya-karyanya sebelum ini pernah ditayangkan di Jepun namun mengakui kali ini perasaannya berbeza apabila TGOEM berjaya ditayangkan di negara matahari terbit itu.



“TGOEM mengangkat subjek yang berat, tetapi ia juga sarat dengan cinta, empati, pengorbanan dan penebusan kesilapan lalu. Saya berharap filem ini mampu meninggalkan kesan kepada penonton,” ujar Tom Lin.

Dalam pada itu, pelakon utamanya yang berasal Jepun, Hiroshi Abe turut mengajak orang ramai menonton filem lakonannya itu.

Mengenang kembali saat menerima tawaran, Hiroshi memberitahu bahawa selepas membaca skrip, beliau berhubung hampir setahun dengan pengarahnya sebelum bersetuju berlakon.


Salah sebuah babak TGOEM lakonan Hiroshi Abe (kanan) dan Sinje Lee.

“Saya banyak membuat rujukan mengenai latar belakang sejarah menerusi buku dan dokumentari. Watak Aritomo merupakan pekebun bagi taman Jepun dan juga pengukir. Bagi menyampaikan budaya Jepun menerusi watak ini, saya telah mendapat bimbingan daripada pihak yang pakar dalam perkebunan, pengukiran dan guru yang mahir dengan teknik dalam budaya upacara minum teh,” kenang Horoshi.

Tambahnya, karakter Aritomo dilihat penuh misteri, tetapi watak tersebut mempunyai estetika seperti ‘Bushido’ dan mempunyai empati sihat malah amat dekat dengan dirinya, sekali gus memudahkannya membawa watak tersebut.

“Pengarah Tom Lin ada memberitahu bahawa ini bukanlah filem perang yang secara terang tonjolkan siapa jahat dan siapa baik. Tetapi, ia adalah sebuah filem cinta yang mempamerkan insan yang lalui keperitan dan akhirnya memaafkan antara satu sama lain menerusi cinta,” tambah Hiroshi Abe. 



Untuk rekod, TGOEM telah berjaya merangkul anugerah ‘Rekaan Kostum & Solekan Terbaik’ pada anugerah berprestij, 56th Golden Horse Awards malah merupakan filem pertama Malaysia mendapat 9 pencalonan ketika itu.

Selain itu, TGOEM turut melakar sejarah tersendiri apabila membuat penampilan antarabangsa dengan mengadakan tayangan di 24th Busan International Film Festival (BIFF) dengan tiket habis dijual. 

Ia turut dipertontonkan pada 16th Hong Kong Asian Film Festival (HKAFF) dan mendapat pengiktirafan untuk dipertontonkan pada Taipei Golden Horse Film Festival menerusi kategori ‘Closing Film’ pada tahun 2019.

TGOEM yang diadaptasi daripada novel yang juga menggunakan judul sama oleh Tan Twan Eng pernah menerima anugerah ‘2013 Man Asian Literary Prize’ dan ‘Walter Scott Prize’ bagi kategori fiksyen sejarah pada tahun 2013 serta pernah disenarai pendek dalam ‘2012 Man Booker Prize’.

Filem ini menjalani sesi penggambaran di Cameron Highland, Sungai Lembing dan Klang malah sebelum ditayangkan serentak di Malaysia, Brunei dan SIngapura pada 16 Januari 2020, ia terlebih dahulu ditayangkan di Taiwan pada 29 November 2019 manakala di Hong Kong pada  26 Disember 2019. 



TGOEM berkisar pada zaman 1940-an di Malaya ketika Perang Dunia II. FIlem cInta menyayat hati ini bermula apabila Teoh Yun Ling (lakonan Sinje) bertemu dengan Nakamura Aritomo (Hiroshi Abe) di mana  dia menerima sahutan Yun Ling untuk menghasilkan taman berinspirasikan taman Jepun bagi merealisasikan impian adik perempuan Yun Ling yang terkorban. 

Mereka mula tertarik antara satu sama lain meskipun berbeza budaya. 

Tiga puluh tahun kemudian, Yun Ling menjadi hakim wanita di Malaysia, mengendalikan kes persekutuan. 

Apabila mendapat tahu lelaki yang pernah dicintainya, Nakamura Aritomo adalah salah seorang perisik khazanah, Yun Ling membuat keputusan untuk mencari bukti dan mengimbau memori lalu. 

Jadi bagi mereka yang belum menonton dan berada di Jepun ketika Sukan Olimpik kelak bolehlah ambil peluang menonton ‘The Garden of Evening Mists’ pada 24 Julai depan ya! - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested