Seni & Sukan 30 Apr, 2021

Persatuan Penduduk Suadamai agih iftar Ramadan! Untuk anggota polis, bomba serta komuniti BTHO!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Persatuan Penduduk Suadamai turut mengagihkan iftar Ramadan untuk anggota Bomba BTHO.


MENGAMBIL keberkatan bulan Ramadan dan menghayati slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, Persatuan Penduduk Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, bergotong-royong menyediakan juadah berbuka untuk anggota Polis Balai Komuniti BTHO pada 25 April 2021 lalu.

Sebanyak 135 bungkus juadah berupa ayam masak kerutuk itu dimasak sejak awal pagi untuk diagihkan sebelum masuk waktu berbuka kepada anggota polis yang bertugas, di samping anggota bomba di Balai Bomba BTHO serta penduduk Suadamai.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penduduk Suadamai


Setiausaha persatuan berkenaan, Che Nordin Ismail, berkata agihan iftar Ramadan itu juga sebagai tanda keprihatinan penduduk terhadap tugas anggota polis yang sentiasa peka dengan isu keselamatan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, rondaan berkala yang dilakukan anggota polis terbabit memberi jaminan komuniti penduduk di Suadamai itu daripada gangguan perlakuan jenayah walaupun sudah ada pengawal keselamatan di pintu laluan masuk.


Anggota Polis Balai Komuniti BTHO menerima iftar Ramadan sumbangan Persatuan Penduduk Suadamai BTHO.


“Walaupun tidak seberapa kita berharap juadah berkenaan memberi nilai bermakna dalam usaha persatuan merapatkan hubungan silaturahim dengan pihak berkuasa dan antara penduduk di situ dalam situasi kekangan pandemik Covid-19 sekarang.

“Juadah itu dapat disediakan hasil daripada kutipan dana yang berterusan untuk Tabung Iftar Ramadan yang dilakukan selama seminggu apabila berjaya mengumpul lebih RM5,000,” katanya ketika ditemui pada majlis mengagihkan juadah kepada penduduk pada Ahad,  25 April 2021 lalu.


Che Nordin Ismail (kiri) mengagihkan iftar Ramadan kepada penduduk.


Penduduk Suadamai memakai pelitup muka datang untuk mengambil iftar Ramadan.


Sementara itu Che Nordin, berkata empat daripada lima laluan untuk memasuki Suadamai sudah siap dipasang dengan pintu berpalang keselamatan automatik yang hanya boleh dibuka menggunakan kad khas secara berperingkat-peringkat mulai pertengahan tahun lalu.

Menurutnya, laluan kelima kini dalam proses pemasangan selepas mendapat persetujuan penduduk kawasan itu yang turut bersetuju selepas melihat keberkesanan penggunaan pintu berpalang keselamatan automatik di empat laluan masuk berkenaan bagi mencegah perlakuan jenayah.

Penggunaan pintu berpalang keselamatan automatik dapat membantu mencegah perlakuan jenayah di komuniti penduduk Suadamai BTHO.


Beliau berkata, walaupun menggunakan pintu berpalang automatik itu rondaan berkala oleh pengawal tetap diteruskan seperti biasa sebagai memperkemaskan langkah keselamatan selain berkongsi maklumat perlakuan jenayah dengan pihak polis balai komuniti.

“Penduduk berharap pemasangan pintu berpalang itu mendapat kelulusan segera daripada pihak berkuasa tempatan selepas mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya. 


Penduduk Suadamai BTHO bersyukur dapat berkongsi iftar Ramadan.

23
5
0
0
0
You will be interested